Selamat Tinggal Bumi Sriwijaya

Rasanya, dah banyak sangat entri tentang Palembang. Dan tak lama juga saya tak update weblog ini. Maaflah, tetapi saya ke Ipoh untuk beberapa hari kerana wakil PEN (Persatuan Penulis Negeri Sembilan) ke Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan Peringkat Kebangsaan. Bukanlah saya yang jadi deklamator. Hanya jadi wakil badan kerabat GAPENA, iaitu PEN.

Intan Marhayu juara tahun ini. Wakil Negeri Selangor. Tahniah! Beliau memang seasoned participant.

Rasanya ini entri terakhir tentang Palembang yang boleh saya muatkan di sini. Harap tidak jemu membacanya.

3 - 4 Ogos 2004

Sepanjang dua hari penuh kami berbincang dan berbengkel tentang penulisan esei yang baik. Kumpulan saya terdiri daripada Prof. Madya Hj. Awang Hashim (Brunei), Maman S. Mahayana (Indonesia) dan Dato' Baha Zain (Malaysia) selaku pembimbing.

Peserta : Saya dan Mohamad Shahidan (Malaysia), Hasta Indriana dan Saidul Tombang (Indonesia), dan Dayang Norhayati (Brunei).

Berbeza sekali pendekatan menulis esei daripada ketiga-tiga negara. Malaysia memperlihatkan esei dalam bentuk akademik lagi ilmiah. Indonesia cenderung ke arah penulisan esei di akhbar- akhbar ataupun koran, kata orang sana. Brunei pula masih berada di antara kedua-duanya.

Dalam masa dua hari itu juga, esei kami dibedah, dikritik dan diperkatakan. Kami juga harus memperbaikinya dan menghantar esei yang telah bersih kepada Urus Setia Mastera. Siap tak siap, kami siapkan juga kerana esoknya, kami akan dibawa berjalan-jalan ke kota Palembang. Kalau tak siap, tak boleh jalan-jalan. :-)


5 Ogos 2004

Seperti mana yang dijanjikan oleh pihak Urus Setia Mastera, kami dibawa berwisata di sekitar Palembang. Baru kami dari Malaysia, kami teringin sekali hendak ke Bukit Siguntang Mahameru seperti mana yang digambarkan oleh Tun Sri Lanang di dalam Sejarah Melayu. Adakah sawah padi di kawasan itu? Barangkali mungkin tidaklah berbuah emas dan berdaun perak. Tapi kami menggambarkan sesuatu yang hebat di sana.

Perjalanan keluar dari Sekayu ke Palembang memakan masa 2 jam lebih. Kami berhenti di Pangkalanbalai untuk sesiapa yang mahu ke bilik selesa ataupun melurus-luruskan kaki. Kami diiringi outrider, ambulans dan kenderan-kenderaan pengiring. Memang macam menteri rasanya. Bagus juga, kalau tidak, kami tersangkut dalam kesesakan jalan raya di kota Palembang.

Sebelum ke mana-mana, kami dibawa ke pejabat kebudayaan dan pelancongan Sumatera Selatan (Dinas Kebudayaan dan Pariwisata). Kami diberi taklimat ringkas tentang sejarah Palembang dan Sumatera Selatan. Satu yang sempat saya petik ialah asal usul nama Palembang. Dahulu, kawasan ini kaya dengan emas. Orang yang mendulang emas di sungai akan menggunakan dulang yang dipanggil limbang orang orang sini. Tempat mendulangnya dipanggil pelimbang. Jadi dalam perbualan, kalau ditanya hendak ke mana, jawabnya hendak ke pelimbang. Bila datang Belanda, sebutannya beralih sedikit menjadi Palembang.

Destinasi pertama ialah kedai Pengrajin Songket. Palembang terkenal dengan songket palembangnya. Bunganya berbeza tentunya, dari songket Kelantan ataupun Terengganu. Saya tidak membelinya, kerana tidak ada keperluan untuk memiliki kain songket. Kalau ada anak nak kahwin pun, anak masih kecil lagi. Jadi saya hanya beli sehelai baju batik untuk suami. Coraknya cantik dan bersifat agak ekslusif, sesuai untuk majlis rasmi. Harganya juga lebih murah berbanding di Malaysia.

Seterusnya, kami dibawa ke Rumah Limas. Palembang terkenal dengan rumah limas seperti mana di Padang, Sumatera Barat - terkenal dengan Rumah Gadang (rumah beratap lentik Minangkabau). Tetapi rumah limas berbeza. Rumah yang kami lawati ini milik peribadi seorang yang amat kaya di Palembang. Dia telah meninggal dunia. Dia tidak mahu pihak kerajaan mengambil alih penjagaan rumah tersebut. Jadi dia telah lantik orang-orangnya yang telah diamanahkan. Rumahnya cantik dan terjaga. Luas sekali. Tengah rumah dan anjung rumah bertingkat-tingkat. Tengah rumah lebih tinggi dari anjung rumah. Tingkat-tingkat ini menunjukkan status di dalam masyarakat. Mereka yang berstatus tinggi akan diletakkan di tempat yang lebih tinggi dan seterusnya.

Rumah ini besar. Panjangnya dari depan rumah ke belakang lebih kurang 120 meter.

Lewat rumah limas, kami dibawa makan tengah hari di Restoran Sri Melayu. Hidangannya enak sekali. Mengingatkan saya pada Restoran Nelayan Tasik Titiwangsa. Ada sedikit sebanyak persamaan.

Lepas makan, kami diajak memanjat Bukit Siguntang Mahameru. Inilah masa yang ditunggu-tunggu. Apa yang boleh saya katakan tentang tempat ini? Tidak ada orang berhuma di sini. Hanyalah bukit rendah seperti sebuah taman rekreasi. Ada makam satu dua di sana-sini. Kata pegawai pelancongannya, ada keraguan tentang authenticity makam-makan tersebut. Sama ada ia ada kaitan dengan Sejarah Melayu atau tidak.

Penting sekali, di sinilah salah satu mercu tanda Kerajaan Sriwijaya satu masa dahulu. Di puncak bukit ini, sepatutnya pengunjung boleh melihat pemandangan seluruh kota Palembang. Malangnya, kawasan ini tidak berapa terjaga kerana pokok-pokok besar melindungi pemandangan kami.

Sedikit sebanyak saya kecewa. Tidak ada apa yang boleh saya ceritakan pada teman-teman sekembalinya ke Malaysia. Atau mungkin kita sudah terlalu dikhayalkan dengan kisah-kisah Wan Empuk Wan Malini dan keturunan Raja-raja Melayu yang kononnya berasal dari sini.

Seterusnya, kami dibawa ke Muzium. Tapi tak banyak iktibar yang dapat saya petik di sini. Barangkali, ia lebih sebuah muzium batu bersurat (prasasti).

Petangnya, kami dibawa membeli belah di Ramayana. Pusat jualan barangan berharga murah. Saya ni tak mudah tergoda dengan pakaian atau tudung-tudung. Lagipun, fesyen mereka bukan selera saya. Jadi saya tak banyak membeli. Hanya untuk anak-anak sepasang seorang busana muslim.

Selepas menunggu teman-teman, kami terus dibawa makan malam di Balai Bahasa Palembang. Usai solat dan makan, kami dibawa melalui Jambatan Ampera - mercu tanda Palembang. Sepatutnya, ia indah dihiasi lampu-lampu tetapi entah mengapa, malam itu lampunya tidak menyala. Jadi kami pun lalu di Ampera yang gelap katup. Di bawahnya, Sg. Musi tetap mengalir tenang. Tepi sungai tetap dihiasi lampu-lampu dari penempatan dan bot-bot kecil. Itu saja yang boleh diceritakan. Kami sepatutnya berhenti untuk mengambil gambar. Tetapi apa yang boleh diambil dalam suasana gelap begitu.

6 Ogos 2004

Sebelah pagi, mereka yang masih belum menyiapkan esei hendaklah mencetaknya. Saya dah siap awal jadi tak perlu mengadap laptop di situ. Lebih banyak berbual-bual dan bertukar-tukar fikiran dengan teman-teman peserta.

Sebelum ini, saya telah dibisikkan oleh Urus Setia Mastera Indonesia supaya memberi ucapan mewakili peserta Malaysia. Saya tak tahu kenapa saya dipilih tetapi selepas berbincang dengan kumpulan Malaysia, mereka menerima tidak berhalangan mengizinkan saya.

Malam itu, malam terakhir kami di Sekayu. Majlis Penutup Bengkel Mastera diadakan di rumah Bupati. Seperti yang dijanjikan, saya diminta memberikan ucapan selepas laporan daripada Urus Setia Mastera dari Pusat Bahasa Jakarta. Barangkali, jarang ada peserta wanita yang mewakili kumpulan perutusan dari sesebuah negara. Ketika saya dijemput, juruacara mengumumkan, "Kini dijemput wakil perutusan dari negara Malaysia, bapak Nisah Haron." Kemudian, ada suara-suara yang membetulkan. Barulah MC mohon maaf dan menjemput saya. Itu perkara kecil.

Sebenarnya, saya risau bila dipilih. Takut ada hajat orang yang tak sampai. Senarai ucapan terima kasih sahaja sudah sehalaman panjang. Memang perlu diucapkan kerana banyak pihak yang memberi kerjasama yang bukan sedikit sepanjang kami di sini. Sempat juga saya sampaikan novel-novel Hadiah Sastera Utusan Exxon Mobil 2003 (pemenang tahun ini) kepada Mastera Brunei dan Mastera Indonesia.

Paling menarik, persembahan taridra daripada kumpulan kesenian tempatan yang mementaskan "Tragedi Sungai Keruh". Teknik permainan lampu dan aspek-aspek teaterikalnya amat menarik perhatian.

7 Ogos 2004

Selesai Mastera 2004. Kami berangkat meninggalkan tanah Sriwijaya. Ketika pesawat Garuda berlepas meninggalkan Bandara Sultan Mahmud Badaruddin II, air mata saya menitis tanpa disedari. Banyak kenangan manis yang terungkap di daerah ini. Seperti di dalam ucapan saya ketika majlis penutup malam sebelumnya, "Sastera itu unversal kerana ia merentasi zaman dan sempadan."

Sampai di Jakarta semula, 40 minit kemudian. Bermalam di Aston Atrium Hotel, Jakarta. Mengambil semula buku-buku yang telah kami pesan di Toko Gunung Agung seminggu yang lalu.

8 Ogos 2004

Meneruskan usaha membeli buku di Komunitas Utan Kayu (tetapi tutup kerana hari Ahad cuti). Langsung mengikut Dato' Baha, Asmiaty dan Mohamad Shahidan ke Sarinah. Ada yang beli buku, ada yang beli batik. Ketika itulah saya jumpa sebuah kafe siber dan membuat entri di weblog ini pada masa itu.

Petangnya, teman-teman dari Malaysia semuanya pulang pada jam 6.30 petang. Tetapi saya dan Asmiaty tertinggal di Jakarta.

Ingin tahu kenapa? Tunggu entri yang seterusnya selepas ini...


Ulasan

Catatan Popular