Erti Hari Raya dulu & sekarang

Kenangan malam tujuh likur bermain bunga api bersama adik sambil dilayani datuk masih lekat dalam ingatan penulis muda yang prolifik dalam genre novel dan cerpen, Nisah Haron, hingga hari ini.

“Selalunya emak menyediakan sepasang baju kurung yang dijahitnya sendiri untuk saya dan saya turut belajar menganyam ketupat daripada nenek kerana saya membesar dalam keluarga nukleas,” katanya.

Apabila memasuki alam remaja, Nisah sebagai gadis tidak bebas lagi menziarahi rumah jiran sekampung dan kegiatan berkunjung hanya berlangsung di kalangan rumah sahabat rapat dan sama sekolah.

Setiap tahun, mereka akan saling berkunjung atau menjadikan salah sebuah rumah di kalangan mereka sebagai medan berkumpul dan setelah berumahtangga serta memiliki tiga puteri, pengisian hari raya lebih kepada melayan kerenah anak-anak.

“Silaturahim sesama saudara dan sahabat lebih diutamakan dengan membawa anak kami bersama. Ini penting agar silaturahim tidak putus lantaran dunia yang semakin bersifat individualistik,” katanya.

Nisah yang menetap bersama ayahnya meskipun sudah berkeluarga, kini menjadi wanita utama dalam keluarga dan bertanggungjawab menguruskan persediaan hari raya kerana emak mahupun neneknya sudah berpulang ke rahmatullah.

Sungguhpun demikian, giliran pulang beraya tidak menjadi masalah kepadanya dan suami kerana mereka berdua sama-sama berasal dari Negeri Sembilan selain perjalanan dari rumahnya ke rumah suaminya hanya mengambil masa 40 minit.

“Kami akan berpisah sebelum raya kerana sebagai anak tunggal, suami perlu membantu ibunya mengemas rumah dan membakar lemang. Saya pula tidak boleh meninggalkan rumah kerana saya satu-satunya anak perempuan dalam keluarga.

“Kami sudah saling memahami keadaan ini. Malam hari raya, suami saya akan pulang selepas menyiapkan segala-galanya di kampung. Pagi selepas beraya di rumah, kami sekeluarga pulang ke kampung suami,” katanya.

-sumber : Berita Harian 3 November 2005-Link

Ulasan

Catatan Popular