Kajian Novel Popular di Malaysia

DBP akan menganjurkan satu seminar seperti judul entri di atas.

Tema : Novel Popular - Antara Komersialisme dengan Intelektualisme

Tarikh : 14 Disember 2006 (Khamis) & 15 Disember 2006 (Jumaat)
Masa : 8.00 pagi - 5.00 petang (Khamis); 8.00 pagi - 12.30 tengah hari (Jumaat)

Tempat : Dewan Seminar, Tingkat 2, Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, Kuala Lumpur.

Perkara yang mahu diabsahkan:
  • Wajarkah Kategori Novel Popular diwujudkan dalam Penilaian Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) ?
  • Wajarkah sumbangan Penulis Novel Popular diberikan Pengiktirafan dalam Penilaian tersebut?
  • Bagaiamanakah tentang visi dan mutu karya genre tersebut?
Novel yang akan diperkatakan adalah :
  • Lagenda Budak Setan (Ahadiat Akashah)
  • Tak Seindah Mimpi (Sharifah Abu Salem)
  • Bagaikan Puteri (Ramlee Awang Murshid)
  • Gemersik Kalbu (Anis Ayuni)
  • Original (H.M. Tuah Iskandar)
  • Getaran Rindu (Norzailina Nordin)
  • Jendela Hati (Aisya Sofea)
  • Mahligai Cinta (Sri Diah)
  • Pasrah Kasih (Mazla Harris)
  • Bukan Puteri Lindungan Bulan (Liana Afiera Malik)
  • Cemburu seorang Perempuan (Siti Hasneza Abdul Hamid)
  • Maafkanlah Aku (Zaharah Muhammad)
  • Mencintaimu (Nass Alina Noah)
  • Nyanyian Tanjung Sepi (Noor Suraya)
  • Secebis Kasih (Syamimi Aminolah)
  • Tunjukkan Aku Satu Bintang (John Norafizan)
Panel Pembentang
  • Prof. Madya Dr. Mohamad Mokhtar Abu Hassan (UM)
  • Prof. Madya Dr. Hashim Ismail (UM)
  • Mohamad Saleeh Rahamad (UM)
  • Dr. Hajah Amida @ Hamidah Abdulhamid (UM)
  • Prof. Dr. Sahlan Mohd Saman (UKM)
  • Prof. Madya Dr. Rosnah Baharudin (UKM)
  • Dr. Misran Rokimin (UKM)
  • Prof. Madya Dr. Ruzy Suliza Hashim (UKM)
  • Dr. Kamariah Kamaruddin (UPM)
  • Dr. Haji Talib Samat (UPSI)
  • Haji A. Rahim Abdullah (ASWARA)
  • Hajah Zalila Sharif (DBP)
  • Haji Hamzah Hamdani (GAPENA)

MASUK PERCUMA!
****

p/s : Jangan tanya saya mengapa DBP mahu menganjurkan sesuatu yang demikian. Mungkin ada sesuatu yang positif dalam dilihat dalam majlis ini, seperti kebangkitan pembaca yang tidak bersetuju dengan panel (yang mahu mengabsahkan perkara-perkara di atas, ataupun panel yang mahu playsafe dengan memilih topik-topik selamat supaya tidak terperangkap)

2006 sememangnya tahun tragedi kepada sastera Melayu. Jika seminar ini berjaya menjatuhkan lagi martabat sastera Melayu dengan menyamaratakan semua karya, inilah musibah penutup bagi tahun ini.

Sesiapa yang melawan kuasa besar biasanya akan mati. Tetapi berapa ramai antara kita yang mahu mati melawan ataupun mati tertawan?

Ulasan

dahirisaini berkata…
Bagi novel popular yg tersenarai mungkin novel yg bakal berdepan dengan situasi yg manakutkan sesiapa saja. itu kebarangkalian.
Tanpa Nama berkata…
Ooo, inilah polemik hangat dalam Dewan Sastera November tu ya. Harapnya ia bukan Tragedi Disember.

Mengapa begitu liberalnya kita?

Biarlah kita mati melawan daripada tertawan.
Tanpa Nama berkata…
Sdri Nisah, Apa nak dikata, bila "fulus" menjadi tukaran, semua bisa "lulus".

Memang sudah "tertawan" (dengan 'fulus'), maka tidak ironis yang ramai yang lebih rela mati tertawan daripada melawan.

(-alang bidara-)
Tanpa Nama berkata…
Tragedi!

Sebab itu dari dulu lagi saya sangat cuak dengan lambakan rancangan realiti berbentuk pop di Malaysia (AF, MI, etc). Budaya yang mengagungkan sensasi dan memanipulasi 'sentimen remaja' begini adalah satu penyakit berjangkit. Jika ia tidak dikekang, ia akan merebak merata-rata. Hah, DBP pun sudah kejangkitan elemen sensasi!

Jangan hairan kalau suatu masa nanti, anugerah 'sastera' negara akan dibuat menerusi undi sms. Dan kita boleh gambarkan... siapa yang akan menang! Sama seperti industri pop sekarang. Nama siapa yang selalu disebut dan dimenangkan?
Abang Long berkata…
Assalamu'alaikum dan salam ceria buat Puan Nisah. Saya begitu tertarik dengan entri Puan kali ini yang bertajuk - Kajian Novel Popular di Malaysia. saya merupakan peminat novel, tapi bukan novel picisan. Saya juga minat membaca bahan ilmiah dalam pelbagai jurusan ilmu. Tapi sayangnya saya tidak dapat hadir dalam majlis anjuran DBP, kerana kesibukan tugas.
Tanpa Nama berkata…
Salam,

Saya sedih sangat bila golongan penulis karya sastera dan penulis novel popular bermusuhan.

Pada saya novel popular perlu ada khalayak sendiri, anugerah tersendiri yg tak perlu disekalikan dengan anugerah sastera perdana.

Polemik antara karya sastera dan penulis novel popular tidak perlu sebenarnya. Kedua-duanya tidak perlu dibandingkan, kerana keduanya berlainan.

Novel popular juga berbagai jenis. Ada yg picisan dan murahan. Ada juga yang punya mesej yg baik dan puya mutu tulisna yg baik.

Penulis novel popular juga punya peranan, untuk membina kelompok penulis yg bertanggungjawab dan boleh mendidik pembaca dengan tulisan yg bagus dan membina.

Saya harap para penulis novel popular boleh menubuhkan persatuan sendiri dalam menentukan arahtuju, dan boleh beri mulakan anugerah kepada penulis novel popular.
zf_zamir berkata…
kebangkitan, tragedi dan musibah..

macam-macam cerita, cerita dua nakhoda, cerita pop..

musim tengkujuh ini ia datang lagi..
Tanpa Nama berkata…
Saya bukan penggemar atau pembeli produk pop totok, sama ada novel atau pun muzik. Tapi dalam masa yang sama, saya tiada masalah dengan kewujudan industri novel pop dan muzik pop gula-gula. Saya setuju dengan JR bahawa kedua-duanya mempunyai khalayak tersendiri -- dan sudah tentu kita tidak boleh memaksakan pilihan kepada siapa-siapa. Masing-masing ada fungsi.

Tapi saya sangat bermasalah apabila "industri pop" ini (tidak kira muzik atau novel - yang berasaskan 'sensasi' dan 'manipulasi jiwa remaja yang rapuh dan sentimental): diangkat dan diuar-uarkan dengan penuh tekal dan berahi. Saya fikir usaha begini sangat tidak adil kepada industri-industri seni/sastera lain yang tidak berasaskan pop. Kenapa pula?

Sebab saya fikir sebarang produk berbentuk pop tidak lagi perlukan sebarang 'iklan tambahan'. Kalau sudah dikata pop itu, maka secara tabiinya ia akan jadi popular dan digilai ramai -- kerana manusia memang selalu dahagakan sensasi. Jadi, kalau begitu -- kenapa sesuatu yang 'boleh tumbuh dan berdiri sendiri' mahu lagi diberi tongkat, sanggah dan pil-pil penguat tambahan? Itu pembaziran sumber namanya.

Yang patut disokong, diangkat dan diberi 'suntikan pil' tambahan adalah produk-produk yang 'mati segan, hidup tak mahu'. Ya, entiti-entiti yang terpinggir dan kurang mendapat perhatian daripada masyarakat. Kenapa produk-produk begini (i.e. sastera tinggi dan muzik bijak) mesti dibangunkan dengan tekal? Supaya masyarakat didedahkan dengan alternatif, selain daripada hanya disogok dengan produk-produk pop yang memang secara naturalnya melambak sana sini. Buka mata saja, nampak entiti pop. Buka telinga saja, terus dengar bahan pop. Di TV, suratkhabar, internet -- berhamburan merata-rata item-item yang berorientasikan pop, sensasi dan 'manipulasi sentimen'.

Saya marah dengan situasi ini? TIDAK. Tapi saya marah bila kerajaan (atau badan berkanun macam DBP) terhegeh-hegeh menghabiskan sumber dan dana untuk mengangkat sesuatu yang secara semulajadinya telah diangkat oleh persekitaran semasa. Ibaratnya, kita berbelanja sakan untuk menggemukkan lagi anak yang telah gemuk - tapi membiarkan anak yang kurus bertambah kurus. Adilkah begitu?

Nanti ada orang berhujah - ini semua ikut hukum kapitalisme. Pengeluaran berasaskan permintaan. Kalau dah benda pop itu digilai ramai, dah tentu kita sokong usaha pengeluarannya -- sebab itu yang rakyat telah pilih dan mahukan.

Ya, memang logik penghujahan itu. Terutama bagi mereka yang menyembah duit sebagai berhala kehidupan. Tapi soalnya, ratusan ribu remaja di luar sana yang terkinja-kinja menggilai artis AF dan muzik-muzik pop murahan ATAU yang berebut-rebut mahu membaca novel-novel tentang gigolo, cinta tiga segi, etc: adakah mereka benar-benar membuat pilihan itu secara sedar? Atau mereka buat pilihan itu kerana HANYA pilihan itu saja yang ditawarkan oleh persekitaran semasa dan mereka TIDAK PERNAH didedahkan dengan pilihan-pilihan lain secara efektif?

Kadang-kadang penduduk Malaysia ini suka sangat berselindung dengan kata-kata "kalau dah itu yang orang mahu, nak kata apa lagi?" Mereka melacurkan istilah demokrasi, persaingan terbuka dan pasaran bebas. Tiga-tiga istilah ini hanya relevan apabila 'dua entiti itu' diberi pendedahan, peluang dan tenaga yang SAMA RATA untuk tumbuh dan berkembang dalam persekitaran natural. Yang selama ini kurang dapat pendedahan, peluang dan tenaga - WAJIB disuntik dengan momentum tambahan supaya 'padang persaingan' itu menjadi adil dan seimbang. Kalau dah memang POP itu -- kenapa perlu mau disuntik dengan lebih populariti lagi? Ini menambah jurang!
Tanpa Nama berkata…
Apa2 aje lah. Novel popular pun ada yang baik dan cenderung kepada sastera, hanya ianya diterbitkan oleh penerbitan popular, bukan DBP.kalau nak tunggu DBP je, berapa sangat novel yang boleh diterbitkan dalam setahun? maka negara akan sekali lagi ketandusan sumber bacaan rendah dan santai. hanya membaca buku ilmiah yang perlukan masa sesuai dan tempat yg sesuai. Wallahualam....
Nisah Haji Haron berkata…
Benar Kak Ila,
Tetapi seni tidak boleh digesa-gesa. (You cannot hurry art). Tetapi yang bukan seni itu boleh sahaja dikilangi (manufactured).

Memang DBP tidak mungkin menerbitkan lambakan buku kerana mereka juga mempunyai kelemahan yang nyata. Isunya di sini bukan soal novel popular itu salah ataupun novel sastera itu betul. Isu yang dibincangkan ialah pengabsahan sesuatu yang bukan berada pada tempatnya.

Bukankah keadilan itu bererti meletakkan sesuatu pada tempatnya?

Tahniah atas 'durian runtuh' yang baru diterima. Tetapi kalau beralih menjadi penulis sastera nanti, mungkin tidak akan ada 'durian runtuh' seperti itu.

Selamat menulis!
Tanpa Nama berkata…
Aduhai, panasnya.... Sayang, kenapa dua golongan penulis ini tidak mahu bersatu. Cuba bentuk satu persefahaman? Sastera lebih kepada yang lebih sensitif tetapi novel popular untuk golongan pembaca yang mahukan bacaan santai dan lebih releks. Tidak semua novel popular itu tidak bermutudan tidak mempunyai nilai sastera. Hanya kerana ianya diterbitkan oleh penerbitan yang popular maka ia dianggap pecisan? Jika mahu menunggu diterbitkan DBP atau novel menang sayembara baru bermutu, aduhai berapa sahaja novel yang ada di pasaran dan negara akan ketandusan bahan bacaan ringan. Wallahualam... tepuk dada tanya selera.
Jong berkata…
Sesiapa yang melawan kuasa besar biasanya akan mati. Tetapi berapa ramai antara kita yang mahu mati melawan ataupun mati tertawan?

inilah yang benar, dan untuk ramlah...hasil pop adalah hasil pop dan bukan hasil kesusasteraan.

kerja mozart selamanya takkan jadi kerja britney atau kerja jay-z takkan selamanya dapat jadi kerja chopin.
fajar berkata…
Betapa berharapnya agar tidak disamaratakan hasil sastera yang baik dengan sesuatu yang bersifat komersil. Terlalu banyak dilambakkan dengan novel sedemikian bisa membuat fikiran jadi mati. Pernah cuba membacanya, tapi hati jadi meronta-ronta. Mengapa plotnya sebegitu? Mengapa bahasanya sebegitu? Terus jadi rusuh.

Catatan Popular