Dua Tahun Pemergian Guru Terbaik

Tahun lepas saya pernah menulis entri berjudul "Setahun Pemergian Guru Terbaik". Kini setahun sudah berlalu. Maka judul entri ini turut berubah.

Al-Fatihah untuk guru, mentor dan pembimbing, Almarhum Dr. Haji Othman Puteh (OP).

Biar pun cerita ini sekadar ulangan. Ada perkara yang perlu diulang-ulang. Kalaulah ingatan tentang dirinya dan hari beliau pergi meninggalkan dunia ini buat selama-lamanya masih basah, bayangkanlah perasaan isterinya dan anak-anaknya. Seringkali saya bayangkan, Puan Timah Baba. Beberapa kali saya singgah juga ke rumahnya, sekadar bertanya khabar.

Semakin hari saya lihat dia semakin tabah. Namun dalam hatinya, hanya Allah yang tahu.

Hizairi masih tiada khabar berita. Tetapi naluri seorang ibu kuat menyatakan bahawa anaknya itu masih ada. Cuma masa dan ruang memisahkankan mereka. Hizairi sudah hampir 5 tahun hilang begitu sahaja. Pulangnya OP ke rahmatullah benar-benar mencabar diri Puan Timah, saya percaya.

Betapa berat mata memandang...

Saya doakan Puan Timah Baba kembali menulis. Percubaannya menulis kembali telah terbukti apabila cerpennya "Kita Semua Akan Ke Sana" tersiar dalam Dewan Sastera tahun ini (tak ingat bulan berapa). Dunia satera masih memerlukan penulis-penulis yang berkualiti, apatah lagi tidak ramai wanita yang boleh menghasilkan karya berisi.

***

Sementara menulis tentang pengkarya wanita, sukacita ingin saya maklumkan, Puan Mahaya Mohd Yassin (Kak Mahaya) kelihatan sihat sedikit sejak keluar dari hospital Rabu lepas. Walau dengan kaki kanan masih bersimen, Kak Mahaya masih menunjukkan keceriaannya ketika menyambut saya di rumahnya. Dia tentunya duduk sahaja di sofa dan sudah kembali membincangkan hal-hal sastera, penulisan dan seputarnya.

Suaminya, Cikgu Salim masih lagi belum sedar tetapi secara fizikalnya telah memberi respons terhadap sentuhan pada tubuh badannya. Mudah-mudahan dia kembali sedar dengan kadar yang segera.

Ulasan

Catatan Popular