Pertama kali kakiku memijak bumi Borneo
Hujan gerimis dari KLIA rupa-rupanya turut sama hingga ke Kota Kinabalu. Kabus menyelubungi banjaran gunung di kejauhan. Saya percaya itulah Banjaran Crocker. Tetapi yang mana satu Gunung Kinabalu saya tidak pasti. Pemandangannya terlalu indah sehingga menitik lagi air mata ini. Terlalu agung ciptaan Ilahi. Laut China Selatan yang terbentang biru, lingkaran sungai, barisan gunung, kabus tipis, kehijauan di mana-mana. Ah, tidak mungkin dapat saya gambarkan dengan kata-kata.
Selain waktu berlepas, satu turut menyukai waktu mendarat. Apatah lagi ketika mendarat di tempat-tempat yang belum pernah sampai. Melihat dari perspektif udara tentunya sangat berbeza daripada berada di darat. Dan tentunya, air mata itu tanda kesyukuran yang teramat kepada-Nya kerana masih lagi memberi perlindungan dan keselamatan di sepanjang penerbangan serta membenarkan saya terus berjuang dengan pena dan kata-kata di daerah serba baru ini.
Ketibaan saya disambut sahabat lama - Asmiaty. (Kepada yang pernah mengikuti entri saya sewaktu di Mastera Palembang, dialah teman membeli belah buku di Jakarta, hingga pulang ke Malaysia lewat sehari). Dibawanya pusing-pusing kota sambil mengambil anak-anaknya pulang dari sekolah. Beberapa kali dia dan suami memohon maaf, tetapi saya katakan inilah peluang saya untuk melihat setiap sudut Kota Kinabalu.
Komen sinis suami Asmiaty - KK penuh dengan gereja. Eloklah, kalau buat banyak masjid pun, belum tentu orang Islam hendak ke masjid. Itupun, masih ramai yang tak sedar diri.
Sebelah petangnya, saya dibawa terus di DBP Cawangan Sabah bagi menguruskan acara di Tenom nanti. Dekat benar rumahnya dengan DBP, tidak sampai 10 minit pun. Hanya perlu melewati Hospital Likas.
Sebelum senja, sahabat blogger Rem pula singgah bagi mendapatkan buku-buku yang dipesan sebelum saya terbang ke mari. Pertama kali bertemu Rem, walaupun selalunya panas berdebat di laman siber sahaja. Wajah Rem yang pernah saya lihat hanyalah menerusi keratan akhbar sewaktu menjadi UM menjadi Johan Pesta Pantun IPT (ketika itu diwakili Rem, Hizairi dan Zaleha Ahmat). Saya juga cuma mengagak itu Rem apabila "Gen-tayu"nya berhenti di hadapan pintu rumah Asmiaty.
Pagi ini Kota Kinabalu masih basah. Hujan lebat sejak jam 4.30 pagi.
Ulasan
Wassalam.
Oppps, ramai juga rupanya yang kenal dengan Leha (saya panggil dia begitu saja). Tapi memang, dia seorang yang sangat teliti. Bukan setakat ejaan nama; tapi juga serba-serbi. Berapa harkat satu bunyi itu wajar 'diheret' pun - Zaleha sangat prihatin. Masa berlatih pantun dengan dia dulu-dulu, jenuhlah saya dan Hizairi melayan kecermatannya. Err, apa cerita terbaru kehilangan Hizairi ya?
Terima kasih atas teguran. Sudah saya perbetulkan.
Rem,
Benar. Penulis bertemu penulis biasanya memang lekas mesra. Sayang sekali tak sempat nak melawat UMS.