Membuat keputusan
Hidup kita dibentuk oleh keputusan dan tindakan yang dilakukan pada setiap saat. Mengambil keputusan untuk menerusan kehidupan ialah sesuatu yang amat penting demi sebuah kelangsungan.Selalunya, manusia itu bukan tidak mampu mengurus diri dan kehidupannya. Dia sebenarnya enggan membuat keputusan.
Contoh mudah: mengemas kamar. Sebuah kamar yang semak, bukanlah kerana penghuninya malas, tetapi pada saat yang diperlukan dia enggan membuat keputusan ke atas objek-objek yang ada di atas meja, lantai atau yang tidak berada di tempat yang sepatutnya.
Apabila kita memilih untuk membuat keputusan ke atas sesuatu dan kemudiannya kekal berada dan bertindak terhadap keputusan itu, barulah ada perubahan yang boleh berlaku.
Hal ini saya temui sewaktu bertugas sebagai peguam syarie dahulu. Ramai wanita yang terperangkap dalam perkahwinan dan hubungan yang tidak sihat. Mereka terus berada di dalamnya dan ada yang berkeluh-kesah. Untuk berubah, seseorang itu mestilah bertindak, sebelum bertindak, mestilah membuat keputusan dan tentunya sebelum membuat keputusan, perlulah melihat pilihan-pilihan yang ada di hadapannya.
Nyata bahawa sikap enggan atau tidak mampu membuat keputusan itu boleh menjadikan seseorang itu terbunuh dengan sendirinya.
Ulasan