Sebelum saya teruskan entri tentang Shanghai yang seterusnya, ada selingan sikit. Ada yang meletakkan respons dalam kotak reaksi bagi entri saya yang berjudul "Bahasa rancu, esemes & standard"
erm..ape salahnye gune bahase sms? kalau dapat kerat mase penghantaran sampai 2 kali ganda.. kalau ade makcik tgh kene rompak, kan lagi cepat polis sampai kalau die tulis "TLG DTG SKRG!! ORG TGH ROMPK SY DI KLCC!!"
kite kene pandai meletakkan penggunaan dia je la.. kalau dalam surat rasmi ke, ceramah ke, memang la tak boleh..kadang2 org bahasa ni terlalu memandang benda yang remeh sampai benda lagi besar tak boleh nampak.. lagi pun, guna bahasa tak formal (mcm yg saye tgh gune skg ni) lagi sampai maksud die, lagi berkesan. cube bace balik komen2 kat atas ni, kan rase kurang keberkesanan dia? rase cam tgh cakap ngan robot.
TheBigKahuna
Inilah contoh yang mahu saya perkatakan. Cuba lihat pada perkataan-perkataan yang telah saya gelapkan.
Ejaan kite dan "kita" mempunyai bilangan huruf yang sama demikian juga :
bace - baca
gune - guna
cube - cuba
rase - rasa
bahase - bahasa
mase - masa
kene - kena
Ini bukanlah sistem singkatan yang berkesan. Pun begitu, saya tidak ada masalah dengan singkatan yang digunakan dalam contoh esemes:
TLG DTG SKRG!! ORG TGH ROMPK SY DI KLCC!!"
OK, saya tidak akan mempertikaikan logiknya (orang tengah kena rompak takkan sempat mengirim esemes).
**Nisah Haron garu kepala membayangkan bagaimana mak cik yang pakai selendang renda simpul di leher dengan baju kebaya nyonya dan berkain batik lepas, tergigil-gigil akibat dirompak, sedang memegang telefon bimbit dan sempat menaip esemes.**Kecuali perkataan "ROMPK" dan "SY", yang lain merupakan singkatan yang betul. Ia singkatan yang standard dan boleh difahami.
Seperti juga sistem chatting, singkatan juga perlu standard. Kalau tak tahu perlu belajar. Kalau dalam chatting, kita akan temui singkatan- singkatan seperti gtg, wb, :-), fyi, imho yang hanya akan difahami dan harus difahami oleh penggunanya, demikian juga dalam sistem singkatan Bahasa Melayu.
Ini bukan soal membesarkan benda yang remeh. Ini soal jati diri dan kebolehpercayaan terhadap bahasa sendiri. Saya bukannya suruh tulis esemes seperti tulis surat kiriman:
"Ke hadapan saudaraku, si polan bin si polan, semoga berada dalam rahmat-Nya. Tujuan saya mengirim esemes ini ialah untuk memaklumkan kepada saudara bahawa Bahasa Melayu sedang sakit tenat. Oleh itu, marilah kita berbahasa sebaik-baiknya."
Ringkasnya : "Bahasa Melayu tenat. Gunakan bahasa yang betul".
Alasan bahawa menaip esemes lambat kerana satu kunci perlu ditekan beberapa kali bagi mendapatkan huruf yang dikehendaki sudah tidak boleh diterima lagi. Cuba perhatikan sekeliling kita, lihat bagaimana pantasnya jemari mereka yang menaip atas telefon bimbit. Malah ada yang lebih laju daripada menaip di atas papan kekunci komputer.
Ya, saya faham konteks menaip esemes lebih kepada aspek bunyi ataupun sebutan perkataan. Oleh sebab itu saya menerima esemes dalam Bahasa Inggeris daripada pelajar Tionghoa :
"Puan, 2molo got clas?" (Puan, esok ada kelas?)
Masihkah saya membesarkan perkara yang remeh?
Sistem ejaan dan sebutan dalam Bahasa Melayu merupakan sistem yang paling mudah (di dunia, malah). Sebut seperti ejaan, eja seperti sebutan. Bukan seperti Bahasa Inggeris ataupun Bahasa Perancis, yang ada sesetengahnya lain dieja, lain disebut.
quay - sebutan "ki"
grand prix - sebutan "ghron pri"
Saya percaya di sekolah juga telah diajar atau disentuh sedikit sebanyak tentang bagaimana mahu menulis singkatan pada tempat-tempat yang sesuai. Kalau tak pernah belajar pun, rajin-rajinlah buka Kamus Dewan, itu pun saya perlu ajar?
Kepada saudara yang menegur/menyapa/memberi reaksi di mana-mana sekalipun dalam blog saya, saya tetap menghargainya. Itu pandangan saudara. Tetapi ini reaksi saya. Bagi saudara yang menuntut di luar negara, merantau ataupun apa-apa sebab untuk tidak berada di tanah air, inilah masanya untuk membawa, mengangkat dan memartabatkan Bahasa Melayu ke peringkat antarabangsa.
Bahasa ialah alat bagi mencapai maksud. Jika bahasa cacat, maksud juga boleh tersasar. Saya bukanlah cauvinis Bahasa Melayu. Saya percaya bahasa kita mesti fasih dalam sekurang-kurangnya dua bahasa. Lebih banyak lebih baik. Peribadi, saya fasih berbahasa Inggeris, boleh berbahasa Arab, merangkak-rangkak berbahasa Mandarin, jalan-jalan jatuh berbahasa Perancis dan jika ada masa mahu memantapkan bahasa-bahasa tersebut. Namun, Bahasa Melayu tetap bertakhta di hati.
Dalam mana-mana bahasa di dunia terkandung budaya, jiwa dan jati diri. Apa lagi yang boleh saya perkatakan?
Tidak percaya dengan kebolehan Bahasa Melayu? Sila berhenti daripada menjadi orang Melayu dan cubalah keluar dari makna "Melayu" seperti yang disebut dalam Perlembagaan Persekutuan.
Ada pakar bahasa yang ingin memberi komen? Saya alu-alukan.
p/s : Bacaan tambahan - sila singgah ke blog Sdr Rastom.
Ulasan