PENULISAN SASTERA ISLAM :
MENULIS ITU AMANAH

OLEH : NISAH HAJI HARON


Terkesan saya setelah membaca wawancara DS dengan Norhisham Mustaffa lewat Dewan Sastera Mei 2004. Sentuhan yang paling bermakna ialah pada komen beliau tentang penulis-penulis baru. Betapa penulis itu wajib menurunkan sesuatu yang bermanfaat ke dalam hasil karya bukan setakat karya yang kosong tanpa makna.


Menjadi penulis adakalanya bukan suatu pilihan. Ada sesetengah penulis hari ini, tidak pernah bercita-cita untuk menjadi seorang penulis. Tetapi keadaan serta takdir telah menjurus penulis ke arah ini.


Kemahiran pena ini bukan datang dengan begitu sahaja. Manusia yang dikurniakan ilham oleh Allah SWT mempunyai tugas dan tanggungjawab berat di dalam dunia penulisan. Mereka tidak wajar mengabaikan kurniaan ini dengan meninggalkan terus kebolehan menulis dan mengutamakan tuntutan hidup yang lain.


Fenomena dunia penulisan tempatan memperlihatkan karya-karya hari ini dikuasai oleh penulis fiksyen ringan. Karya begini bukan sahaja bersifat mesra pembaca, malah ia seringkali menampilkan isu-isu yang dangkal.


Longgokan karya begini pula dilambakkan kepada pembaca, terutama sekali kepada pembaca remaja dan kebanyakannya pembaca di bawah umur 40 tahun. Karya-karya jenis ini boleh dianalogikan sebagai pemanis mulut @ dessert. Boleh dikatakan hampir setiap orang sukakan pemanis mulut, kecuali kumpulan tertentu yang mahu menjaga kesihatan dan berat badan.

Pemanis mulut memang disenangi oleh sesiapa sahaja. Tetapi terlalu banyak memakannya boleh memburukan kesihatan tubuh badan.


Karya sastera pula boleh dikatakan sebagai makanan yang berkhasiat, seperti nasi, sayur-sayuran dan sebagainya. Kanak-kanak lebih suka makan gula-gula berbanding makanan berkhasiat. Jadi kawalan dan pemantauan daripada ibu bapa amat penting kerana pengetahuan tentang pemakanan yang sihat lagi seimbang harus dimulakan dari awal.


Dalam hal yang demikian, lambakan fiksyen ringan yang bersifat santai ini kalau terlalu banyak memenuhi ruang pemikiran pembaca boleh menghasilkan kumpulan manusia yang berfikiran cetek akibat sogokan yang tidak terkawal. Ia seperti kanak-kanak yang rosak gigi ataupun mengalami masalah obesiti kerana terlalu banyak makan manisan dan makanan ringan.


Walau bagaimanapun, sebelum penulis-penulis ataupun penerbit-penerbit fiksyen ringan ini diselar atas penghasilan mereka, kita juga perlu lihat di mana pula penulis-penulis karya sastera dalam konteks yang sama.


Penulis sastera yang menjadi umpama makanan yang berkhasiat ini masih lagi aktif menghasilkan karya. Namun mereka seringkali tewas lantaran karya mereka tidak menemui khalayak. Usaha-usaha untuk memasyarakatkan karya-karya sebegini masih lagi perlu dipertingkatkan. Soal pemasaran harus diserahkan kepada mereka yang lebih arif.


Seringkali apabila perdebatan berlaku tentang fiksyen ringan dan sastera , penulis fiksyen ringan serta penerbitnya memperkatakan bahawa mereka hanya mengikut permintaan pembaca. Selagi ada permintaan, mereka akan terus membekalkan bahan bacaan bersifat begini.


Persoalan yang boleh ditimbulkan ialah, jika semua penulis bersatu untuk mengurangkan penghasilan karya bersifat ringan dan meningkatkan penerbitan karya sastera, adakah ini boleh menjadi penyelesai masalah. Dalam hal ini, penulis dan penerbit karya sastera harus bertegas.


Kerajaan juga harus mengambil bahagian di dalam menentukan masa depan pemikiran rakyat supaya tidak terlalu banyak disogokkan dengan ‘gula-gula’ dan ‘manisan’ yang boleh merosakkan pemikiran.


Jika penghasilan karya-karya sastera memenuhi ruang kedai-kedai buku, ini akan menjadikan pembaca diberi pilihan yang lebih baik. Promosi tentang buku-buku berilmu ini juga memainkan peranan yang penting supaya orang ramai diberi makluman tentang buku-buku yang baik.


Penulis pula secara khusus mempunyai tanggungjawab untuk menghasilkan karya yang positif, membina minda dan menegakkan masyarakat melalui karyanya. Jika penulis sendiri mengikut arus yang ditentukan oleh pembaca, maka satu hari nanti penulis tidak akan ada kebebasan untuk menulis. Pembaca akan menjadi penunjuk arah dan hala tuju penulis. Sedangkan penulislah yang bertanggungjawab membentuk masyarakat.


Dalam hal ini, penulis Muslim mempunyai tanggungjawab yang lebih besar. Penulis sebenarnya ada kuasa untuk menyentuh minda dan hati pembaca. Namun dia juga akan dipersoalkan di akhirat atas tindakan penulisannya di dunia ini. Amanah yang dikurniakan oleh Allah SWT ini hendaklah disempurnakan dengan sebaik mungkin. Di sinilah peranan penulis amat terserlah.


Bagi penulis yang mempunyai ilmu-ilmu tertentu, beliau harus menurunkan ilmu tersebut dalam karya kreatif bagi meningkatkan pengetahuan pembaca. Sebagai contoh, di Malaysia penulis-penulis yang berada di dalam disiplin kerja tertentu seperti Aminah Mokhtar, Dr. Rahmat Haroun dan saya sendiri menulis dengan mengeksploitasi pengetahuan disiplin masing-masing.


Aminah Mokhtar (seorang jururawat) dan Dr. Rahmat Haroun seringkali menggarap suasana di hospital sesuai dengan latar kerjayanya. Saya sendiri juga tidak lupa memasukkan unsur-unsur perundangan sebagai latar penceritaan.


Kelebihan-kelebihan ini juga harus digarap oleh penulis-penulis yang mempunyai latar disiplin agama. Perkembangan positif penulis-penulis yang pernah menuntut di Timur Tengah memperlihatkan kecenderungan yang sama. Nazmi Yaakob di dalam karyanya Lambaian Huda memilih untuk berdakwah di dalam novel sulungnya itu. Begitu juga dengan Zaid Akhtar yang memenangi Hadiah Sastera Utusan sebanyak dua kali lewat novel-novelnya Sesegar Nailofar dan Rona Bosphorus. Bancuhan perjuangan Islam agak pekat diutarakan di dalam novel-novel ini.


Islam seringkali disalahertikan. Apatah lagi Barat pula menangguk di air yang keruh dengan memanupulasi fakta yang benar tentang Islam.


Penulis sastera Islam hatta penulis secara umumnya, haruslah bijak mengawal keseimbangan dalam penulisan. Penulis yang baik ialah penulis yang berjaya meletakkan pemikiran dan perasaan dengan harmoni di dalam karya. Tulisan yang terlalu berat ke arah pemikiran akan menjadi sebuah esei manakala karya yang cenderung ke arah perasaan hanya hanya menjadi sebuah catatan emosi tanpa rasional tertentu.


Tidak ramai sebenarnya penulis dewasa ini yang menjurus ke arah novel-novel berunsur Islam. Selalunya bila ada sayembara penulisan cerpen ataupun novel berunsur Islam, barulah ada karya yang akan lahir. Kehadiran karya begini sudah menjadi seperti air laut yang pasang surut. Tiada penghasilan yang konsisten dari penulis yang menjurus di dalam bidang ini. Oleh itu, penulis sastera Islam perlu mengisi kekosongan yang dikhususkan buat mereka.


Sesungguhnya mata pena itu lebih tajam daripada mata pedang. Sayangnya, mata pena penulis Islam jarang berasah dan jangan salahkan musuh-musuh Islam jika mereka sebenarnya lebih berani menulis menghina Islam dalam cara yang paling kreatif kerana penulis Islam tidak bangkit menentang dengan cara yang berhikmah.


Penekanan aspek membimbing atau mendidik dengan cara yang berhemah dan menggunakan hikmah ini amat penting di dalam karya-karya Islam. Usah berceramah tentang Islam dalam karya kerana pembaca akan menjadi mual dan meninggalkan langsung karya tersebut. Tiada siapa yang suka ‘diceramahkan’ atau ‘dileteri’ tentang itu ini ataupun kebaikan dan keburukan.


Penulis yang berpendidikan Islam secara formal mempunyai banyak input tentang Islam yang boleh diperluaskan dalam bentuk kreatif. Pembaca lebih senang belajar dalam bentuk cerita. Senang mereka mengutip iktibar dan sempadan yang diperkatakan. Berapa ramai di antara siswazah lulusan agama ini mahu mengisi kekosongan jawatan di jabatan-jabatan agama Islam ataupun menjadi guru-guru agama semata-mata.


Islam itu syumul lagi luwes. Menjadi fardhu kifayah kepada setiap umatnya mengisi setiap peranan yang ada di muka bumi. Jika kita sudah ada golongan yang cukup bagi memenuhi pendidikan Islam, guaman Islam, pentadbiran Islam dan ekonomi Islam, penulis sastera Islam juga wajar diisi oleh siswazah lulusan agama, tidak kira sama ada tempatan mahupun Timur Tengah.


Faisal Tehrani sebagai graduan Siasah Syariah dari universiti tempatan turut memilih untuk memanfaatkan bidang pengetahuannya di dalam karya-karya beliau. Novel 1515 yang memenangi tempat pertama Hadiah Sastera Utusan baru-baru ini memperlihatkan beliau mengukuhkan kedudukannya sebagai penulis lulusan agama yang berjaya membincangkan kedudukan Hukum Kanun Melaka sebagai undang-undang Islam dengan penuh keyakinan.


Penulis harus menulis apa yang mereka tahu. Menulis tentang sesuatu yang asing perlukan kajian, rujukan dan masa untuk mendalaminya. Penulis yang telah menjurus di dalam sesuatu disiplin tertentu wajar memanfaatkan bidang masing-masing. Ini jauh lebih baik daripada memperkatakan hal-hal yang tetek-bengek dan tiada wawasan di dalam karya.


Berapa lama lagi kita harus meletakkan tanggungjawab itu ke atas bahu Sasterawan Negara Abdullah Hussein ataupun Shahnon Ahmad, misalnya. Penulis perlu ada generasi pelapis. Kumpulan baru ini hendaklah berusaha untuk memantapkan diri agar menjadi penulis pelapis yang lebih baik daripada penulis mapan.


Sastera itu bersifat dinamik. Dokumentasi tentang tamadun manusia terletak di tangan penulisnya sendiri. Jika tiada usaha dan iltizam diambil oleh penulis sastera Islam, maka masyarakat dan anak-anak generasi akan terus diberi sogokan karya yang tidak matang, kosong isi dan nihil pemikiran.


Kita harus berhenti mengenang tentang kecemerlangan dunia Islam pada zaman Bani Umaiyah dan Abassiah. Itu cerita masa lampau. Bagaimana pula dengan kisah hari ini?


Masa depan sastera Islam sesungguhnya terletak di tangan umat Islam sendiri. Tiada siapa yang boleh menjadi pencerita terbaik melainkan mereka yang berada di tempat kejadian dan memiliki ilmu yang cukup untuk memperkatakannya. Seperti seorang wartawan lokasi yang menceritakan tentang kejadian dengan menyampaikannya dalam bentuk paling berkesan kepada penonton, penulis juga harus memanfaatkan situasi yang sama dalam garapan karyanya.



Sumber : Dewan Sastera, Julai 2004

Ulasan

Unknown berkata…
Saya terdorong "menulis" sebaik terlangkah ke alam konflik. Dengan teraba mencari sesuatu "pegangan" untuk "bertapak" dan "mengenali", saya mula menyoal - diri saya sendiri. Catatan demi catatan dan saya hanyut jauh dalam alam yang serba gelap itu...kacau-meracau, marah - kehilangan arah...

Sesuatu berlaku...

Terpancar ilham...saya mula bercerita. Bahasa saya..."hancus" - ikut slanga - dan mulalah proses melembutkan semula lidah "Melayu" ini.

Lahir rasa...bercerita melalui penulisan satu tanggungjawab. Ia perbuatan dan perbuatan itu meninggalkan kesan. Kesan itu perlulah berkesan. Berkesan biarlah membina ummah kerana jika tidak kelak disoal, dihakimi dan dihukumi.

Saya setuju dengan Nisah Haron. Dilahirkan Islam itu satu anugerah yang beramanah dan perlu bertanggungjawab. Jika ada yang terhutang, saya pasti salah satunya adalah tanggungjawab kita untuk memperbaiki dan meningkatkan diri kita agar menjadi lebih baik dari yang lalu. Kita perlu bersatu, mengguna akal mencari formula membina ummah - melalui penulisan. Jalan yang digunakan mungkin saja berlainan, tetapi tujuan dan destinasinya perlulah sama.
Puan Ainon Mohd. berkata…
Puan Nisah,

Orang mencuri kasut-kasut mahal di masjid sebab ada 'pembeli'-nya yang memang mahukan kasut-kasut curi itu.

Timbulnya begitu banyak penulis novel ringan kerana memang ada penerbit yang mahukan manuskrip2 novel ringan sahaja.

Pengaruh penerbit sangat penting ke atas bekalan jenis manuskrip. Apabila PTS ONE dengan jelas dan terang mahukan novel-novel remaja, ramai penulis yang menghasilkan manuskrip novel remaja untuk PTS.

DBP mesti dengan jelas dan terang umumkan ia mahu novel2 bermutu, dan nyatakan berapa ratus setiap tahun yang ia mahu terbitkan.

Ikut macam ALAF21. Penerbit itu dengan jelas memberitahu ia menerbitkan 2 novel cinta sebulan (sekarang 3 sebulan).

PTS FORTUNA pun mengumumkan ia menerbitkan 2 jibunsyi sebulan.

DBP mesti buktikan komitmennya. DBP berapa novel sebulan?

Komitmen DBP amat penting ke atas motivasi para penulis 'novel berat' (sebab ada 'novel ringan'). Komitmen mendorong mereka berkarya sebab mereka tahu apa penerbit yang komited menerbitan karyanya.
Unknown berkata…
Assalamualaikum Puan,
Biarpun saya bukan seorang penulis namun tidak dapat saya tahankan hasrat untuk berkongsi pandangan kerana kebanyakan isu-isu sorotan Puan amat meransang minda yang menuntut agar seiring dengan desakan hati.Pengkaryaan yang hidup simpulannya dari nyawa yang dibangunkan oleh pasrah jiwa yang menuntut sesuatu menurut logik penulisnya. Amanah yang ada di tangan penulis adalah pemeliharaan sikap yang mengimbangi keadilan bersama kebenaran.Adil sahaja tanpa benar akan menjelmakan krisis. Dilemma ini merupakan tekanan yang ledakannya adalah kekeliruan yang pastinya akan menzahirkan mangsa. Mangsanya adalah pemikiran kita...para pembaca.Kotak minda mudah berdalih jika sangkar rasa tidak mampu dimampatkan dengan makna hakiki dan yakin.Hari ini halangan yang minta dihujjahkan adalah sejauh manakah kejujuran setiap individu muslim menterjemahkan agama menurut apa yang difirmankan.
Rata-ratanya ia dikupas menurut tertib kepentingan hingga melebarkan perselisehan yang mendalamkan jurang pergeseran.
Ini belum dikira oleh unsur-unsur luar yang sering menuntut tanpa rela pengorbanan-pengorbanan yang jelas membuktikan kelemahan kita. Pergeseran kita umpama monografi yang menari-nari seni memonopoli memanupulasi hingga tergabung ucap-ucap monolog yang bermonsun ikut selera pilihan 'di hari raya'.
'Skrip' sewajarnya bila bermula dari tangan dan jari kita, olah lakon hingga teradun di layar mestilah milik kita...MOUnya pun sewajarnya kita yang rangkakan...
Apakah yang ingin penulis corakkan antara merealisasikan kejayaan dengan mengupas kaedah penyelesaian
Di manakah fokusnya pada pemikiran yang terasuh oleh asuhan iman... disenikan oleh teladan budi... didasari oleh pegangan yang yakin menyerlah jati diri... atau menurut gilir susun agenda...
Massanya... ummah berbilang umur pandu generasi ubah stuktur minda dan hati sebati tanpa ada yang terpinggir...
Makna kata yang lain kita memetik menurut masa yang tepat tibanya...
Anak remaja saya meningkatkan daya peka kerana resah agama fahamnya bersederhana... hingga menjadi modal berbaloi, "Seharusnya di saat teknologi menjana kepantasan berkomunikasi, erti interaksi ialah saling memahami"...sedangkan mereka tidak sedar menerusi Islamlah kemajuan peradaban manusia menyatu dengan kemajuan Barat baik yang ilmiahnya atau berupa kebendaannya, kejenteraannya yang berupa
teknologinya.
Kahuna berkata…
Kalau novel-novel sastera tak bersifat syok sendiri, agaknya lagi ramai orang baca. Kalau satu novel penuh dengan perkataan-perkataan yang dicuri dari bahasa sanskrit/jawa/arab/latin yang langsung tak pernah digunapakai dalam bahasa harian dan hanya difahami oleh kelompok peminat sastera, camne orang lain nak baca? penulis sastera ulung luar negara mengambil masa bertahun2 nak siapkan satu novel, penulis sastera malaysia siapkan novel dalam 3 bulan, guna semua perkataan dalam kamus dewan, dengan kisah-kisah yang bermesej tapi selalunya terlampau judgemental dan deskriptif (kadang-kadang sampai nak muntah kalau baca description yang terlampau detail..bosan..). konon nak mengajak orang berfikir dan mengajar pembaca. pembaca tak perlu diajar. pembaca perlu ditarik untuk terus menyelak mukasurat. kalau nak bagi gambaran sebuah kampung sampai 5 mukasurat, jangan harapla orang nak baca.

lagipun, kalau buku sastera jual tak laku, apasal nak heran kalau buku picisan tu yang berlambak? sebab orang nak duit...

cubala buktikan yang satu buku sastera boleh jadi sangat popular di kalangan muda mudi. ni satu cabaran :)

kalau di france, setiap rakyatnya dah baca buku2 macam "l'etranger" tulisan albert camus. sangat filosofik tapi popular. kat malaysia bila nak jadi macam tu tak tau la
Nisah Haji Haron berkata…
Agaknya apakah novel sastera Melayu yang terakhir dibaca oleh Sdr The Big Kahuna? Kalau setakat baca novel KOMSAS, itu kena beri markah kasihan :(

Buku sastera memang dibaca kelompok elit sastera. Hanya dibaca orang yang ada kesabaran. Mungkin sdr tak baca apabila gambaran sebuah kampung sampai 5 muka surat, tetapi jangan terkejut kerana ramai yang boleh menghadamnya.

Memang di Peranchis, dan negara-negara Eropah yang lain budaya membaca mereka berbeza. Bukankah bagus sdr dapat melihat perbandingan itu dengan pengalaman peribadi. Lantas, apa yang sdr dapat lakukan sebaik-baik sahaja kembali ke tanahair selain daripada menyalahkan orang lain.

Hujan emas di negeri orang...
Tanpa Nama berkata…
Sdri Nisah,

Kita sekarang sedang diserang penyakit popular. Lihatlah majalah sastera pun macam tu. Gambar artis yang baru seminit jadi artis ditampal kat muka depan majalah sastera. Apa dah jadi agaknya dengan pemikiran orang sastera. Ramai lagi penulis muda yang boleh diketengahkan. Artis tu tampalkan saja di kulit luar urtv, mangga, hai dan macam-macam lagi. Aduh sakitnya sastera Malaysia.
Tanpa Nama berkata…
Assalamualaikum,

Saya bukanlah salah seorang daripada penulis - penulis terkemuka tanah air sama ada penulis novel popular ataupun penulis novel sastera. Namun begitu, saya minat untuk menulis. Bagi saya, bahan bacaan yang baik dan berkualiti membuahkan insan yang baik dan juga berkualiti. Jadi, walaupun bahan bacaan sastera agak membosankan( perlu saya akui), namun bahan bacaan ini lebih baik daripada membaca buku - buku yang hanya membuai emosi dan mengajak pembaca agar menjadi emosional. Namun begitu, saya berpendapat para penulis sastera juga perlu mencari jalan agar karya- karya yang dihasilkan tidaklah begitu membosankan dan dapat menarik pembaca.

Mengenai deskripsi yang terlalu panjang, saya berpendapat deskripsi ini penting kerana hal ini mengajak pembaca menjadi imaginatif. Hal ini mampu melahirkan pembaca yang mempunyai
EQ yang tinggi.

Namun begitu, siapalah saya kalau hendak dibandingkan dengan penulis-penulis yang sudah mencipta nama. Saya hanya memberi pendapat daripada seorang pelajar yang berumur 15 tahun dan mengikuti perkembangan dunia sastera. Maka, saya akui kadang - kadang ada silap di sana sini dalam memberi pendapat. Jadi, saya mohon agar betulkanlah pernyataan saya.

Assalamualaikum.
Tanpa Nama berkata…
Puan,
Bagaikan disergah, terkedu, tercelik mata, terbuka minda membaca tulisan puan.

Banyak lagi yang perlu saya pelajari...

Catatan Popular