Kedai Buku Terpakai

Hari ini saya sekeluarga keluar bersantai. Biasanya orang bersantai dengan keluarga di hujung minggu tetapi kami sengaja memilih hari biasa. Ada beberapa urusan yang kami ingin ladeni, lantas kami memilih untuk keluar bersama-sama anak-anak. Lagipun agak lama kami tak keluar bersama ke destinasi luar Seremban.

Yang menarik, sempat singgah di Nilai 3. Tapi sebelum anda fikir apa-apa, saya jelaskan di sini, saya bukanlah seorang kaki shopping. Bagi saya membeli-belah hanyalah untuk keperluan. Saya jarang bersantai-santai hanya untuk mengisi erti kata shopping. Saya tidak menjangkakan saya akan berlama-lama di Nilai 3 kerana kami hanya ke situ untuk tujuan yang agak rasmi.

Jalan punya jalan kereta dihentikan di hadapan sebuah kedai fotostat. Tapi bila kami turun kereta, saya nampak selain daripada mesin fotostat, kedai tersebut rupa-rupanya kedai buku terpakai. Kalau di luar negara, hatta di KL fenomena ini bukanlah ajaib sangat tetapi bila di ada di Nilai 3 (barangkali satu-satunya di Negeri Sembilan setakat ini), hati saya terus terkinja-kinja.

Maaf, saya ni kalau masuk kedai buku tak cukup 2 jam. Kalau boleh nak tidor baring sekali dalam tu. Kalau masuk kedai kain, 5 minit saja urusan selesai!

Memang buku-buku dalam kedai tu, buku yang terpakai. Kedai tu jadi orang tengah yang menjual dan membeli buku terpakai. Harga pasti murah. Saya dapat buku-buku yang susah hendak dapat di pasaran biasa - buku-buku yang sudah out-of-print. Novel Inggeris ada, novel Melayu tak kurang, buku komputer, buku undang-undang, buku falsafah dan banyaklah... tak dapat nak sebut semua sekali. Majalah juga dijual dengan harga yang murah. National Geographic Magazine tak sampai RM10, Reader's Digest ada yang RM3 satu.

Kalau ada buku-buku yang tak mahu simpan di rumah lagi, silalah jual di sana. Memang mereka beli dengan harga yang murah tapi bagi saya konsepnya, kalau dah tak mahu simpan buku tu, daripada terbiar, biarlah orang lain yang memanfaatkannya. Harga buku akan bergantung pada keadaan buku dan jenis buku/majalah.

Nama kedai tu THE BOOK CHEST, Lot 523, Nilai 3. Tel : 799 7829. Kedai tu buka setiap hari. (Nota Nisah : kedai buku ini sudah tidak beroperasi lagi di Nilai 3. Tidak pasti ke mana kedai ini pindah - 2010)

Apa lagi ulat-ulat buku sekelian. Mari kita serbu tempat ini selain daripada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang akan datang pada 21 - 30 Mei 2004 PWTC Kuala Lumpur.



II


Akhir-akhir ini saya banyak beli buku Indonesia. Sesuatu yang jarang saya lakukan sebelum ini. Saya memang suka beli buku. Dan tidak semua buku itu sempat saya baca. Ada pun yang belum sempat dibaca lagi. Tapi bagi saya membeli buku memang tak pernah merugikan saya ataupun ahli keluarga yang lain.

Untuk anak-anak juga begitu, saya lebih suka belikan mereka buku daripada barang permainan. Alhamdulillah, setakat ini anak yang bongsu (Insyirah - 1 th 4 bulan) juga sudah tahu menghabiskan masa dengan buku kalau ditinggalkan sendirian dalam bilik - ketika saya buat kerja lain.

Buku-buku Indonesia yang saya beli itu pula ada yang saya tak sempat baca. Orang yang pertama membaca ialah Abah saya. Saya dibesarkan dalam keluarga yang suka membaca tetapi mereka satu ketika dahulu orang susah. Saya selalu diceritakan Abah, arwah Mak ataupun Nenek betapa mereka semua ada buku yang mereka minati (saya masih memiliki naskhah manuskrip jawi Syair Selendang Delima milik arwah Nenek). Koleksi mereka sedikit tetapi masih elok. Terutama sekali koleksi buku arwah Mak saya. Sampai kini saya jaga dengan baik.

Abah saya pula menjadi avid reader. Buku-buku Indonesia yang saya beli sudah habis dibacanya - Tenggelamnya Kapal Van Der Wick, Merantau Ke Deli, Di Bawah Lindungan Kaabah, Sitti Norbaya dan Atheis. Dalam hal ini Abah mendahului saya. Tadi sempat juga saya belikan dia Salah Asuhan. Tentu lepas ini, dia akan duduk tenang di sofa ruang tamu paling hampir dengan pintu masuk dan tekun mengadap buku itu walaupun diganggu tiga orang cucu yang tak pernah kenal erti diam.

Bukankah buku-buku, pelaburan yang tidak pernah sia-sia...

Ulasan

Catatan Popular