Puisi Dalam Cerekarama TV3

I

Ada banyak sebab untuk saya tersenyum malam tadi dan pagi ini.

Malam tadi, puisi saya berjudul "Menunggu Purnama" disiarkan di dalam cerekarama berjudul "2 Jiwa 1 Hati". Lakonan yang baik oleh Zul Yahya & Aida Aris. Ada beberapa teman yang sempat saya hantar SMS. Pelbagai komen juga saya terima. Lalu saya pun tersenyum lagi.

Penulis skrip drama ini, Maizura Mohd Ederis, teman saya semasa sama-sama menyertai Silat Cekak Hanafi. Kami masih berhubung dan dia minta saya menulis sebuah puisi berdasarkan skripnya. Selepas berbincang-bincang, saya pun turunkan puisi penuh seperti berikut :

MENUNGGU PURNAMA

Kulukiskan wajahmu
Terapung tenteram di danau hatiku
Sukma ini terlalu rindu
Suara semilir yang mengelus rambutmu.

Khabarkan pada kelah yang bermukim di tasik ini;
Suratkan pada airnya yang tenang tak bergelombang;
Isyaratkan pada jelingan tujuh sekawan bebintang;
Kasihmu, cintamu, sayangmu
Pada ikan, pada tasik, pada langit.
Biar seisi alam ini mengerti
Mengapa pada warna malam kelam
Aku tekal menunggumu,
Purnama...

ii

Sejernih tasih yang merumahkan patin dan haruan
Aku dikepung jala sunyi serawan
Alam kian terhakis dalam ketenangan
Akukah pembayar harga perubahan ini
Akukah penggadai air tasik ini
Pada manusia-manusia haloba
Silau diterjah kilau
Emas dan permata.
Mereka rampas damai danauku
Mereka pampas dengan riak-riak gelombang tak diundang.

Sedangkan air tasik ini
pernah membunuh dahaga.
Segala ikan pernah bahagia
Bersatu menarikan
Nazam alam
Seloka semesta.

Tangan kerdil ini tak bisa menakung air bertuba
Sisik-sisik yang berapung tanpa nyawa
Alam meraung tanpa suara
Menjadi persembahan
Sebuah simfoni kehidupan
Tak berkesudahan.

iii

Akulah saksi setia
Daun-daun yang luruh
Sebelum usia
Hujan yang cuba membasuh
Segala rusuh dan musuh
Di hati yang belum lusuh.

Bayanganmu, purnama
Tumpah pada warna dan wajah
Tasik yang semakin uzur
Bersama sepi
Bersama derita.

Mengertikah engkau, purnama
Dalam gerhana dinihari tak berbintang
Aku menunggu seberkas cahaya
Di sebalik lelangse langit
Menyinari
Danau
Hatiku.

10 Mei 2004
Ampangan, Negeri Sembilan.


II

Pagi ini, bangun dihidangkan pula dengan berita di akhbar Mingguan Malaysia. A. Latip Talib menulis tentang saya di dalam artikelnya
  • "Nisah Mencari Locus Standi"


  • Beritanya agak panjang. Hampir semuka penuh. Terima kasih pada A. Latib Talib yang sudi menulis tentang saya dan novel itu. Sedikit sebanyak promosi untuk Utusan juga, selain daripada untuk saya sendiri.

    Esok saya akan ke Persidangan Meja Bulat "Peranan Masyarakat Menangani Jenayah Ragut". Saya akan mempengerusikan salah satu sesi perbincangan. Panel yang dipertanggungjawabkan ialah Dr. Abdul Halim Sidek dari Fakulti Undang-undang UiTM.

    Hari Sabtu ini (17 Julai) akan berlangsung Diskusi Novel Remaja Utusan 2004 di rumah PENA jam 10.30 pagi. Ketiga-tiga novel, 1511(H) Kombat, Mencari Locus Standi dan Ombak Sfera Lotus akan didiskusikan oleh panel berasingan. Novel saya akan dibicarakan oleh Prof. Madya Noor Aziah Mohd Awal dari Fakulti Undang-undang UKM.

    Masuk percuma. Jemput datang beramai-ramai.

    Ulasan

    Catatan Popular