Isnin, Julai 26, 2010


Komen daripada Bunnybaby - pembaca dan ahli Goodreads Malaysia.

Ah! Kisah cinta beginilah yang saya suka. Tahniah buat Puan Nisah Haron kerana berjaya menerapkan beberapa unsur sekaligus ke dalam novel ini.

Adakala orang kurang suka dengan gaya bahasa sastera yang indah dan dikatakan bertele-tele. Tapi bagi saya, kalau penulis bijak menggunakannya, bukan sekadar nilai estetik yang bakal dinikmati.


Ibarat penulis Lentera Mustika,

alang-alang pandai bermain bahasa,
dikhabarkan watak wanita utamanya dengan saksama,
indah rupa dan bijaksana pula.
Bukan seperti watak tertentu dalam cerita cinta,
asyik bermenung dan berangan sahaja,
mengenang si jejaka kacak tak tentu hala
tanpa mengira si dia itu jelmaan bukan manusia.

Inilah kisah cinta yang penuh makna,

nasihat, sindiran diselit jua,
buat pengingat para pembaca,
agar tak hanyut dibuai gelora rasa.

Terima kasih, Bunnybaby!

Ahad, Julai 25, 2010

Destinasi Berikutnya, Kuching

Gambar : Dua teraju utama siri bengkel penulisan guru-guru cemerlang - Encik Shahrun Nizal dari DBP KL (duduk) dan Puan Siti Nafsiah Ismail, Penolong Pengarah Bahagian Latihan Guru, Kementerian Pelajaran Malaysia. Turut berada di dalam gambar, Cikgu Rothman, penghulu untuk bengkel di Port Dickson sedang menyampaikan ucapan mewakili peserta dalam bentuk pantun

Bulan Julai penuh dengan aktiviti dan tugas. Ramai yang mengikuti perkembangan saya sama ada di sini atau di Facebook beranggapan saya ini banyak berjalan-jalan / kembara sahaja kerjanya. Ini siri bengkel penulisan yang dilakukan secara litar ke seluruh negara tetapi menumpu kepada 4 lokasi utama :
  • Kuala Terengganu (Zon Utara & Timur) 6 - 8 Julai
  • Port Dickson (Zon Tengah & Selatan) 13 - 15 Julai
  • Lahad Datu (Zon Sabah) 20 - 22 Julai
  • Kuching (Zon Sarawak) 27 - 28 Julai
Kumpulan sasarannya ialah guru-guru cemerlang Bahasa Melayu. Objektif, supaya mereka boleh menulis karya kreatif sama ada puisi atau cerpen; atau setidak-tidaknya mampu membimbing guru-guru Bahasa Melayu yang lebih junior dan juga menjadi pemangkin kepada para pelajar yang minat menulis.

Bimbingan guru penting dalam melahirkan penulis muda yang berpotensi. Guru demikian menjadi champion kepada pelajar tersebut. Guru yang mampu memberi tunjuk ajar dan menggalakkan pelajarnya menulis, apatah lagi bimbingan itu datangnya dari Guru Cemerlang, pastilah menjadikan guru itu bertambah cemerlang dalam tugasnya sebagai guru.

Gambar : Seorang daripada peserta di Kuala Terengganu sedang membacakan cerpen tulisannya.

Jasanya melahirkan seorang pengarang berpotensi dari peringkat sekolah amatlah besar kesannya kepada calon penulis. Biarpun guru itu cuma tolong membelikan setem atau tolong poskan karya itu bagi pihak anak didiknya. Bayangkan jika karya itu terbit dan pelajar yang dibantunya itu mendapat suatu keyakinan luar biasa untuk terus menulis.

Pemilihan peserta adalah dalam bidang kuasa Bahagian Pendidikan Guru (BPG), Kementerian Pelajaran Malaysia. Saya hanya tahu siapa yang menjadi peserta sebaik-baik sahaja berada di dalam sesi ceramah yang pertama. Sewaktu siri bengkel ini berlangsung di Port Dickson, seorang daripada peserta bengkel itu merupakan guru Bahasa Melayu ketika saya berada di tingkatan 5 (SMKA SHAMS). Kini dia masih di situ dan menjadi Guru Cemerlang. (Aduh, kekok juga seketika kerana posisi kami sudah bertukar pada waktu itu. Namun, saya yakin diri bahawa sesi ini bukanlah saya 'mengajar' kembali apa yang pernah diajar, tetapi ini sesi perkongsian pengalaman kerana pastinya menjadi guru itu agak berbeza berbanding menjadi penulis).

Sesi di Terengganu, sempat bertemu dua penyair - Zizee Stapa dan M. Ariff - nama mereka biasa saya dengar dan baca karyanya, namun, inilah kali pertama bertemu apabila mereka menegur saya dan memperkenalkan diri. Demikianlah pengarang yang mudah mesra apabila berkenalan. Biasanya, nama kami sudah berkenalan terlebih dahulu berbanding orangnya secar peribadi.

Di Lahad Datu, saya teruja dengan layanan mesra daripada pesertanya yang bersemangat dan tidak kurang ceria. Boleh dikatakan hampir setiap sesi sama ada di Terengganu, Port Dickson atau Lahad Datu sendiri, pasti peserta 'pecah perut' sewaktu sesi membedah karya. Guru-guru yang sangat sporting ini memudahkan tugas saya membedah karya mereka tanpa ragu-ragu. Seperti mana mereka mahu anak-anak murid mereka belajar melalui proses pembelajaran termasuk sesi menegur kelemahan dan mengangkat kekuatan dalam menulis, mereka juga bersifat amat terbuka malah, mahu mendengar lagi apa yang boleh mereka perbaiki.

Gambar : Bersama-sama seorang daripada peserta di Lahad Datu - Hajah Elina

Saya sering meyakinkan mereka bahawa guru ialah insan bertuah yang memiliki segedung pengalaman untuk dijadikan bahan di dalam karya. Usah berfikir bahawa sebagai guru pengalaman mereka membosan kerana setiap hari menghadap rutin. Itu cuma sebahagian daripada realiti yang boleh diadun dengan imaginasi kita yang tidak terbatas.

Destinasi berikutnya : Kuching, Sarawak

Saya jadi teruja menanti apakah pengalaman yang bakal saya kutip untuk singgahan saya buat kali kedua di Negeri Bumi Kenyalang itu.

Gambar : Bersama-sama seorang daripada peserta di Lahad Datu - Andi Muliati

Rabu, Julai 21, 2010

Kamera sebagai A.B.M.

Gambar : Pasar Rakyat Lahad Datu (Kredit foto : Nisah Haron)

Jika sedikit masa dahulu telefon bimbit sudah menjadi suatu keperluan dan kemudahan wajib dan bukan lagi sesuatu yang melambangkan kemewahan, kini kamera digital telah memudahkan kerja-kerja mengambil gambar. Kita tidak lagi perlu menghabiskan filem, mencuci filem dan menunggu gambar siap dicetak.

Apatah lagi, kebanyakan telefon bimbit sudah mempunyai aplikasi kamera yang disepadukan dengan alat komunikasi itu. Erti komunikasi dengan telefon juga sudah berubah dari sekadar mendengar suara, sudah boleh berhubung secara video dan bertukar-tukar gambar; lain berhubung melalui mesej bertulis.

Semua ini telah menjadikan aktiviti menulis sebagai sesuatu yang amat memudahkan. Apakah kaitan telefon, kamera dan penulisan?

Saya panggil kamera ini sebagai Alat Bantu Menulis (A.B.M.)

Gambar : Sungai yang berlingkar-lingkar bagi dilukis. Foto dari udara ketika dalam penerbangan dari KK ke Lahad Datu, menaiki MasWings (Kredit foto : Nisah Haron)

Setiap orang ada matlamat tersendiri mengapa dia memiliki sebuah kamera. Ada antara kita yang suka mengambil gambar sendiri sebagai satu bentuk dokumentasi. Ya, ini memang bagus. Rekod ini jika disimpan akan menjadi sangat berharga pada masa hadapan, khasnya untuk ditunjukkan kepada anak cucu.
Namun, pemilik kamera tegar, lebih mementing subjek yang dirakam di dalam kameranya. Jurugambar biasanya teliti dalam 'mengarang' subjek dengan memilik objek tertentu dan jika boleh biarlah gambar itu mampu 'bercerita' kepada sesiapa sahaja yang melihatnya. Kemampuan ini memerlukan kemahiran.

Pada saya secara peribadi pula, kamera saya juga dipenuhi dengan banyak gambar perkara lain selain dari diri saya sebagai subjek. Gambar saya sendirilah yang paling tidak banyak di dalam kamera saya sendiri. Kamera saya ini menjadi barang yang sentiasa mengikut saya ke mana-mana selain barang-barang peribadi dan telefon bimbit itu sendiri.

Gambar : Sotong bakar di pasar malam Lahad Datu (Kredit foto : Nisah Haron)

Mengambil gambar dan kemudian menyimpan gambar itu dengan cara supaya ia mudah dicari semula, akan membantu dalam hal-hal penulisan :

1. gambar itu sendiri sudah menjadi latar cerita / latar subjek penulisan (bagi penulisan bukan kreatif)
2. melatih diri :
  • menghasilkan komposisi gambar yang baik (secara tidak langsung)
  • melihat sesuatu perkara dengan terperinci
Hal ini tentunya menjadi sangat membantu kepada sesiapa yang tidak biasa membuat lakaran (sketching). Kepada yang ada kemahiran ini, melakar sesuatu sebelum menulis juga boleh membina visual yang dikehendaki untuk sesebuah tulisan. Pun, kamera lebih pantas merakam daripada melakar sendiri. Ada masanya kejadian yang berlaku itu detiknya amat berharga, ia harus dirakam pada ketika itu juga. Lantas, di sinilah peranan kamera digital tadi.

Gambar : Satu-satunya kedai buku yang ditemui Lahad Datu, berhadapan Hotel Grace. Lebih kedai majalah, akhbar dan alat tulis (Kredit foto : Nisah Haron)

Lantas, di dalam banyak keadaan dan dalam keadaan kini saya aktif ke beberapa tempat, walaupun sekitar Malaysia atau paling tidak sekitar lokaliti saya, saya tetap mengambil gambar sebagai A.B.M.

Bagi sesiapa yang biasa menulis blog, tentulah hal ini bukan sesuatu yang luar biasa. Namun, jika boleh gambar yang dimuat naik ke blog itu biarlah kita dapat kenal pasti hak ciptanya. Jika kamera sendiri tentulah tidak menjadi hal. Namun, eloklah dimaklumkan bahawa kitalah pemilik hak cipta karya itu supaya karya itu tidak mudah 'diculik' dan dimuat naik di tempat lain.

Setakat ini, Si Lumix kecil saya belum pernah mengecewakan. Jika ada imej yang kabur atau tidak menarik itu bukanlah salah dia, tetapi salah saya sendiri yang gagal menggunakan mode yang sesuai untuk subjek yang dipilih.

Kredit gambar kamera di sini.

Lantas, jika kita tidak ada kemudahan kamera digital pula, jangan jadikan itu sebagai alasan untuk tidak menulis. Anda masih lagi boleh menggunakan bantuan visual ini melalui gambar-gambar yang boleh didapati di mana-mana sahaja, termasuklah majalah, akhbar dan internet.

Peranan gambar ini bukan sahaja terhad kepada latar cerita tetapi gambar juga boleh dijadikan sebagai rujukan kepada watak yang dicipta. Sebagai contoh, apa salahnya watak yang kita gambarkan itu mempunyai ciri-ciri fizikal Siti Nurhaliza. Kita hanya meminjam ciri-ciri luaran sedangkan untuk ciri-ciri dalaman, kita gunakan sifat sahabat kita yang kita kenali. Gabungan dua imej ini bakal menghasilkan satu watak. Usah gambarkan watak itu 'cantik seperti Siti Nurhaliza' - itu kerja orang malas. Gambarkan kecantikannya. Dalam masa yang sama, sebagai pengarang kita tahu bahawa pada ketika itu, kita sedang menulis deskripsi Siti Nurhaliza.

Mudah, bukan? Nah, ini suatu cadangan kepada sesiapa sahaja yang terkekang apabila mahu menggambarkan watak-watak ciptaannya.

Sabtu, Julai 17, 2010

Konsert Demimu Al-Aqsa

Klik pada imej poster untuk paparan lebih jelas

Menyampaikan sajak yang ditulis khusus untuk Konsert Demimu Al-Aqsa
"Warkah untuk Tanah Melayu dari Al-Aqsa"
Kredit foto : Media Isma

Ahad, Julai 11, 2010

Antara Dua Fajar

Saya suka mengambil penerbangan pada waktu pagi, jika diberi pilihan. Pagi ialah janji. Pagi yang indah menjanjikan hari yang membahagiakan. Pagi yang indah begini memberikan harapan baharu dan rasa bersyukur kerana kita masih ada peluang untuk melihat matahari terbit.

Gambar : Terbit matahari di tingkap KLIA sewaktu mahu masuk ke kawasan Balai Berlepas

Ketika di Batu Burok pada keesokan harinya, saya terus ke pantai seusai subuh. Bagai menunggu kekasih yang pulang dari lautan, saya menanti kehadiran 'jambatan cahaya' yang saya rindui. Kali terakhir, barangkali sewaktu di Sutra Beach Resort, Setiu.


Gambar : 'Jambatan cahaya' - matahari dan sinar pertamanya, menemani nelayan dan burung pagi

Kredit foto-foto : Nisah Haron

Jumaat, Julai 09, 2010

Sekitar Pesta Buku NS 2010

Gambar : Sesi bersama-sama pengarang Negeri Sembilan


Gambar : Menerima cenderamata daripada badut yang menyerikan suasana

Selasa, Julai 06, 2010

Nisah Haron di Pesta Buku NS 2010


Saya dijadualkan berada di Pesta Buku Negeri Sembilan pada 9 Julai 2010 - pukul 2.30 - 4.30 petang untuk sesi bersama-sama pengarang.

Jumpa di sana!
Related Posts with Thumbnails