Mengenal manusia

SUKMA X usai. Semua kembali ke lubuk masing-masing. Saya pulang dengan pulangan. Banyak pengalaman yang dapat saya kutip ketika bertugas sebagai sukarelawan SUKMA selama lebih kurang seminggu. Saya dan 8 yang lain ditempatkan di mini studio tv RTM. Sempatlah berkenalan dengan nama-nama yang biasa kita dengar sebagai pengulas sukan seperti Hasbollah Awang, Zainal Abidin Rawop, Lailah Elok, Shaukie Kahar dan beberapa nama lain yang baru saya kenal ketika itu. Maklumlah, saya ni bukannya kaki sukan.

Tugas saya di sini menyeronokkan. Kebolehan mengendalikan komputer, menaip, melayari internet dan menyusun maklumat secara sistematik diiktiraf oleh para petugas media di sini. Saya percaya banyak juga yang dapat saya sumbangkan ketika berada di Pusat Media ini berbanding bidang tugas asal yang ditawarkan pada saya sebelum ini - hadiah & cenderamata. Tak berminat saya untuk jadi 'pasu bunga' ketika majlis penyampaian pingat dijalankan.

Mengenali manusia di Pusat Media ini turut berkait rapat dengan teknik perhubungan awam yang saya ada. Tugas hakiki saya (sebagai peguam) banyak membantu PR saya dengan pihak media. Pun, tidak saya nyatakan secara rasmi apa profesion sebenar saya di sini, hinggalah pada hari-hari terakhir.

Di sini ada juga seorang dua manusia yang terkinja-kinja mahu bergambar dengan pengulas-pengulas sukan atau atlet-atlet yang diundang ke studio mini. Maaflah, sakit mata saya dengan perangai manusia begitu. Saya biarkan saja si luncai terjun dengan labu-labunya. Ada seorang teman sukarelawan berkongsi pendapat dengan saya: memang ada manusia yang begitu, dia ghairah bila dapat bertemu dengan orang yang bernama @ selebriti. Dapat salam sekali pun jadilah. Bakal riuh sekampung menceritakan pengalamannya yang sebesar tuma itu.

Dalam pada itu, sempat juga saya menjual "Mencari Locus Standi" beberapa naskhah di sepanjang SUKMA.

Ulasan

Catatan Popular