Farris Dalam Kuntum

Masih ingat majalah Kuntum? Ia majalah kegemaran saya sejak darjah 4 hinggalah Tingkatan 1. (Selepas itu, baru saya beralih ke Dewan Siswa). Saya pun dah lama tak baca majalah Kuntum, apatah lagi, tiada adik yang boleh memanfaatkannya.

Dua bulan lepas berjumpa dengan Datin Amelia, editor Kuntum sewaktu Wacana Novel Remaja Utusan di Hotel Istana. Beliau sempat mendapatkan novel "Farris Putera Yang Hilang". Beliau sendiri yang akan membaca novel tersebut dan jika sesuai akan diulas dalam majalah Kuntum. Alhamdulillah, ulasan tersebut tersiar dalam Majalah Kuntum (Ogos 2005).

Kepada yang tidak sempat mengetahui apakah cerita Farris, sila dapatkan majalah Kuntum. Bagi saya, ulasannya baik dan memadai untuk memancing pembaca. Saya ingin sekali mendengar komen pembaca. Lebih-lebih lagi kanak-kanak yang membaca novel tersebut. Ini percubaan saya yang pertama menulis novel kanak-kanak. Setakat ini, saya menerima komen-komen yang positif.

Kata Maharam Mamat, yang membicarakan karya ini sewaktu di Seremban tempoh hari : Ia memuatkan falsafah besar yang disampaikan dalam bentuk yang mudah. Dalam nafas yang sama, beliau juga agak 'terkejut' kerana karya ini sesekali dipandang terlalu tinggi untuk kanak-kanak.

Falsafah? Hmm... entahlah. Itu komen pengkritik. Saya hanyalah penulis. Yang saya masukkan ialah fragmen-fragmen episod yang disusun mengikut sebuah plot. Dalam bahasa yang lebih mudah ialah, saya menulis cerita. Sama ada cerita tersebut ada pengajaran, falsafah ataupun pengertian, saya kira itu terpulang kepada pembaca membuat tafsiran. Seperti biasa, dalam kebanyakan karya saya, saya tidak akan melambakkan semua jawapan di dalam karya. Saya sentiasa mengajak pembaca mengambil bahagian dan sama-sama menafsirkan pengertian cerita.

Tinggi atau tidaknya falsafah tersebut, terpulanglah kepada pembaca. Bagi saya, sebuah karya itu harus ada cabaran ketika membacanya. Saya tidak pernah memandang rendah kepada kanak-kanak. Kanak-kanak hari ini bukan lagi kanak-kanak zaman saya, tentunya. Kalau sesetengah daripada mereka sudah boleh membaca Harry Potter, kenapa tidak ada karya dalam Bahasa Melayu yang setanding dengannya.

Saya tidak mengatakan Farris setanding Harry Potter. Tebal nipisnya sahaja sudah boleh membezakan kedua-duanya. Namun, jika ada peluang, saya harap ada pembaca yang sudi membeli, membaca dan menilainya. Saya juga percaya, novel ini bukan sahaja sesuai untuk kanak-kanak, tetapi untuk remaja, ibu bapa, guru dan sesiapa sahaja yang suka berfikir...

Ulasan

Catatan Popular