Jaga Tepi Kain atau Selak Kain?

Seorang teman menghubungi saya baru-baru ini. Kami pun bukannya jarang berbual di talian. Biasanya setakat berurusan melalui SMS. Kali ini dia benar-benar mahu bercakap dengan saya.

Sesekali berdebar juga. Pendapat bagaimana yang dia inginkan daripada saya.

Setelah dia bercerita, kisahnya ialah tekanan kerana masih lagi belum berumah tangga pada usia yang sudah menghampiri angka 30. Seperti biasa, orang yang paling sibuk ialah orang luar. Ahli keluarganya sikit pun tak bising. Tetapi makcik-makcik, sepupu-sepupu yang tak sudah-sudah menyibukkan diri bertanya soalan cepu emas untuk dia.

Memang sakit hati apabila disoal begitu, apatah lagi oleh orang lebih tua. Apabila menjawab (gaya bahasa pun memang kreatif dan boleh menyebabkan orang tua itu sakit jantung) nanti kata kita ni kurang ajar pula. Tetapi hakikatnya, sebagai orang tua pula ada jenis orang yang suka sangat tanya bila anak dara seorang ni hendak kahwin. Macamlah dia yang nak tanggung kos perkahwinan kita.

Namun, segelintir orang Melayu yang sangat 'prihatin' ini memang gemar ambil tahu hal-hal peribadi orang lain.

  • Kalau belum kahwin - bila nak kahwin?
  • Sudah bertunang - bila nak langsung?
  • Sudah kahwin - bila nak dapat anak?
  • Lepas dapat anak pertama - 'bila budak ni nak beradik'?
  • Apabila anak dah berderet macam susun paku - uuuuiiii, ramainya anak kau.

Begitu juga dengan kenduri-kendara - soalan lazim orang golongan penyibuk ini ialah :

  • kalau tak nampak pelamin - tak bersanding ke pengantin ni?
  • berapa dulang hantaran?
  • berapa ribu hantaran?
  • bakal suaminya ni kerja apa?
Mujur juga tak banyak soalan demikian singgah ke telinga saya. Kalau sampai juga, minta maaf sajalah, kurang ajar ataupun tidak, pastinya saya akan menjawab balik. Andai tak sedap telinga mendengar... tadi siapa suruh tanya?

Biasanya orang yang paling sibuk bertanya inilah, orang yang tidak akan memberikan walau sekuman pun sumbangan kewangan, tenaga ataupun pendapat yang positif bagi menjayakan hari bahagia kita dan juga alam perkahwinan. Makin meruntuhkan itu mungkin ada.

Teman saya itu risau, andainya dia menjawab (dengan nada yang agak kasar kerana sakit hati dengan soalan-soalan tadi) apakah nanti, sekiranya teman saya melangsungkan perkahwinan mereka tidak akan datang?

Jawapan saya mudah. Andainya mereka tidak datang pun, walimah itu pasti berlangsung. Paling penting ialah perkahwinan itu mendapat restu ayah bonda. Apatah lagi, apabila bakal suami / isteri itu menepati ciri-ciri muslim/muslimah sejati.

Yang lain, pedulikan apa yang orang hendak kata. Apabila mendengar cakap orang yang mementingkan material, memang akan susutlah material kita juga. Asalkan kita sendiri berpuas hati dengan apa yang kita usahakan, tak perlulah mendengar kata-kata orang yang tidak memberi faedah langsung kepada kita.

Saya juga teringat kisah pensyarah saya yang berkahwin pada sekitar awal tahun 1980-an. Berbuih orang sekeliling berkata apabila dia memilih untuk tidak bersanding (tahun 80-an, masih belum ramai orang kahwin tak bersanding). Dia juga menjalankan walimah hanya dengan RM500. Hantarannya cuma RM2,000. Bakal suami hantar 3 dulang utama (cincin, wang hantaran dan senaskhah al-Quran sebagai mas kahwin). Sekadar iringan, buah-buahan & kek.

Katanya, "Saya tak mahu kasut naik atas dulang, baju pun saya boleh beli sendiri. Nanti lepas kahwin kami boleh pergi shopping bersama-sama." Almari dan katil pengantin juga dia tidak sediakan, "Apa fasal sibuk nak tengok di mana kami tidur? Saya tahu beli perabot sendiri lepas kahwin nanti."

Hakikatnya ialah dia berhasrat untuk tidak memulakan perkahwinan dengan hutang. Satu langkah yang amat benar. Andai hantaran perkahwinan sampai RM10,000. Berapa peratus daripada duit itu akan dapat dimanfaatkan oleh pengantin perempuan ?

Ulasan

Catatan Popular