Keputusan Anugerah Sastera Negeri Sembilan 2005

Alhamdulillah, lega! Tuhan memakbulkan sekian banyak permintaan saya supaya majlis malam Anugerah Sastera Negeri Sembilan dapat berlangsung dengan lancar. Sekembalinya saya ke rumah, saya tidak lupa melakukan sujud syukur. Ada terlalu banyak sebab untuk saya benar-benar bersyukur!

Tentang memenangi kategori hadiah eceran, saya ucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Sembilan atas keprihatinan kepimpinan YAB Menteri Besar, Setiausaha Kerajaan NS dan YB Dato' Ismail Lasim (selaku Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Gerakan Membaca) kerana menyokong perkembangan sastera tempatan yang telah dipinggirkan oleh kepimpinan yang lalu. Moga sokongan ini berpanjangan, insya-Allah. Penghargaan pihak kerajaan negeri atas karya-karya kecil saya amat saya syukuri.

Terima kasih juga kepada panel hakim kerana telah menjalankan tugas profesional dalam memilih karya-karya yang layak untuk merangkul paling berprestij di Negeri Sembilan. Panel hakim terdiri daripada Dr. Amida Abd. Hamid (Anis), Dr. Siti Zainon Ismail (UKM), Dr. Misran Rokimin (UKM), Hamzah Hamdani (GAPENA) dan A. Wahab Hamzah (DBP).

Majlis berjalan dengan lancar seperti yang saya katakan. Dari mula hinggalah ke akhirnya.

Namun bukan hadiah yang menjadikan saya benar-benar gembira malam tadi. Ada yang lebih baik daripada itu. PEN telah berjaya menghadirkan A. Latiff Mohidin ke majlis malam tadi. Ibarat sirih pulang ke gagang. Hingga jam 6.00 petang, urus setia mendapat pengesahan bahawa beliau tidak dapat hadir dan hanya diwakili oleh anak beliau. Tetapi selepas majlis bermula, dan ketika saya masih lagi berlegar-legar di luar dewan menunggu satu dua pemenang yang masih belum sempat hadir, saya dikejutkan dengan berita bahawa A. Latiff Mohidin sendiri yang sedang menunggu di lobi hotel. Suami saya yang turut menjadi petugas pada malam itu berkejar ke lobi.

Sah! Beliau hadir secara peribadi. Saya sendiri yang mengiringi beliau ke meja pemenang. Tak terkata rasa syukur dan bangga kerana anak negeri yang paling disanjungi senusantara ini sudi hadir dan kembali ke Negeri Sembilan semula.

Terima kasih kepada pengirim e-mel yang memaklumkan nombor telefon untuk menghubungi anak beliau. Jasa saudara tak kan saya dan pihak PEN lupakan.


Berikut Keputusan penuh Anugerah Sastera Negeri Sembilan 2005 :

ANUGERAH UTAMA

ANUGERAH SASTERA NEGERI SEMBILAN
RM10,000.00, Sepersalinan, Sijil dan Cenderamata

* ALLAHYARHAM KAMARUZZAMAN ABDUL KADIR (DHARMAWIJAYA)


HADIAH PENGHARGAAN PENGGIAT SASTERA NEGERI
RM3,000.00, Sijil dan Cenderamata

* HAJI SALIM @ PADZALI HAJI TAIB (AGUS SALIM)


KATEGORI TOKOH
RM2,000.00, Sijil dan Cenderamata

* TOKOH NOVEL - DR. ZAKARIA ALI
* TOKOH CERPEN - MOHD ALI MAJOD
* TOKOH PUISI - A. LATIFF MOHIDIN
* TOKOH ESEI / KRITIKAN SASTERA - DR. RAMLI ISIN
* TOKOH DRAMA - DR. MOHD ANUAR NOR ARAI
* TOKOH KARYA KANAK-KANAK / REMAJA - MOHD GHAZALI TOCHEH


KATEGORI KARYA ECERAN

Cerpen
RM500.00, Sijil dan Cenderamata

1. Amiza Khusyri Yusof (Salju Jabal Musa)
2. A. Latip Talib (Kebenaran)
3. Ali Majod (Perempuan Itu)
4. Nisah Haji Haron (Persidangan Agung Wanita Klasik)
5. Shazmee Rizal Agus Salim (Rahsia)
6. Siti Jasmina Ibrahim (Khabar Dari Jendela Omak)


Puisi
RM500.00, Sijil dan Cenderamata

1. Abdullah A.R. (Tanah)
2. Adnan Abd. Manap (Dusun 2)
3. Mahaya Mohd Yassin (Tiada Tertanding)
4. Nor Aziah Abdul Aziz Fadzilah (Kota Janji)
5. Shazmee Rizal Agus Salim (Gelanggang Kehidupan)
6. Zainal Abdul Kadir (Kata Laut)


Drama
RM500.00, Sijil dan Cenderamata

1. Dr. Anuar Nor Arai (Bisikan Malaya)
2. Siti Jasmina Ibrahim (Si Pemakan Hati)


Esei
RM500.00, Sijil dan Cenderamata

1. Abdul Latip Talib (Bahasa Menyalurkan Idea)
2. Nisah Haji Haron (Potensi Kedudukan Wanita Dalam Karya Sastera)
3. Nisah Haji Haron (Memahami Hak Cipta Sastera)
4. Zawawi Jahya (Sastera Dalam Rempuhan Globalisasi)


Karya Kanak-kanak
RM500.00, Sijil dan Cenderamata

1. Bahasa Othman (Siri Ceria Bestari)
2. Radzali A. Ghani (Siri Pengenalan Undang-undang Jenayah)
3. Zaid Mohd Saman (Siri Sahabat)


Karya Remaja
RM500.00, Sijil dan Cenderamata

1. Siti Eisah Abdul Rashid (Atok Siti)
2. Asrul Effendy Kamaruzzaman (Batu-Batu Kecil & Pasir)


Novel
RM1,000.00, Sijil dan Cenderamata

1. Zakaria Ali (Empangan)
2. Nisah Haji Haron (Mencari Locus Standi)

Tahniah kepada semua pemenang. Semoga penghargaan ini menjadi pemangkin untuk kita semua menulis lagi. Kepada yang selama ini 'meninggalkan' Negeri Sembilan, pulanglah, seperti kata YAB Menteri Besar pada malam itu.

Ini negeri kita.

Ulasan

Catatan Popular