Sentuhan Diraja - Mencari Locus Standi

Semalam berlangsung Pameran Raja Berdaulat, Negeri Beradat anjuran Arkib Negara sempena dengan Hari Keputeraan DYMM Tuanku Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan. Majlis berlangsung di hadapan Muzium Diraja Istana Seri Menanti, Kuala Pilah Negeri Sembilan. 
 
Harap bersabar sementara menantikan gambar-gambar dimuat turun.
 

 
Gerai PEN di Pameran Raja Berdaulat, Negeri Beradat.


PEN terlibat secara langsung apabila diberi sebuah gerai untuk mempamerkan hasil karya penulis Negeri Sembilan dan juga jualan buku-buku terpilih.  Seperti biasa pameran PEN akan melibatkan saya dan suami. Bagai telah termaktub, kamilah yang menjadi teraju utama di gerai PEN bermula dengan aktiviti memasang kain rentang, gambar-gambar penulis PEN, atur meja dan susun buku. Pun, kami seronok sebenarnya dengan kerja-kerja sebegini.  Bila peluang ini diberikan oleh pihak Muzium Negeri Sembilan, saya terus menghubungi Setiausaha 1 PEN, Puan Mahaya Mohd Yassin memohon kebenaran untuk meneruskan aktiviti ini. Dia tanpa berlengah lagi meminta saya meneruskannya.
 


Gerai PEN yang mempamerkan buku-buku terpilih

 
Paling menyeronokkan apabila YB Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim datang melawat gerai PEN dan membeli buku-buku terpilih termasuk buku terbitan PEN - Memori Za'ba (Gema Serunai Hati 6).  Sempat juga saya perkenalkan buku saya Mencari Locus Standi dan dia membeli senaskhah. Dr. Rais Yatim sebagai seorang penulis pastinya menghargai penulis. Beliau sendiri telah menerbitkan banyak karya termasuklah yang terkini ",Jelobak Jelebu- Corat-coret Anak Kampung.
 
YB Datuk Seri datang melawat pameran ini sementara menunggu ketibaan DYMM Tuanku Yang di-Pertuan Besar NS. Beliau turut meninggalkan kata-kata hikmat di dalam buku tamu PEN. Tulisnya, "The sharpness of the writer's pen penetrates deeper than the sword of a warrior."
 
Selesai acara perasmian oleh DYMM Tuanku Jaafar, baginda turut sama melawat gerai-gerai yang mengambil bahagian. Di acara ini, saya sekali lagi memperkenalkan PEN dan juga novel Mencari Locus Standi. Mesti ada yang kata, "Nisah tak habis-habis mempromosi buku sendiri." Ya, mungkin. Zaman ini penulis harus bersikap pro-aktif. Zaman ini bukan lagi zaman tunggu dan lihat. Lagipun, saya turut memperkenalkan buku-buku lain termasuk buku-buku terbitan PEN, Muzium NS, Perpustakaan Awam NS, Utusan Publications dan banyak lagi.



DYMM Tuanku Jaafar dengan novel Mencari Locus Standi

 
DYMM Tuanku Jaafar turut menandatangani buku tamu PEN yang disediakan di ruang pameran tersebut. Setelah mendapatkan novel saya, Tuanku nampak ceria kerana adanya anak Negeri Sembilan yang menjadi peguam dan juga penulis. Dia memanggil Datuk Seri Utama Dr. Rais dan bertitah, "Datuk Rais, she's a lawyer."
 
"Yes, Tuanku. She is also a writer. I've met her this morning."

 


DYMM Tuanku Jaafar menandatangani buku tamu PEN. Saya mengiringinya di sebelah kiri baginda.

 
Sejurus selepas itu, Datuk Seri Utama berbisik kepada saya supaya diadakan satu pertemuan dengan semua penulis PEN dengan beliau. "Perhaps we could have an evening with the writers." "Insya-Allah, saya akan uruskan," kata saya. Sepulangnya ke Seremban, saya tidak berlengah lagi menghubungi Setiausaha 1 tentang perkembangan ini. Puan Mahaya kurang sihat ketika itu, jika tidak pastinya beliau turut sama berada di majlis ini.
 


Saya dan Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim berbual di gerai PEN. Latar belakang, poster penulis-penulis Negeri Sembilan.

 
 


Ulasan

Catatan Popular