Bagi yang baru hendak memulakan manuskrip, kononnya, dia mahukan persediaan yang sempurna, watak yang sempurna ciptaannya, lokasi yang telah dibuat kajian sepenuhnya dan pendek kata, mahukan segala yang sempurna @ perfect!
Sudahnya, hal ini berlangsung beberapa tahun dengan alasan yang serupa.
Saya percaya tiada persediaan yang paling sempurna dalam menulis karya kreatif. Ya, benar. Persediaan, perancangan watak, latar, cerita dan sebagainya itu penting. Siapa yang tidak merancang sebelum menulis, ada kemungkinan akan tersasar jalan cerita dan idea tersangkak ketika menulis. Persediaan untuk menulis novel, bukanlah kerja menulis dalam erti kata yang sebenarnya. Ramai juga yang 'terperangkap' di dalam proses persediaan yang tidak kurang menyeronokkan ini. Kita terlalu seronok mencipta watak, mencipta latar, merangka cerita dan paling membahayakan ialah keseronokan bercerita kepada orang lain bahawa kita sedang menulis suatu cerita.
Lebih banyak kita bercerita kepada orang lain bahawa kita sedang menulis sesuatu karya, semakin kuranglah momentum menulis. Adakalanya, mood semakin hilang kerana mood dan momentum sebenar untuk menulis itu telah digunakan ketika bercerita tentang karya yang kononnya sedang ditulis tetapi belum lagi bergerak ke mana.
Cadangan saya : simpan sahaja idea dan rasa teruja untuk bercerita. Momentum dan semangat untuk bercerita itu tumpahkan terus ke atas kertas. Pembaca tidak akan menilai apa yang diceritakan secara lisan sama ada sebelum menulis atau selepas menulis. Sebaliknya, pembaca menilai apa yang telah dihasilkan.
Pembaca juga tidak mampu menilai manuskrip. Itu kerja editor. Pembaca hanya dapat menilai sebuah karya yang sudah terbit.
Oleh itu, usahakan supaya karya pertama terbit dan membuat tembusan sulung ke media. Tembusan sulung atau breakthrough ini penting untuk membina keyakinan untuk terus menulis karya yang berikutnya. Percayalah, selagi kita tidak melihat manuskrip yang dikerjakan berbulan-bulan itu bermetamorf @ berubah menjadi sebuah buku, kita sukar untuk meneruskan kerja menulis buku yang berikutnya. Kalau boleh menulis pun, semangatnya tidak serupa, penuh dengan tanda tanya.
Cerpen atau puisi pun sama. Apabila sudah ada cerpen atau puisi pertama yang mendapat tembusan di media, keghairahan, keyakinan dan semangat untuk mengirim lagi itu memang tinggi.
Tidak timbul sama ada khalayak suka atau tidak dengan karya kita itu - sama ada mereka suka atau pun tidak, apabila karya terbit, kita yang menulis karya itu sudah pun dinamakan penulis --> a published writer.
Penulis ialah yang sudah ada karya diterbitkan. Selagi belum terbit (dalam konteks buku dan media cetak), dia masih lagi dipanggil calon penulis atau aspiring writer.
Oleh itu, usah tunggu sampai idea itu betul-betul matang (ibarat buah kalau sudah terlalu ranum, siapa pula yang hendak), atau manuskrip yang betul-betul sempurna, barulah kita mahu mengirimnya ke media.
Jika karya itu sudah menepati ciri-ciri sebuah karya dalam format industrinya yang betul, kirimkan sahaja dan bertawakkal serta berdoa. Sebagai calon penulis, saya percaya anda telah pun berusaha. Usah bimbang kalau karya pertama mendapat banyak kritikan (sama ada membina atau mengutuk). Terima semua itu dengan hati yang terbuka. Jadilah penulis yang berjiwa besar dan kutiplah mana-mana kritikan yang boleh memperbaiki laluan perjalanan kita yang seterusnya.
Semua orang ada karya yang tidak berapa menjadi. Namun, karya itu sudah terbit. Lalu, kita berusaha untuk memperbaiki setiap karya yang berikutnya. Sampai bila pun tidak akan ada karya yang sempurna kerana kesempurnaan itu milik Allah Taala.Orang yang mengkritik sentiasa ada di sekeliling kita, dan biasanya orang itu belum ada buku yang terbit seperti kita. Walaupun karya kita yang pertama ini tidak sempurna, namun, ibarat bayi yang dilahirkan, biarpun tidak sempurna tetap anak kita juga.
Setiap anak itu pasti ada keistimewaan yang tersendiri.
Terus menulis!







