Eden Garden, JB

Insya-Allah, mulai 12 -14 September 2005 saya akan ke Johor Bahru. Ada jemputan untuk slot "Bersama Sasterawan" sempena Festival Kemerdekaan. Bakal berlangsung di Kolej Sultan Abu Bakar tetapi risik-risik yang saya terima, tempatnya mungkin bertukar. Saya dimaklumkan agak lewat juga, kira-kira dua hari lepas. Tidak dimaklumkan juga sama ada saya perlu menyediakan sebarang kertas kerja.

Apabila pihak GAPENA yang dihubungi kemudiannya memaklumkan bahawa slot tersebut merupakan forum dan turut sama menjadi panel ialah SN Arenawati dan Khalid Salleh. Tiba-tiba saya rasa kerdil. Apa sangat yang boleh saya perkatakan tentang proses kreatif saya. Baru ada sebuah novel remaja, sebuah novel kanak-kanak dan sebuah novel bersiri. Kalau hendak dibandingkan dengan Pak Arena saya ini seperti seekor semut yang bersin, siapa pun tak sedar. Lainlah Pak Arena dengan siri-siri triloginya yang menggegarkan dunia sastera. Begitu juga dengan Khalid Salleh yang tidak kurang hebatnya.

Majlis ini saya fikir sempena Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan peringkat kebangsaan yang diadakan di Eden Garden, JB. Turut berlangsung serentak ialah Festival Sastera Pelbagai Kaum. Kepada teman-teman yang akan berada di JB, kita jumpa di sana!

Ulasan

Catatan Popular