Ada Apa di Shanghai?


(Bergambar di Yuyuan Garden)

Saya percaya ramai yang tertunggu-tunggu entri saya kali ini. Maaflah, dua tiga hari badan masih terlalu letih dan streamyx pula buat hal. Maaf juga, banyak gambar dalam entri kali ini (atas permintaan ramai). Jadi harap bersabar menunggu ia dimuat turun dalam komputer anda. Insya-Allah, gambar yang ada ini senonoh dan bersifat informatif :-)

*****

Soalan-soalan lazim tentang perjalanan ke Shanghai :

1. Bagaimana berkomunikasi? Ramaikah yang boleh berbahasa Inggeris?
Di hotel dan tepi-tepi jalan, sewaktu membeli-belah, kami bertutur seperti itik dengan katak (perhatikan perbandingannya, itik dengan ayam masih lagi spesis yang sama). Kami nak minta atau bertanya sama ada pihak hotel menyediakan seterika ataupun perkhidmatan menseterika pakaian pun payah.

Mula-mula tunjuk baju kemudian buat aksi menseterika. Dia ingatkan kami nak gantung baju, dia tunjukkan almari. Kami kata bukan. Lepas tu, buat lagi aksi seterika baju, dia tunjukkan bilik air - kononnya boleh basuh baju di situ. Akhir sekali, teman sebilik saya ambil sehelai baju dan bentang atas tilam, langsung buat aksi menggosok baju. Baru dia faham. Dia pergi dan kembali dengan seterika dan ironing board.

*phew* berpeluh juga nak berkomunikasi.

Sewaktu mendaftar masuk, kami juga dapati staf hotel yang paling cekap berbahasa Inggeris juga hampir tiada. Yang paling baik pun ayat Inggerisnya tunggang langgang dan sebagai pelancong, kami merasa sangat kecewa apabila banyak hasrat hati yang tidak kesampaian. Hendak bertengkar pun tak guna sebab dia bukannya faham.

2. Bagaimana kami mencari makan di Shanghai supaya tidak kebulur?

Secara dasarnya memang susah hendak mencari makanan halal. Maklumlah, saya bukannya ke sana untuk berumahtangga. Saya di sana mulai 23 - 27 Mei. Jadi masa untuk meneroka setiap tempat dalam bandar raya Shanghai itu memang agak terhad. Bagi aktiviti dalam kampus East China University of Politics and Law (ECUPL), makanan disediakan oleh tukang masak Cina Muslim. Pada mulanya kami tidak pasti dan tidak pula bertanya jadi kami 'balun' pisang 2 - 3 biji sewaktu sesi kudapan. *Erk* sungguh kenyang makan pisang. Maklumlah, pisangnya hampir separuh saiz pisang tanduk kita. Apabila kami dimaklumkan kemudian, barulah ramai delegasi Malaysia yang menjamah biskut-biskut dan kuih yang disediakan. Oleh sebab saya sudah was-was dari awal, jadi saya mematikan sahaja hasrat saya dan meneruskan dengan diet pisang sahaja.

Alhamdulillah, sewaktu merayau-rayau pada waktu luar persidangan, kami menemui restoran milik orang Melayu Malaysia yang joint-venture dengan Cina Muslim di Shanghai. Restoran ini pernah disiarkan dalam Majalah 3 tidak lama dahulu dan ketika mencari maklumat tentang restauran ini, saya tidak menemui sebarang maklumat dalam internet.

Namun ada 2 kebetulan yang manis: seorang pembaca saya yang baik - Sitie - telah meletakkan alamat restauran tersebut dalam ruangan respons. Saya sempat salin alamat tersebut. Kebetulan yang kedua pula dua daripada ahli 'kumpulan kami' (ada 4 orang delegasi Malaysia yang tinggal di hotel yang sama) yang mendapat bisnes kad restoran tersebut daripada orang Malaysia yang memang sudah biasa ke Shanghai. Jadi, saya pernah lihat restoran tersebut. Seorang lagi ada alamat restoran itu dalam tulisan Cina.

Jadi kami gabungkan maklumat kami. Naik keretapi bawah tanah (tube) - walaupun tak faham bahasa Cina. Kami redah saja. Mujur juga kami berempat ini agak adventurous, jadi banyak tempat yang dapat kami sampai atas 'keberanian' meredah sahaja. Bawa peta ke mana-mana, nampak orang yang agak-agak boleh membantu tanya saja.

Akhirnya, kami pun sampai ke restauran tersebut, seperti gambar di bawah :

Bergambar di hadapan restoran

Ini menu yang saya pesan. Nasi + kari daging. Bukanlah sedap sangat, tapi dah kebulur, semuanya ok.

Kami pun makan sepuas-puasnya. Maklumlah, dah sehari setengah tak makan nasi. Diet sebelum persidangan ialah roti, serunding, maggi, coklat dan telur masak 3/4. Restoran itu bukan sahaja didatangi orang Cina Muslim tetapi juga Cina bukan Muslim yang mahu makan masakan Malaysia. Kami pun makan nasi dengan kari ikan/daging. Kebetulan pada ketika itu, restoran juga penuh dengan rombongan dari unit jualan Karangkraf. (Khabarnya, jualan mereka tinggi, jadi dapat bonus - melawat Shanghai).

Pada hari lain, kami mencari restoran yang sama tetapi hal yang berbeza berlaku. Sewaktu kali pertama kami ke restoran Malaysia tersebut, kami naik keretapi bawah tanah dan turun di People's Park, seperti gambar di bawah : (jauh juga kami perlu menapak untuk ke restoran itu)


(Gambar berlatar belakangkan pintu keluar dari stesen bawah tanah People's Park, di belakangnya, Dr. Zaitun sedang bertanyakan arah daripada seorang yang kebetulan berada di situ)

Kali kedua, kami dinasihatkan oleh seorang pensyarah ECUPL memberi tahu, kami sepatutnya turun di Stesen Henan. Itu lebih dekat. Kami yang tak tahu menahu ini pun ikutlah cadangannya. Dia siap hantarkan kami hingga ke stesen terdekat, tolong belikan tiket dari Stesen Zhongshan Park untuk ke Stesen Henan.

Sampai di situ, kami tercengang-cengang. Setiap stesen mempunyai 4 jalan keluar (exits). Kami rasa kami keluar di pintu yang betul tetapi segalanya terasa asing. Dengan berbekalkan peta dan sepatah dua perkataan Mandarin yang pernah saya belajar sekitar tahun 1998, saya pun menunjukkan nama jalan lokasi restoran tersebut di Zhejiang Middle Road kepada seorang lelaki Cina. Dengan petahnya, dia memberi tahu sambil menunjuk-nunjuk jalan yang dimaksudkan. Dengan terlopongnya, saya tak faham apa yang dia perkatakan. Tapi saya menebak bahawa jalan yang saya cari itu ada pada hala yang ditunjukkan.

Itu sahaja yang kami ada, kami pun sekali lagi menjalankan aktiviti meredah.

Kami sesat. Tetapi tidak putus harapan. Macam-macam cara digunakan untuk mencari restoran tersebut. Termasuk menunjukkan gambar di hadapan restoran yang kami ambil sewaktu berada di situ dua hari sebelumnya. Tanya pada polis trafiknya juga dia tidak pasti. Jadi kami pun redah lagi.

Sedang kami meredah, seorang ahli kumpulan kami terpandang sebuah restoran kecil dengan tulisan "Bismillah..." di atas tulisan Cina. Kami pun yang memang sudah lebih dari kebulur (kerana meninggalkan acara makan tengah hari yang disediakan oleh penganjur - tak sanggup nak diet sayur dan cendawan lagi). Sebaik-baik sahaja kami melangkah masuk, tuan punya restoran kecil itu memberi salam. Tautan persaudaran sesama Islam segera berputik.



Daripada pertuturannya dengan pekerja restoran itu, kami dapati dia berbahasa Turki. Jadi, itu sahaja pilihan yang kami ada pada ketika itu. Menemui sebuah restoran yang dimiliki seorang Islam. Ataupun meneruskan pencarian restoran Malaysia yang kali ini entah di mana. Ada hikmahnya kami tersesat. Namun, kumpulan kami yang sangat adventurous ini. Tidak sempat hendak menyalahkan sesiapa atas kesesatan ini dan terus sahaja makan apa yang terhidang. Kami memesan kari (dua ekor ayam), nasi dan 2 pinggan salad. Ketika itu kumpulan kami jadi 6 orang kerana disertai 2 delegasi dari Malaysia juga.

Enak juga hidangan Turki ini. Karinya tidak guna santan. Saladnya memang sedap untuk diratah. Ditambah pula dengan teh Cina.



Nasi di sini semacam beras pulut sedikit. Jadi mudah untuk makan guna chopstick. Ia melekat dan tak mudah jatuh.


3. Bagaimana cuaca di Shanghai?

Sewaktu pesawat Boeing 777-200 penerbangan MH 388 mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Pudong, kami disambut oleh suasana jerebu. Kawasan Pudong hingga ke bandar raya Shanghai (sejauh 45 minit menggunakan lebuh raya) merupakan kawasan industri. Lagipun Shanghai juga merupakan bandar metropolitan dan bandar terbesar di China.


Matahari mencarak dan bersinar garang. Namun hawanya sedikit dingin dengan 23 C. Angin yang memukul pipi juga terasa dingin.

Hari pertama persidangan, dinginnya bertambah. Cuaca mendung. Sekitar tengah hari, hujan turun - sekejap lebat sekejap gerimis. Kata orang di sana, sudah lama Shanghai tidak hujan. Hmm... hujan rahmat tiba bersama-sama kami, barangkali.

Pada hari lain pula, cuacanya panas seperti di Malaysia, tapi tidaklah sampai 33 C. Bolehlah berpakaian nipis.

4. Waktu Malaysia dengan Shanghai berapa jauh beza ?

Malaysia dan China berada dalam zon waktu yang sama. GMT+8. Jadi waktu kita sama tetapi terbit matahari berbeza. Lagipun, ketika ini awal musim panas.

Jadi, siangnya lebih panjang dari malam. Subuh seawal 3.40 pagi. Terbit matahari 4.55 pagi. Jadi selewat-lewatnya 4.30 mesti bangun untuk sembahyang subuh. Lepas tu boleh tidur semula hingga 6.30. Biasanya kami akan bersarapan dalam bilik sebelum jam tujuh dan bersedia untuk diangkut pergi oleh bas yang disediakan oleh penganjur di depan hotel sekitar jam 8.00 pagi.

Zuhur lebih kurang 11.30 pagi dan asar 3.30 petang. Maghrib masuk jam 6.45 malam. Isyak jam 8.00 malam.

Jadi sebagai musafir kami agak mudah juga bersolat jamak dan qasar. Di universiti juga disediakan 2 bilik khas untuk solat. Satu bilik untuk Muslim dan satu lagi untuk Muslimah. Pihak penganjur mengambil kira juga hal ini kerana delegasi dari Malaysia yang Muslim terdiri daripada wakil UKM (4 orang), UIA (dalam 10 orang), UiTM (10), UUM (2), UM (2 -3).

Saya fikir itu dulu cetusan kali ini. Masih ada banyak lagi yang nak disampaikan. Mungkin dalam entri selepas ini pula, ya.

Selamat membaca dan sudi-sudikanlah mengirim respons.

Ulasan

Catatan Popular