Menjual Ais Pada Orang Eskimo

Baru-baru ini, saya berkesempatan ke gedung IKEA. Memang sudah lama bercita-cita hendak ke sana, tapi banyak sekali halangannya (yang tidak perlu disenaraikan di sini). Kebetulan diajak pula oleh dua orang penulis muda dari pantai timur. Mana boleh jadi, orang dari seberang Banjaran Titiwangsa dapat sampai dulu, sedangkan orang yang lebih dekat tak sampai-sampai lagi.

Atas cadangan tersebut, saya pun jadi 'pemandu pelancong' dan berjaya juga mencari IKEA walaupun tidak pernah ke sana. Memang tidak susah pun. Saya pernah ke TV3, One Utama dan Taman Tun. Jadi tidaklah rasa terbeban mencari IKEA.

Setiap kali hendak menaip perkataan IKEA, saya sering tersasul mahu menaip IDEA. Bila difikir-fikirkan semula, sebenarnya tidak perlu membeli terlalu banyak atau istilah sekarang 'shopping sakan' di sana. Lebih baik ke sana mencari idea untuk hiasan rumah.

Paling seronok melihat bagaimana mereka memanfaatkan ruang bilik yang sempit tetapi sangat kreatif ideanya. Apabila kita kreatif, benda yang tidak ada makna pun akan mendapat nafas baru. Turut saya perhatinya, mereka menjual barang dengan harga bawah RM10. Barang-barang ini sebenarnya, kalau tidak dibeli pun tidak mengapa, tetapi rekaannya sangat comel, cantik dan benar-benar memujuk sehingga kita berfikir 'apalah sangat RM5 / RM10'.

Taktik perniagaan!

Mereka ini sangat kreatif hinggakan boleh menjual ais kepal kepada orang Eskimo. Secara analoginya, mereka hanya perlu meletakkan pelbagai perasa pada ais kepal itu dan letakkan di dalam bekas yang menarik. Orang Eskimo mana yang tak terliur melihatnya, walaupun di belakang rumahnya ada berlonggokan ais terbuang.

Yang kita beli dan bayar bukannya barang itu.
Yang dibeli ialah kreativiti dan masa untuk membuat produk tersebut.
Kalau kita ada masa yang terluang
Kita hanya perlu fikir sedikit, kreatif sedikit
Kita akan hasilkan sesuatu yang lebih baik
Daripada IKEA sendiri.

Fikirkan!

Ulasan

Catatan Popular