Kepulangan ke Rahmat Allah

Pagi Isnin ini seperti biasa. Saya memulakan hari juga seperti selalunya. Cuma pada hari Isnin, saya akan dihubungi oleh pihak Terengganu.FM untuk siaran motivasi pagi jam 7.45. Sebelah malam saya telah mula fikir-fikirkan apa yang patut saya perkatakan pada pagi ini dan selepas subuh, saya akan terus mengadap komputer dan menjana ilham semalam.

Tulisan tentang Motivasi Pagi Terengganu.FM memang saya sengaja tulis dahulu sebelum menyampaikannya dengan beberapa tujuan: satu supaya ada dokumentasi di pihak saya; kedua: supaya saya tidak mengulang isu/topik yang sama; ketiga: ada kemungkinan saya ingin membuka satu blog lain tentang motivasi yang pernah disiarkan di Terengganu.FM.

Namun, pagi tadi hati rasa terusik apabila seawal jam 7.00 ada panggilan masuk ke telefon bimbit. Datangnya dari Bendahari PEN memohon pengesahan perkhabaran. "Betul ke Cikgu Salim meninggal dunia." Saya yang tidak mendengar apa-apa tentang itu, tidak memberi sebarang kepastian. Saya maklumkan kepadanya bahawa saya akan semak perkara ini terlebih dahulu.

Tidak lama selepas itu, masuk SMS dari Ketua II PEN Tuan Hj Zulkifli Abu mengesahkan perkara tersebut.

Ya, hari ini mantan Ketua Satu PEN - Agus Salim ataupun nama sebenarnya Hj Padzali @ Salim Haji Taib pulang ke rahmatullah pada jam 6.15 pagi. Ramai yang sudah mengetahui bahawa beliau merupakan suami kepada Puan Mahaya Mohd Yassin, Ketua Satu PEN sekarang.

Seusai bersiaran dengan Terengganu.FM saya terus menghubungi sahabat kenalan yang mengetahui tentang pasangan penulis ini. Mana yang patut SMS, saya kiriman pesanan, ada yang saya telefon dan ada juga yang saya faks. Yang penting maklumat itu sampai dan disebarkan. Apatah lagi khabarnya, pihak ahli keluarga mahu menyempurnakan jenazah sebelum solat zohor.

Saya sampai sekitar jam 10.30 pagi. Ketika itu jenazah baru selesai dimandikan dan sedang mula hendak dikafankan. Kak Mahaya bersimpuh setia di sisi jenazah sesekali mengelap air mata hibanya. Anak-anak lelaki cekatan membantu itu dan ini, menantu perempuannya juga turut berperanan.

Saya datang ke sisi Kak Mahaya selepas siri pelukan, esakan dan kata-kata semangat daripada para sahabat handai yang datang menyabarkan dan memberi penghormatan terakhir. Saya turut mengkhabarkan pihak-pihak yang sempat saya hubungi dan menyampaikan salam daripada pihak yang tidak berkesempatan hadir pada pagi tadi.

Ketika itu jenazah sudah dialihkan ke porch rumahnya yang agak luas. Sementara menunggu kereta jenazah sampai, semua yang hadir bertahlil ringkas. Tidak lama selepas itu, solat dimulakan. Pada waktu itu saya berasa terharu. Saya fikir ada lebih 40 orang lelaki dapat bersama-sama menyempurnakan solat jenazah. Memang rezeki arwah. Mereka bersempit-sempit mengambil ruang hinggakan ruang porch itu menjadi agak padat juga. Sesiapa yang terlambat hanya boleh menunggu di luar pagar sehingga solat selesai.

Sewaktu jenazah mahu diusung ke kereta, sekali lagi saya sebak. Terutama sekali apabila sekalian yang hadir membacakan Fatihah pada tiga langkah pertama.

Pada ketika arwah datuk, nenek dan ibu saya juga, saya orang yang agak sibuk ketika jenazah mahu disempurnakan. Jadi saya tidak berkesempatan untuk berhiba-hiba. Terlalu banyak tugas menanti dalam situasi yang agak pantas lagi ruwet itu. Tetapi sewaktu jenazah diazankan sebelum naik kereta jenazah, suara azan yang mendayu itu meruntun jiwa. Saya melihat itu sebagai perjalanan terakhir seorang insan (secara lahiriahnya) ke satu alam lain; walaupun hakikatnya roh itu sudah tiada lagi di situ.

Bukan mudah untuk menghadapi dan menyesuaikan diri selepas kehilangan ahli keluarga yang disayangi. Lebih-lebih lagi Kak Mahaya sekeluarga memang melimpahkan rasa kasih sayang kepada semua ahli keluarganya. Anak-anak mereka dididik dengan kasih sayang, bukannya dengan jerit herdik. Hasilnya, anak-anaknya menjadi manusia yang bersopan santun dan berhemah tinggi. Pasangan pendidik ini benar-benar menjadi seorang pendidik walau di mana sekalipun mereka berada.

Siapa yang tidak sebak, apatah lagi esok merupakan hari lahir Arwah Cikgu Salim...

Perjuangannya dengan PEN tidak pernah berhenti. Arwah merupakan penyair gigih hinggalah ke saat beliau ditimpa kemalangan pada 9 Oktober 2005. Tahun 2005 merupakan tahun beliau yang paling prolifik, seolah-olah ada banyak amanat dan pesanan yang mahu ditinggalkan buat keluarga, bangsa dan agamanya.

Bersemadilah dengan tenang di sana. Insya-Allah perjuangan memartabatkan bahasa, sastera dan penulisan ini akan kami teruskan.

Al-fatihah

Ulasan

Catatan Popular