Beberapa kesalahan umum penulis

Dapatan daripada menghakimi sebuah sayembara baru-baru ini memungkin saya memetik beberapa kesalahan umum dan seringkali dilakukan oleh penulis. Walaupun rata-rata penulis yang mengambil bahagian ialah penulis muda yang muda pengalaman, tetapi terdapat juga penulis yang sudah ada pengalaman tetapi masih mengungkap persoalan yang agak klise.

Sebagai contoh :

1. Watak yang mati, mesti kerana lukemia / barah otak.
2. Watak yang mati mengejut, mesti kerana kemalangan jalan raya.
3. Jika diminta menulis untuk remaja, pastinya elemen cinta-cintaan yang berlebih-lebihan akan dimasukkan.
4. Banyak perkara lewah yang dimasukkan juga; seperti dialog bertele-tele tanpa sebab yang boleh menggerakkan cerita.
5. Latar masa dan latar tempat yang tidak jelas, tetapi watak itu tetap bercakap juga. Entah di manalah dia berbual agaknya. Nak kata karya itu absurd, tidak juga. Ia cuma karya biasa.

Dari aspek teknik pula :

1. Format penulisan masih ada yang tidak dapat menguasainya. Masih ada yang menghantar karya dengan langkau hanya sebaris (single spacing). Padahal, sangat jelas bahawa manuskrip sebaik-baiknya langkau 2 baris atau pun setidak-tidaknya 1.5. Jika penganjur telah menetapkan supaya ia mesti langkau 2 baris, janganlah cuba hendak lari daripada arahan.

2. Kekemasan karya tetap menarik perhatian panel / editor kerana dalam banyak-banyak karya yang berlambak di atas meja, tentulah keutamaan (pembacaan) diberikan kepada yang paling kemas dan sedap mata memandang. Lepas itu, barulah sama ada karya tersebut sesuai untuk dinilai.

3. Judul dan ayat pertama turut memainkan peranan besar untuk menarik pembaca. Saya rasakan sendiri bahawa ia sangat penting untuk memancing saya membaca.

Sebelum saya membaca semua naskhah, saya asingkan dahulu mengikut kriteria yang dinyatakan di atas, iaitu kekemasan, judul yang menarik dan perenggan pertama / halaman pertama yang menangkap. Kalau ia menepati kriteria saringan saya yang terawal, karya tersebut akan saya baca dahulu.

Bila kita sudah banyak membaca, kita akan dapati karya mana yang baik dan mana yang kurang hanya dengan membaca halaman pertama. Ada sesetengah cerpen yang sampai halaman 4 pun masih tak masuk lagi pokok / isi ceritanya. Konfliknya pun belum kelihatan. Amat meletihkan pembacaan. Kalau tak baca nanti tak adil pula, tetapi ia sangat mendera panel. Begitu juga dengan novel, adakalanya hingga bab 5 - 6 pun tak ada konflik yang diperkenalkan apatah lagi untuk dikembangkan.

Demikian, sedikit sebanyak coretan saya yang sempat saya turunkan. Memang sedang dan sudah mula sibuk dengan kuliah. Tetapi teringatkan teman-teman yang sudi singgah ke mari, saya usahakan catatan ringkas ini.

Semoga ada manfaatnya buat semua... insya-Allah.

Ulasan

Catatan Popular