Realiti dalam Karya, Realiti dalam Kehidupan


Polemik berpanjangan antara penulis sastera tinggi dan sastera picisan ialah persoalan memasukkan realiti dalam karya. Apabila melihat lambakan buku sastera picisan di pasaran, penulisnya mati-mati mempertahankan bahawa segala yang realiti itu wajar diabadikan dalam karya mereka. Sebab itulah ada banyak kisah yang ditulis berulang-ulang tentang lelaki dan perempuan bukan muhrim berjalan berpegangan tangan, tentang skandal seks datuk dan tan sri, tentang suami/isteri yang curang dan segala perlakuan negatif yang ada dalam kehidupan itu kalau boleh semua sekali mahu disumbat-sumbat dalam novel mereka biar novel itu tebal.

Jadi apa yang hebat sangat dengan karya yang meruntun emosi pembaca ini? Mengapa makcik-makcik adik kakak menghabiskan sekitar RM20 hanya untuk menangis? Kata seorang penulis, menangis itu baik kerana pembaca itu dalam mengeluarkan tekanan dalam diri. Mengapa harus seseorang itu menangis selepas membaca novel sekian-sekian? Bukankah air mata itu sewajarnya untuk Tuhan. Menangis kerana mohon ampun, kerana sedar diri ini banyak dosa, menangis kerana diri kita kerdil di hadapan Tuhan - bukankah itu lebih afdal, berbanding menangis kerana pasangan yang berkorban atas nama cinta biasa?

Itulah kepelikan manusia, barangkali.

Apabila bercakap tentang novel, antara asal usul makna novel - ialah sesuatu yang baru, sesuatu yang belum pernah dilakukan orang lain. Cuba cari makna novel dalam kamus bahasa inggeris. Selain memaknakannya sebagai sebuah buku cerita, novel disebut sebagai something novel, something new. Jadi apabila karya itu mengulang formula yang sama, ia bukan lagi sesuatu yang novel, jelasnya ia bukan novel dalam ertikata ini. Ia sekadar buku cerita biasa. Tiada yang istimewa lagi.

Sebagai penulis ataupun calon penulis, anda ada pilihan. Mahu memasukkan segala kebobrokan dalam karya ataupun mengabadikan sesuatu yang indah dan mendorong manusia membuat kebaikan supaya ganjarannya bukan sahaja dapat dikutip di dunia, tetapi di akhirat juga. Sudah saya katakan beberapa kali, menulis itu amanah. Memegang status penulis itu sangat tinggi tanggungjawabnya terhadap agama dan bangsa. Menulis itu pekerjaan mulia (hatta menulis blog sekalipun).

Ingatlah bahawa setiap sesuatu yang ditulis itu ada pembacanya. Kalau penulis itu berjaya mempengaruhi pembaca untuk berbuat kebaikan, pahalanya, Allah sahaja yang tahu.

Tetapi, kata penulis picisan ini lagi, untuk memasukkan pengajaran, saya perlu masukkan yang buruk-buruk itu supaya nanti pada akhir cerita, watak-watak itu akan sedar akan kesilapannya. Ataupun, katanya, saya memasukkan kisah yang tidak dipaparkan secara terbuka seperti kisah skandal, kisah penyanyi ataupun ratu cantik di belakang tabir. Ini semua untuk pengetahuan pembaca, katanya lagi.

Aduhai... inikah lesen yang mewajarkan penulisnya menggambarkan dengan begitu grafik seorang anak lelaki merogol ibunya sendiri, ataupun menceritakan bagaimana kehidupan mat rempit dan bohsia sebelum mereka insaf, ataupun bagaimana tan sri-tan sri menyimpan perempuan di merata tempat sebelum mereka akhirnya sedar diri.

Alahai, ada banyak lagi kisah yang boleh digarap dalam karya. Alasan demikian, nampak sangata bahawa pengarang itu tidak kreatif. Itu sahaja yang dia nampak, buat baik dibalas baik, buat jahat akhirnya dibalas jahat dan langsung insaf. Hidup bukannya semudah itu.

Ada banyak lagi kisah yang baik-baik boleh diabadikan. Mengapa yang bobrok itu juga mesti diangkat langsung diabadikan. Dunia ini sudah penuh dengan kebobrokan. Mestikah dalam karya juga, hal yang sama diangkat dan diagung-agungkan.

Aduhai, masih jauh lagi perjuangan dengan al-qalam ini...

Ulasan

Puan Ainon Mohd. berkata…
Puan Nisah,

Penulisan sastera picisan (baca sastera mungkar) hidup subur disebabkan ada penerbit yang menerbitkannya. Apabila ada permintaan dari penerbit, maka adalah pembekalnya.

Maka tanggungjawab penerbit termasuk memerangi sastera mungkar dengan menolak godaan duit yang berjuta-juta hasil jualan sastera seperti itu. Aduhai! Beratnya.....
Nisah Haji Haron berkata…
Sastera mungkar!

Ya, saya suka dengan istilah itu.
Tanpa Nama berkata…
... kita punya selera sendiri-sendiri. Selera yang berhawa nafsu-nafsi itulah yang nampaknya digemari. Bisakah kita seenaknya mengalihi?

Catatan Popular