Jawi di Seremban?


Papan tanda nama jalan seperti dalam gambar di atas sudah kelihatan di sekitar Seremban sehinggalah ke Senawang. Alhamdulillah, saya melihatnya dari sudut yang positif. Tulisan jawi kembali mendapat tempat di Seremban (walaupun akhbar Jawi sudah berkubur).

Sempat juga saya hantar catatan mengenai perkembangan positif ini ke Berita Harian melalui Surat Pembaca dan tersiar (berserta gambarnya) pada 13 April yang lalu di bawah judul Memartabatkan tulisan Jawi di papan tanda.

Mudah-mudahan tulisan jawi terus diberikan tempat yang sewajarnya seperti di bangunan-bangunan - perpustakaan, stesen kereta api, stesen bas. Jadi tulisan jawi itu tidaklah setakat di kawasan 'agama Islam' di Seremban seperti kawasan lingkungan Masjid Negeri, Majlis Agama Islam, Bangunan Baitul Mal, dan bangunan mahkamah syariah Seremban sahaja.

Tulisan jawi juga sebahagian daripada bahasa Melayu. Ia harus bergerak seiring. Biarlah Utusan Melayu Mingguan mati tidak bertalkin. Harus ada usaha untuk mewujudkan semula akhbar jawi yang lain dengan cara yang berbeza.

Mengapa kita harus melihat pada pintu yang telah tertutup itu juga, sedangkan ada pintu lain yang dibuka untuk kita.

Ulasan

Catatan Popular