Terbit di maya, terbit di kertas
Akhir-akhir ini saya perhatikan beberapa sahabat bloggers yang banyak menyiarkan karya di laman web sendiri. Tahniah! Itu satu perkembangan yang baik. Kini, untuk membaca sajak ataupun bab-bab novel juga sudah boleh didapati secara maya.
Di sini saya ingin menimbulkan soal etika dalam penerbitan.
Contoh :
Sajak tentang Palestin / Lubnan / kekejaman Israel disiarkan dalam laman web perbadi. Kemudian, sajak itu tentunya boleh diakses oleh sekelian pembaca yang ada akses kepada internet. Ada yang beri respon, ada yang menghayati. Pendek kata, karya itu telah dibaca terlebih dahulu.
Beberapa bulan kemudian, karya yang sama dilihat terpampang di akhbar, majalah ataupun mana-mana media cetak.
Jadi apa masalahnya? Ini bukan isu plagiat, mungkin ada yang berkata. Ini karya sendiri bukannya mengambil karya orang lain.
Ya, saya juga tidak menyentuh hal plagiat. Tetapi ini soal etika.
Bayangkan: mengapa karya kita dibayar setiap kali ia tersiar di majalah? Sebab utama dalam undang-undang hak cipta ialah kerana penulis memberi hak secara eksklusif kepada penerbit berkenaan supaya menyiarkan karya tersebut. Dengan perkataan lain, hak penerbitan kali pertama diberikan kepada penerbit berkenaan.
Malangnya, apabila ia sudah disiarkan di blog ataupun di mana-mana laman maya terlebih dahulu, ini bermakna karya tersebut tidak lagi eksklusif bagi majalah / akhbar tersebut. Malah, jika pihak media cetak (setelah mendapat tahu) berhak untuk tidak membayar karya yang tersiar di media cetak tadi.
Inilah yang ingin saya nasihatkan. Jika mahu hantar sesebuah karya itu diterbitkan di mana-mana media cetak, usah disiarkan dalam blog ataupun yang seumpamanya.
Ingat ya, wang honorariumnya anda ambil, tetapi hak eksklusif itu anda tidak berikan kepada penerbit. Tentu tidak adil, bukan?
Mungkin ada juga yang akan berkata, 'biarlah saya nak terbit berapa kali pun. ini karya saya'. Benar, itu karya anda. Tetapi saya bercakap dari aspek etika sebagai penulis.
Untuk siaran di blog tak ada masalah jika ia disiarkan selepas tempoh eksklusif itu tamat. Jika karya yang tersiar dalam majalah bulanan: katakan karya anda tersiar dalam bulan September, siarkanlah dalam blog mulai 1 Oktober hingga bila-bila pun.
Jika cerpen atau sajak tersiar dalam akhbar hujung minggu, anda boleh siarkan di blog pada keesokan harinya.
Mudah bukan?
Kalau nak siar sebahagian sahaja, tak ada masalah - untuk jadi teaser kepada membaca. Bukannya untuk disiarkan semua sekali sewaktu tempoh eksklusif itu diberikan kepada penerbit.
Ingat ya, duitnya anda ambil. Biarlah duit yang diambil itu, duit yang berkat. Sebab itu sebuah karya yang sama tidak boleh disiarkan dalam dua tempat.
Ulasan
Itulah yang saya harapkan. Agak banyak kejadian begini terlihat di laman sawang / blog masing-masing.
Tapi kalau kita hantar untuk penerbitan tak berbayar, ok ke? Saya pernah buat ini sekali. Saya hantar puisi dalam blog saya untuk terbitan Antologi Resam (DBP), iaitu himpunan puisi penulis Sabah yang dibaca sempena majlis pembacaan puisi tak henti-henti selama 58 jam itu! Tapi saya faham bahawa penerbitan ini lebih bersifat khidmat komuniti, dan bukan komersial. Syarat yang DBP bagi, sajak-sajak yang belum tersiar dalam mana-mana media cetak.
So, ok ke cam gitu Nisah? Menyalahi etika? Saya pula yang fobia bila baca entri ini. :)
Kalau untuk diterbitkan semula dan memang tidak akan dibayar, ataupun untuk himpunan, pengumpulan semula, tak jadi hal sangat. Itu terpulang kepada penulisnya sendiri.
Yang saya tekankan ialah penyiaran di media cetak terutama sekali akhbar dan majalah. Mereka mengharapkan bahawa kita menghantar kepada mereka secara eksklusif tetapi rupa-rupanya, mereka bukanlah orang pertama yang mendapat karya kita.
Itu yang salah dari aspek etika.
Harap penerangan ini menjawab soalan :-)
Oh ya, bahan-bahan pasal Antanom tu.. sorry-lah ya Nisah. Masa hari tu kelam kabut. Belum sempat selongkar. Sekarang ni tengah ada trip penyelidikan kat UK. Sebulan. Balik dari sini nanti (dalam dua setengah minggu lagi), saya akan cuba ikhtiarkan.
Salam.
PS: Maaf, hal-hal personal yang tak ada kena mengena dengan entri dibawa masuk ke blog. Tapi malas nak buka email Yahoo.. kekadang tu, lembab betul servernya!
Biarlah orang yang makan cili merasa pedasnya. Lain kali, moga dia takkan buat lagi.