Ini Bukan Persoalan Kasta


Zaid Akhtar telah menulis sebuah respons sekembalinya beliau dari Bogor dengan tulisan berjudul Pilihlah Pembimbing Berwibawa. Keesokan harinya, Editor ruangan sastera dan budaya Mingguan Malaysia menulis tentang Kasta Dalam Sastera.

Sebelum membaca entri saya ini, mana-mana pembaca yang belum meneliti kedua-dua tulisan tersebut disarankan berbuat demikian terlebih dahulu. Memandangkan terlalu ramai yang mahu 'melatah' di luar konteks, saya fikir saranan ini wajar.

Saya tidak berada di Bogor untuk mengabsahkan apa yang ditulis sdr Zaid Akhtar secara seratus peratus. Namun, pemilihan tokoh pembimbing dari Malaysia itu sememangnya menimbulkan banyak tanda soal di mana-mana. Pembimbing yang terpilih tahun ini - Ahadiat Akashah dan Siti Aishah Murad, seharusnya tidak boleh mengambil kritikan ini secara peribadi. Jika diperhatikan, tudingan Zaid bukanlah menjurus kepada pembimbing tetapi lebih kepada institusi yang mewajarkan mereka untuk sampai ke sana.

Bahkan, kita yang tidak sampai ke Bogor ini juga boleh menebak apa yang telah berlaku. Meletakkan pembimbing Malaysia sebaris dengan pembimbing Indonesia, Brunei & Singapura sahaja sudah nampak cacat celanya. Terasa seperti kita sudah ketandusan tokoh untuk membuktikan bahawa sastera di Malaysia masih relevan.

Apabila Sdr Kuseman menyambut tulisan Zaid dengan jawapan yang terkeluar daripada lingkaran persoalan, marilah kita perhatikan kembali. Bila pula kita bercakap soal kasta dalam sastera.

Sastera itu sastera. Noktah.

Tiada istilah sastera elit.
Apatah lagi sastera pop.

Menamakan sastera elit itu sahaja sudah bersifat lewah. Sastera itu memang untuk mereka yang elitis. [Lewah = Samalah seperti turun ke bawah, dan naik ke atas. Turun mestilah ke bawah, dan naik tentunya ke atas.]

Siapakah elitis? Dalam konteks sastera, ialah kelompok yang boleh menggunakan akal dan fikiran bagi menajamkan daya taakulan dan pemikiran. Dengan perkataan lain, kelompok yang rajin berfikir dan menafsirkan isi kandungan sebuah karya sastera.

Sastera pop? Ini suatu istilah yang sangat mengelirukan. Yang pop itu bukanlah sastera. Apabila Kuseman menyamakan novel-novel popular sebagai karya sastera, ini samalah ertinya memanggil air anggur dalam kotak sebagai perahan air anggur. Sedangkan air itu sama sekali air yang dicampurkan dengan bahan kimia supaya saraf-saraf dalam tubuh badan serta otak kita percaya bahawa inilah perahan air anggur. Sedangkan, tak sampai 1% peratus pun daripada jus anggur itu mengandungi kandungan anggur.

Masihkah kita mahu memanggilnya sebagai perahan air anggur ataupun jus anggur, sedangkan ia mungkin sahaja kordial anggur?

Apabila Kuseman menyamatarafkan novel-novel picisan di Malaysia dengan karya-karya John Grisham dan J.K. Rowlings, sekali lagi itu satu perbandingan yang tidak adil. John Grisham, peguam yang meninggalkan profesionnya untuk menjadi penulis sepenuh masa menulis karya-karya besarnya seperti The Firm, A Time to Kill, King of Torts, The Brethren, The Runaway Jury dan sebagainya merupakan penulis yang mempunyai disiplin pengajian sebelum bergelar penulis. Karyanya penuh dengan penyelidikan dan amat membantu pembaca mendalami karya tersebut. Karya-karya Grisham pula bukan untuk golongan yang malas berfikir seperti yang ada di kalangan karya picisan di Malaysia.

Wajarkah perbandingan itu dibuat?

J.K. Rowlings pula sebagai novelis Harry Potter yang digilai kanak-kanak dan remaja (juga orang dewasa) seluruh dunia pula, tidak mempunyai perbandingan yang setara di Malaysia. Jika ada pun, kita sepatutnya berbangga mempunyai novelis fantasi Ahmad Patria Abdullah, tetapi penerbitnya sendiri - DBP - seolah-olah tidak percaya bahawa novel ini mempunyai khalayaknya yang tersendiri apabila tidak lagi mecetak ulang karyanya.


Kata Kuseman lagi :

Kedua-dua contoh ini bukanlah lahir daripada kelompok sastera elit. Malah mereka tidak pernah menganggap diri mereka sebagai orang sastera.Tetapi novel-novel mereka bukan saja menjana pendapatan yang hebat malah sangat berpengaruh.

Penulis yang menghasilkan karya sastera sama sekali tidak mengharapkan pulangan wang ringgit. Janaan ekonomi yang diharapkan bukanlah datangnya dari dunia ini tetapi janaan ekonomi akhirat. Untuk apa dapat royalti beribu-juta tetapi gagal membentuk peribadi positif hatta seorang pembaca pun.

Dunia hari ini terlalu ghairah memperkatakan tentang estetika bentuk semata-mata tanpa memberi peluang kepada pembaca mengambil bahagian dalam proses menikmati sesebuah buku. Paparan estetika makna pula semakin terhakis apabila novel-novel popular hari ini lebih menekankan unsur-unsur hiburan, didaktik, kerancuan bahasa dan pembaca pun lemas dalam air mata.

Lalu, mereka pun kembali menerjah penulis sastera dengan :

Hello, dengan wang royalti buku, aku dapat beli kereta tau!
Dengan wang royalti buku, aku dapat belikan emak aku rumah!
Dengan wang royalti buku, aku dapat buat rumah besar!

Alahai... itu sahajakah yang dapat dilaung-laungkan oleh kelompok ini. Menulis untuk mendapat keuntungan materi semata-mata? Baguslah, kalau mereka dapat semua itu di dunia. Sekurang-kurangnya itu hasil titik peluh mereka. Bukannya mereka curi, bukan?

Ini juga bukan persoalan iri daripada kelompok sastera yang tidak mampu membayar ansuran bulanan kereta pun, jika mereka ini menjadi penulis sepenuh masa.

Tetapi mereka yang kadangkala tidak dapat meladeni hidup dengan penuh kesempurnaan itulah yang seringkali menghasilkan karya-karya menggugah minda. Bukan sekadar mengulang tema-tema yang sama ataupun setakat menukar nama-nama watak dan latar supaya novel yang kelihatan berlainan dihasilkan dan mahu dilihat prolifik.

Kuantiti bukanlah penanda aras kepada kualiti sesebuah karya!

Yang berkasta bukanlah karya tetapi pembaca itu sendiri. Pembaca yang tidak berjaya meningkatkan diri dalam hiraki pembacaannya akan kekal berada kelompok pembaca karya picisan, gemar bermain dan melayan emosi, tidak mampu berfikir secara rasional dan tidak mampu berfikir pun sebenarnya.

Lantas, mereka tentu sahaja menjauhkan diri daripada karya-karya Sasterawan Negara. Berapa ramai yang menyanggupi karya Arena Wati? Berapa ramai yang kenal akan nama Arena Wati? Masih terdapat mereka yang bertanya, Arena Wati itu lelaki ataupun perempuan? Nah, di sinilah ceteknya pemikiran mereka. Belum pun memulakan langkah pertama dalam pembacaan, mereka tidak mahu langsung berkenalan dengan nama ataupun karya penulisnya.

Ketika memberi ceramah sastera ataupun bahasa, saya gemar menguji minda khalayak dengan menanyakan nama senarai Sasterawan Negara. Kalau pun tidak berjaya membaca karyanya, masih tetap dapat mengenal pasti ini karya siapa setidak-tidaknya. Adakalanya, itu pun tidak berjaya. Hendak menyebut senarai 9 orang Sasterawan Negara pun tidak berjaya. Habis nama Pak Sako, Za'ba pun dimasukkan sekali dalam senarai.

Itu belum disuruh menyusun senarai penerima mengikut susunan kronologi. Lebih mengharukan!

Jadi, kembali kepada persoalan yang diutarakan sdr Zaid Akhtar itu, memang wajar apa yang diperkatakan. Tiada siapa yang boleh menafikan bahawa Ahadiat merupakan pemegang rekod Malaysia sebagai penulis novel terbanyak. Jika itu trend pihak pengajur dalam memilih pembimbing, bertambah tenatlah dunia sastera kita hari ini.

Tulisan ini bukanlah menolak kehadiran fiksyen popular tetapi saya tetap melihat membaca karya sastera dan fiksyen popular itu sebagai pengambilan pemakanan yang seimbang untuk minda.

Semua orang suka makanan ringan. Ibu bapa yang tidak prihatin dengan mudahnya akan menyuakan makanan demikian kerana tidak mahu susah payah memasak. Yang penting, anaknya kenyang. Tak kiralah apa yang dimakannya.

Kalau ditegur, mengapa memberi anak-anak makan makanan demikian, bukankah tidak baik untuk kesihatan? Jawapan mereka, 'daripada anak aku langsung tak makan, nanti macam-maca penyakit pula yang datang'.

Tetapi tahukah mereka bahawa setiap yang dimakan itu menjadi darah daging. Lebih baik berpuasa daripada makan makanan yang tiada khasiat - eating for the sake of eating.

Samalah juga dengan membaca. Membaca itu bukan setakat untuk membaca - reading for the sake of reading. Tidak salah membaca pelbagai jenis bahan bacaan asalkan pembaca itu tahu dos yang sesuai untuk setiap bahan bacaannya. Jika setiap hari dietnya, pagi novel pop, petang majalah pop dan malam pula tazkirah sebelum tidur juga menghabis novel pop pagi tadi; cukup 10 tahun, saya sudah boleh menjangkakan jenis manusia yang akan dibentuk oleh karya tadi.

Imbangilah pembacaan. Hidup ini pendek. Wajarkah kita isi kehidupan ini dengan memakan chikadees, pringles dan makanan seangkatan dengannya?

Tiada kasta dalam sastera kerana ia memang untuk elitis (baca : mereka yang mahu membaca dan berfikir). Usahlah pula dibandingkan karya popular barat dengan yang ada di Malaysia. Bandingan itu terlalu jauh jika John Grisham dan Sydney Sheldon dijadikan kayu ukur. Karya-karya mereka mahupun pop, masih ada isi. Karya pop di Malaysia masih miskin makna dan estetikanya juga.

Kalau menguji nak samalah merahnya,
Kalau mengukur nak samalah panjangnya.

Untuk apa anugerah dan pengiktirafan yang diberikan kepada penulis sastera jika mereka ini tidak dikirim ke majlis sastera peringkat serantau. Pernahkah kedua-dua pembimbing Mastera Malaysia tahun ini diberikan pengiktirafan sedemikian oleh institusi yang menghantar mereka?

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
Salam.

Pernah terdengar (dan tersedak) beberapa bulan yang lalu.

Wartawan (sastera) : Akhir-akhir ini Pak Samad selalukah bertemu dengan SN lain seperti Usman Awang dan Kris Mas?

Pak Samad: Akhir ini jarang.

Wartawan: Di mana Pak Samad bertemu dengan mereka dan apakah yang selalu Pak Samad bincangkan?

Pak Samad: Di kubur mereka. Saya hanya membaca doa.

Episod Bogor seperti seorang penyanyi pop dihantar menyanyi dipentas opera.
Rebecca Ilham berkata…
Salam.

Puan Nisah, saya tertarik dengan ungkapan 'reading for the sake of reading.'
Bagi saya, tidak apalah membaca sastera pop, sekurang-kurangnya membaca juga.
Kita doakanlah selari dengan peralihan usia, dengan habit membacayang sudah sebati, minat beralih kepada karya-karya sastera bermutu pula.
Saya sewaktu remaja suka juga dengan novel-novel Ahadiat Akashah, tetapi kini langsung menolak novel-novel cinta remaja dan sastera pop.
Seperti kehidupan manusia yang berfasa-fasa, saya percaya, minat dan gemar pada sastera itu juga punya takah-takah tersendiri.
Kita doakan agar anjakan paradigma berlaku.

Wassalam.
BooK berkata…
novel pop macam junk food. tak perlu pun takpa. tapi kalau berlebihan. memang tak patut.
dan kalau budak-budak kecil merengek minta junk food. boleh kita beri. tapi kalau dah dewasa masih ke hulu ke hilir. ke sana ke sini. dengan junk food pula. apa rupa nya?
Nisah Haji Haron berkata…
Sdr Helmy,
Inilah masalahnya apabila wartawan sendiri pun tak buat homework. Dah lah sasterawan negara seorang pun tak kenal (kecuali Pak Samad, itupun mesti ada orang beritahu sebab dia nak kena interview... heheheh). Apa lagilah kalau nak kena kenal pasti sama ada SN itu masih itu atau sudah meninggal dunia.

Rebecca Ilham,
Ada benarnya pendapat sdr, tetapi berapa ramai di luar sana yang mengambil sikap seperti sdr. Masih ramai yang terperangkap dalam emosi dan enggan berfikir...

Book,
Masalahnya, apa saja yang dimakan menjadi darah daging. Kalau dari kecil dah makan junk food, ertinya itu sudah jadi calon obesiti ataupun kurus melengking pasal selera dah tertutup untuk makan benda yang lebih baik.
Tanpa Nama berkata…
Saya suka sangat dengan entri ini tau. Nisah, buatlah pengubahsuaian.. dan hantar ke Dewan Sastera. Saya memang suka bila Nisah menulis dengan ada sikit bancuhan sentimen dan sarkastik. Ngilu menikam-nikam gitu. Ya, hantar.. hantar.. jangan tak hantar, Nisah. Biar orang-orang tu terasa!

Sebut pasal John Grisham ni.. itu yang buat saya terbakar gila! Ya, memang novel John Grisham tu ada 'sikit unsur popnya'. Tapi sebagai seorang peminat JG (yang ada librari khas JG dan telah membaca SEMUA novel dia!) --- saya setuju dengan Nisah bahawa novel JG tidaklah 'kosong'. Walaupun estetika sasteranya mungkin tidak menonjol teramat (tapi masih sepuluh kali lebih baik dari chef popular itu!), namun naratif dan pembinaan watak dalam semua novel JG sangat kuat dan meyakinkan. Yang paling penting, ya.. ia kaya dengan 'fakta empirik' yang jelas. Bukan kosong tanpa penyelidikan.

Misalnya novel 'The Painted House' dan 'The Bleachers' (dua yang paling saya sukai). Novel pertama itu mendedahkan kita kepada sejarah perang sivil Amerika. Wataknya memang fiskyen, tapi latar olahan ceritanya begitu tepu dengan gambaran faktual. Novel kedua itu pula memberi kita satu overview yang sangat jelas tentang dunia football Amerika. Itulah kekuatan JG. Mengadun latar realiti bersama watak-watak fiksyen yang sangat hidup.

Saya fikir, kebanyakan orang yanag meremehkan novel-novel JG tak pernah baca novel itu sendiri. Hanya sekadar tengok filemnya: The Firm, Time to Kill, Runaway Jury, The Rain Man, etc. Kalau tengok filem dia, memanglah macam sampah. Saya dah banyak kali hampir meludah skrin TV bila tengok novel JG dalam filem. Memang kualitinya langsung tak menyamai 5% pun kekuatan naratif dan ketelitian dalam novel itu sendiri. Alaa.. kalau dah pelakon-pelakonnya Tom Cruise.. kita taulah Hollywood nak jual apa, kan. Hanya sensasi.

Tapi geram juga dengan JG tu. Kenapalah dia asyik jual novelnya itu kepada pembikin-pembikin filem yang komersial cam gitu? Hanya menjatuhkan reputasi dia sendiri saja. Yang pelik, novelnya 'The Painted House' tu.. tak ada pula berminat nak filemkan? Arguably the best of his collections.
ulasbuku berkata…
Kebetulan semalam ada cerita "The Pelican Brief". Saya pun pernah baca novel Grisham. Memang membaca novel beliau jauh lebih baik dari tonton filem.

Umat Malaysia cepat sangat buat bandingan dengan apa-apa yang ada di Barat. Buat novel fantasi sedikit, lekas mahu dikaitkan dengan Lord of the Rings. Kita patut bangga dengan jatidiri sendiri. Itulah sastera dapat mainkan peranan. Membina jatidiri mulia, selaras dengan budi pekerti seorang Melayu-Muslim.

Rasa saya, sebagai pembaca yang gitu-gitu jer (bukan pengkaji sastera), tiada lagi karya sastera Barat (UK dan US) yang menonjol untuk alaf ini. Maksud saya tolak Hemingway, Steinbeck dan lain-lain penulis lama tu, Barat sudah tiada penulis sastera baru. Setahu saya la.

Tapi Malaysia kita masih ada pelapis baru: Zaid Akhtar, Nisah Haron, Faisal Tehrani dan ramai lagi. Bermakna, walau sedikit pun peminat, pemain sastera di Malaysia masih boleh cari makan. Percayalah, kami pembaca sastera berdiri di belakangmu.

Untuk itu, penulis juga jangan berasa rendah diri. Saya pernah baca dalam website Artakusiad, dimana Abang Pat kata utk 'Legenda Numerius' dia cuma cetak 500 naskah saja, utk peminat-peminatnya saja. "Another thing,I never intended the book for everybody.(which is why I made just 500 copies)Legenda Numerius is for serious fantasy people,regardless of their age,16 or 64".

Setahu saya yang pernah ada pengalaman printing utk pejabat, paling minimum pencetak boleh print adalah 1,000. Kalau sedikit, maka mereka harus kenakan bayaran lebih. Nak cover cost. Itu kata mereka.

Abang Pat, seharusnya lebih percaya kepada peminat-peminatnya. Saya yang baru berusia 12 tahun ketika Permata Aurorius pertama kali diterbitkan, sanggup berkatih basikal ke kedai buku di KT sejauh 10 km, sebab nak beli buku beliau, selepas tonton promosi dalam Selamat Pagi Malaysia ketika itu. Saya beli sebab nak baca karya seorang anak muda yang saya percaya pada karyanya. Bukan sebab ada kena-mengena dengan Lord of the Rings dan Saga Belgariad (David Eddings). Tapi kalau Abang Pat sendiri sudah hilang keyakinan pada peminat sendiri, habislah.

Selamat berpuasa. :)
Rebecca Ilham berkata…
Sdr Rem,

A Painted House sudah difilemcerekakan, tetapi hanya untuk siaran televisyen. Adik saya berusia sepuluh tahun pernah tonton beberapa kali di saluran Hallmark. Dia suka ceritanya.

Adaptasi buku ke layar perak jarang-jarang tepat. Nilai-nila komersil itu lebih ditekankan. Nama pun mencari laba.

Saya mengenali Breakfast at Tiffany's kerana Audrey Hepburn. Tidak tahu pun rupa-rupanya filem itu berasal dari buku. Tulisan Truman Capote pula tu! Bukunya sangat hebat. Sarat dengan falsafah. Namun filem, haih, macam sampah!
umaq_eiman berkata…
salam kak nisah dan kawan kawan.

setelah baca ketiga tiga penulisan di atas ingin sekali saya baca komen abg ahadiat. penulis novel terbanyak.

saya rasa eloklah kita pendekkan cerita.
saya mmg kurang senang dengan seni dan sastera yang diperjuangkan oleh banyak media massa kini. menawarkan kekosongan minda di kalangan masyarakat yang tahu menerima tanpa menimbal balik.

dari nyanyian buku akhbar dan juga cereka bergambar banyak yang mendesak masyarakat kepada keruntuhan moral dan minda. semoga apa yang disarankan oleh abg zaid akan menjadi perhatian dan diperbetulkan dan apa yang kuseman cuba sampaikan dilihat semula dan diambil pengajaran mungkin tidak berlaku hari ini. kasta dalam sastera ada bahayanya. tapi JG tak sesuai disamakan dengan abg ahadiyat mungkin lebih sesuai untuk abg ramlee.

ramadhan kareem
Jong berkata…
salam,
okaylah juga nisah dah tulis entri ni, moga-moga orang faham...

kalau aku yang cakap nanti orang kata 'aku je lah yang jahat'!!!

terima kasih nisah.

(P/S: Seni memang ada kasta, saya dah baca berpuluh buku dari sayyid Naquib al-attas, syed hossein nasr, osman bakar, ismail Faruqi dan ramai lagi....kesenian memang ada gred, jangankan telur pun ada gred)
MDM FARAH FAIZURA berkata…
gfbsoalan ini dari fikiran separuh masak, mau di bilang kasta rendah pun bisa...ehehehe)

....

jadi,

dari pembaca kasta mana yang akan

membaca

Cinta Sangkuriang Rindu Oedipus,

maksud aku

target market

...

terima kasih

..

tumpang lalu

ehehe
Nisah Haji Haron berkata…
Dingin,
Cinta Sangkuriang Rindu Oedipus ialah sebuah kumpulan cerpen. Bayangkan sahaja berapa ramai yang sanggup menghabiskan tempoh 10 - 15 untuk mengkhatami sebuah cerpen.

Ciri-ciri sebuah cerpen: hendaklah padat dari aspek pemikiran dan perasaan. Jika emosi berlebihan cerpen akan menjadi jurnal yang peribadi sifatnya. Andainya kontang perasaan, ia akan menjadi sebuah esei pula.

Nah, mereka yang menggemari novel terutama sekali novel popular, jarang teruja untuk membaca cerpen. Kononnya cerita dalam cerpen itu tidak bersambung-sambung. Tidak puas, kononnya.

Tetapi itu pilihan pembaca. Penulis sekadar menawarkan. Seperti yang diakui oleh Pak Samad, CSRO memang bacaan untuk kelompok yang pintar. Tidak mahukan anda berada di dalamnya?
MDM FARAH FAIZURA berkata…
wah,

untuk terlihat pintar juga punyai jalan singkat.

dan aku memang suka jalan singkat

..

ehehe
Rebecca Ilham berkata…
Salam.

Puan Nisah,
saya baru membaca 'Resipi dari Istana.'
Aduh, berbisa ya?
Minta kebenaran menyalin dan menampal cerpen itu di weblog saya?

Terima kasih.
la_abwa berkata…
alhamdulillah ini kali pertama saya mengkhatamkan bacaan tulian Nisah Haron.. he he jangan marah.Saya jumpa pautan ini dari bloq Zaid. Begitu puas membaca garapan minda Pn Nisah.

Saya ni bukannya orang sastera tapi masih mahu menyibuk dlm dunia penulisan, ingin menikmati bayu kesusasterawanan kununnya. Bengkel penulisan adalah antara bengkel yg saya minat mengikutinya.

saya tertarik kepada ungkapan pada rangkap berikut"Penulis yang menghasilkan karya sastera sama sekali tidak mengharapkan pulangan wang ringgit. Janaan ekonomi yang diharapkan bukanlah datangnya dari dunia ini tetapi janaan ekonomi akhirat. Untuk apa dapat royalti beribu-juta tetapi gagal membentuk peribadi positif hatta seorang pembaca pun."

saya memang setuju beberapa peratus melebih 100. Kerana itu belum satu buku pun yang terhasil dari saya ,satu alasan yg munasabah bukan? :)

Dalam satu bengkel yg saya hadiri, penerbit mengatakan kita mesti menulis apa yg enak dibaca. Jangan menulis syok sendiri katanya. Ini kerana sebelumnya ada memberikan komen bahawa buku2 terbitan syarikatnya agak kaku.Buku2 berkaitan undang2 hanyalah teori semata2, soalan di dalamnya macam soalan buku sekolah rendah. Tidak ada soalan yg berbangkit dari 'masalah sebenar'. Ini kerana penulisnya adalah pensyarah yg tak pernah 'turun padang' , duduk disekolah, masuk universiti dan terus jadi pensayarah.

Sepatutnya buku undang2 ditulis oleh hakim2 yg sudah pencen, atau pengamal undang-undang mahu pun pegawai kerajaan yang berpengalaman luas. Mereka perlu dibantu oleh penulis berpengalaman (editor) dari segi gaya bahasa dan susunan babak. Barulah buku tersebut benar2 dapat dimanfaatkan oleh pembaca bukan sekadar memenuhkan qouta penerbit :- semua jenis buku ada dalam penerbitan kami.

Seperkara lagi tentang saranan 'jangan mengguru-gurui pembaca'. Bagi saya penulis sepatutnya boleh menggurui pembaca atau sekurang2nya meng'uja' minda pembaca membuat penilaian yg wajar bukan membiarkan pembaca terawang2 membuat penilaian sendiri. Saya percaya semua pembaca ada neraca mereka sendiri sekalipun telah digurui , jadi tak ada salahnya menggurui pembaca.
Tanpa Nama berkata…
Kak Nisah,

saya suka sastera. Benda yang menyebabkan saya suka sastera ialah karya Ahadiat Akashah. Walaupun orang-orang elit klasifikasikan Ahadiat Akashah ialah POP, saya tetap rasa karyanya bagus pada nilai tersendiri.
Dan, selepas saya seronok dengan karya-karya beliau, sekarang saya rasa seronok untuk mencuba karya-karya serius dari orang sastera yang elit tu.
Seperti Kak Nisah cakap, tak semua orang berfikiran macam Rebecca, dan saya rasa tak semua juga yang berfikiran macam golongan elit yang terus seronok membaca karya serius. Ada orang yang perlu pengenalan.

Kak Nisah, saya peminat setia blog kak Nisah.
Haha! Saya nak tulis komen pun takut tersalah bahasa. Maklumlah, nanti dikata pencemar budaya. Kalau Kak Nisah masuk blog saya mungkin blog saya jadi blog yang disenaraihitamkan oleh Kak Nisah. Sebab bahasanya sangat membunuh Bahasa Melayu.

Kak Nisah. Nanti beri tunjuk ajar bagaimana nak menghasilkap skrip bermutu boleh tak. Saya berminat tapi tak berbakat dan tak reti langsung.

Kak Nisah, selamat berbuka puasa.

Assalamualaikum
fadz berkata…
menarik entri ni, kenapa saya terlepas pandang.. tetapi saya juga menunggu, membaca karya2 SN menjadi satu budaya popular..!

Catatan Popular