Kembara Sastera 5 : Manchester Bahagian 1

Meninggalkan pekan buku Hay-on-Wye dengan rasa berat hati. Kalau ikutkan hati, memang tak puas dan mahu berlama-lama di setiap kedai buku yang ada. Namun, perancangan saya harus praktikal. Saya terus mesti meneruskan perjalanan. Oleh itu, berpatah kembali ke tempat pertama kali diturunkan oleh bas No.39 itu. Oleh sebab ada tiket yang dibeli dengan harga 1 pound dari bas ulang-alik yang disediakan oleh Kedai Buku Richard Booth, saya terus sahaja naik. Dalam perjalanan, asyik memandang ke belakang. Pekan Hay-on-Wye makin sayup dan selepas beberapa persimpangan, ia hilang dari pandangan. Yang menghiburkan cuma "English Rose" yang tubuh merata-rata dan berbagai-bagai warna hadapan hampir setiap rumah di sini.

Sampai di Birmingham New Street, sudah pukul lima lebih. Sekitar pukul enam setengah, sahabat saya Dina sampai ke stesen dengan bagasi yang saya tinggalkan di dalam keretanya. Asalnya mahu tinggalkan di stesen tetapi, tempat simpat beg belum buka lagi sewaktu sampai di stesen itu pada pukul 6.20 pagi. (Tiket ke Hereford pukul 6.49 pagi). Dina sampai seperti janjinya. Tak dapat bersembang banyak, hanya sempat bersalam-salaman dan berterima kasih kerana susah-payah menghantar kembali bagasi saya.

Tiket ke Manchester Piccadilly sudah ada di dalam tangan. Berlepas pukul 7.30 petang (ya, tak boleh nak kata 7.30 malam kerana masih terang benderang pada waktu ini).  Sepanjang perjalanan, hati saya masih tertinggal di Hay-on-Wye. Badan letih dan terlayang juga sebentar-sebentar dihenjut gegaran lembut kereta api.

Dalam kereta api, sudah hantar mesej pada Shahkang Aizat yang berjanji menunggu saya di stesen. Belum sempat saya keluar dari stesen, dari jauh lagi saya nampak di sudah tercegat menunggu. Alhamdulillah, ada wajah yang dikenali di tengah-tengah manusia yang ramai di Piccadilly Station itu. Tambahan lagi, Shahkang juga penulis muda dan pelajar di University of Manchester. Ada seorang lagi yang bakal saya temui di sini : Adibah Abdulllah. Tapi, ketika itu dia dalam perjalanan pulang dari Dublin. "Akan sampai awal pagi esok," tulisnya dalam mesej di telefon bimbit.

Pintu utama stesen kereta api Manchester Piccadilly
Dengan laju Shah menunjuk jalan ke Piccadilly Gardens untuk mengambil bas. Terus minta tiket ke Rusholme kepada pemandunya. Oleh sebab belum sempat makan tengah hari dan Shah juga belum makan kerana seharian mengulangkaji di perpustakaan (katanya), saya dibawa ke Al-Jazeera. Khabarnya, inilah tempat makan wajib lagi halal di kawasan Manchester. Saya teringat Rebecca llham pernah menyebutnya beberapa kali.

Deramore Street tidak jauh dari jalan besar
Selesai makan, Shah terus hantar saya sehingga depan rumah Adibah di Deramore Street. Disambut oleh ahli rumahnya yang lain, Shahirah. Rupa-rupanya dia asal dari Ampangan juga. Kuasa Tuhan, duduk di Malaysia sangat dekat, tapi berjumpa di Manchester!

Malam itu tiada apa yang mampu saya lakukan kerana keletihan. Saya perlu rehat kerana esok ada kembara lagi, sekitar Manchester dan selepas itu ke Lake District.




Ulasan

Catatan Popular