Sanjungan Terhadap Bongai

I

30 Sept 2004 - PEN dengan kerjasama Ujana Ilmu Enterprise mengadakan jualan buku dan pameran PEN di Hotel Royal Adelphi (Hilton Seremban) sempena Bengkel Apresiasi Bahasa dalam Lagu Tradisional Negeri Sembilan (Bongai). Hampir 100 orang guru dan pensyarah Maktab Perguruan Raja Melewar, Seremban datang berguru dengan satu-satunya guru Bongai dari Tanjung Ipoh - Pak Din Bongai. Seronok tengok guru-guru itu seperti anak-anak kecil sama-sama belajar menyanyi irama Bongai.

Lagu-lagu seperti Cantik Manih dan Umpan Anak Bocek sebenarnya mempunyai irama yang biasa didengar. Cuma kita tidak diberitahu sepertinya irama itu dipetik daripada lagu tradisional Bongai. Masih ingat lagu "Apo Kono Eh Jang" nyanyian Ali Nor dan Mastura? Nah, irama / pantun yang dinyanyikan oleh "Ujang" dalam lagu itu yang berbunyi seperti di bawah, walaupun liriknya diubah, masih dinyanyikan dalam irama Bongai yang asal :

"Batu Kikir jambatan bosi,
Gulai udang sebelango
Cubo mak pikir dalam hati
Ayo ni bujang udah lamo, eh aiiih..."

Apa itu Bongai? Mungkin ada yang akan bertanya. Usah risau kalau ada yang tidak pernah mendengarnya. Bukan orang luar Negeri Sembilan yang tidak pernah mendengarnya, hatta orang Negeri Sembilan sendiri pun belum tentu tahu menyanyikan irama Bongai.

Beberapa orang penggiat Bongai antaranya, Encik Udin b. Hussin mempercayai lagu Bongai ini berasal dari Negeri Sembilan. Akan tetapi bagi kebanyakan pengjaji pula berpendapat Bongai berasal dari Sumatera Barat, Indonesia yang dibawa oleh orang-orang Minangkabau semasa berhijrah ke Negeri Sembilan satu ketika dahulu. Ini terbukti bahawa terdapat persamaan dengan lagu kesenian rakyat Minangkabau yang bernama "Berbilang Panjang".

Perkataan "Bongai" juga mempunyai beberapa pengertian menurut pandangan penggiat dan pengkaji yang berlainan. Contohnya, Encik Udin bin Hussin yang lebih dikenali sebagai Pak Din Bongai, mengatakan bahawa nama Bongai berasal daripada perkataan "Bong" dan "lai" yang bermaksud "sayang". Abdul Latif Oyek, seorang tokoh budaya tempatan pula berpendapat bahawa "bongai terbahagi kepada dua perkataan iaitu "bong" dan "aye". Perkataan "bong" membawa maksud "seseorang yang dihormati; manakala "aye" bererti saya."

Sehubungan dengan itu, "Berbongai" pula boleh dirumuskan sebagai berbalas pantun yang disampaikan dalam bentuk lagu oleh para penuturnya, sama ada secara solo, berduet atau beramai-ramai iaitu berkumpulan.

Oleh sebab Bongai dinyanyikan setelah penat bekerja di siang hari dan juga untuk melekakan orang kampng yang sedang sibuk membuat persiapan dalam majlis perkahwinan, majlis keramaian mahupun menyambut kedatang pembesar, maka bonga dapat dijadikan sebagai alat hiburan untuk bersantai dan bergembira, juga untuk mengeratkan rasa persaudaraan dan semangat bermasyarakat.

Ada buku berjudul Bongai dijual di Ujana Ilmu. Kalau ingin tahu lebih lanjut, apatah lagi ingin mengkaji, silakan ke sana.

II

Sudah ada seorang dua yang bertanya sama ada saya akan mengirim novel ke Hadiah Sastera Utusan tahun ini. Setakat ini, jawapan saya masih "tidak / belum". Memang itu pun jawapan sejujurnya. Dengan masa yang sudah agak suntuk ini, tak mungkin rasanya saya menyiapkan apa-apa manuskrip. Tak tahulah kalau satu dua minggu nanti, tiba-tiba datang rangsangan yang luar biasa untuk menulis. Pun, saya yakin hal itu tidak akan berlaku.

Tak mengapalah, saya menulis bukan untuk menang. Apatah lagi untuk menang besar. Saya menulis kerana saya ada tanggungjawab untuk menulis. Saya menulis kerana ada sesuatu yang ingin saya kongsi dengan pembaca. Tulisan-tulisan saya masih ada di Tunas Cipta (novel bersiri) dan sesekali di Dewan Masyarakat dan Dewan Sastera (esei undang-undang dan sastera). Saya masih menulis dan menyumbang ke arah pembangunan sastera dengan cara saya yang tersendiri.

III

PEN sekali lagi akan mengadakan bengkel cerpen intensif secara tertutup dan terhad pada 10 Oktober 2004. Tertutup ini maksudnya, saya tidak menghebahkannya seperti tahun lepas, melalui akhbar-akhbar utama. Siapa yang dengar tentang bengkel ini dan betul-betul berminat untuk berkongsi pengalaman penulisan dipersilakan ke majlis ini.

Tarikh : 10.10.2004 (Ahad)
Masa : 9.00 pagi - 5 petang.
Tempat : Pejabat Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Sembilan
Yuran : RM50 (termasuk makan minum, fail dan edaran)
Syarat : mesti hantar sekurang-kurangnya sebuah cerpen untuk dibincangkan
Hantar sebelum 8 Oktober 2004, jika boleh. Andainya tak sempat, bawa 10 salinan untuk dikongsi dengan peserta-peserta lain.

Sesi ini bukanlah sesi ceramah ataupun pembedahan karya oleh orang perseorangan. Ia lebih kepada majlis perkongsian ilmu dan pengalaman. Saya jemput juga penulis-penulis mapan seperti Mahaya Mohd Yassin dan ada seorang dua lagi selain saya sendiri sebagai moderator. Insya Allah, Editor Kanan Utusan Publications & Distributors, Puan Nor Azah Aziz, akan turut sama berkongsi tips dan pengetahuan penyuntingan yang penting untuk penulis juga.

Saya jemput sesiapa sahaja yang terbaca tulisan ini. Kalau sempat dan berminat, hubungi saya untuk saya uruskan penginapan (jika perlu) dan urusan menjemput dan menghantar peserta. E-mel saya : annyss@hotmail.com. Kalau nak telefon saya pun, e-mel saya untuk dapatkan nombornya.

Ini sahajalah sumbangan kecil saya dalam meneruskan kelangsungan dunia sastera tanah air.

Ulasan

Catatan Popular