Perjuangan Tak Boleh Terhenti


Bagi sesiapa yang seringkali mengunjungi laman ini, pasti sudah terbiasa dengan nada saya yang sesekali keras dan boleh sahaja mencederakan emosi sesetengah pihak. Terutama sekali, saya langsung tidak berkompromi dalam hal-hal bahasa.

Niat saya untuk mendidik. Mungkin adakalanya, cara saya kelihatan langsung dan tidak berlapik. Bagi saya cara yang langsung itu dalam banyak hal, natijahnya cepat dan jelas. Pihak yang menerima pun tidak tertanya-tanya mengapa tamparan itu datang kerana saya tidak akan berselindung di sebalik kata-kata yang muluk.

Saya paling terkesan sekiranya menerima e-mel daripada pihak yang pertama kali menghubungi saya itu, dimulakan dengan ayat-ayat tidak formal seolah-olah kami ini kawan lama yang dah 20 tahun tak jumpa!

Contoh 1 :

salam..
kak nisah..sy masih study.opps..terlebih dahulu,sy perknalkan diri. name sy xxxxxxx ..br berusia 15tahun..
sy minat untuk menjadi seorang peguam kelak.insya allah..klu diizinkan ALLAH.
klu tak keberatan..boleh tak kak nisah ceritakan serba sedikit tentang dunia perundangan. mksud sy..peguam..takpun..ade tak web2 berkaitan peguam yg boleh kak nisah cadangkan?
oklah..smpai di sini sahaja dulu. harap kak nisah tidak keberatan untuk membalas emel sy. sy sedia menant balasan kak nisah..
semoga berjaya dan mampu mgeluarkan karya2 yang puitis dan bermakna..

Sejujurnya saya suka menerima e-mel terutamanya daripada adik-adik yang ingin tahu sama ada tentang penulisan ataupun tentang hal dunia kepeguaman. Tetapi menulis surat tu ada cara dan adabnya dik! Sebab itulah orang dulu-dulu kalau menulis surat, perenggan awalnya itu memang puji-pujian kepada Allah, Rasul dan juga penerima surat tersebut. (Kalau tak percaya, cuba baca warkah dalam Surat-Surat Perempuan Johor karya Faisal Tehrani, begitulah contohnya.)

Selalunya, jika saya mendapat e-mel seperti di atas, saya akan balas dengan mudah (kerana saya percaya e-mel itu pun ditulis dengan cara yang ambil mudah).

"Saya akan balas e-mel sdr jika e-mel ini ditulis dalam bahasa Melayu yang sempurn dan dengan ejaan yang betul. Insya-Allah, saya akan menjawabnya dengan panjang lebar."

Alhamdulillah, ada juga yang sudi menerima teguran saya itu dan membalasnya dengan membetulkan kembali mana-mana kesilapan ejaan dan bahasa-bahasa SMS yang saya tidak boleh terima itu. Seperti yang saya katakan, ini adab menulis, khasnya menulis surat. E-mel atau surat yang pertama tentunya memberikan tanggapan awal kepada penerima tentang sikap dan sifat si penghantar surat/e-mel tersebut.

Contoh 2 :

Mamat ini pun buat hal yang sama dalam e-mel, tapi berdasarkan nama dan alamat yang digunakan dia ni kakitangan kerajaan. Kemudian, dia menegur saya pula dalam YM, berikut petikan daripada orang yang mengaku lebih memuliakan Islam daripada bangsanya sendiri:

saya : satu lagi, maaf saya harus menegur.
Saya: kalau menghantar emel untuk pertama kali kepada orang yang tidak dikenali, silalah gunakan Bahasa Melayu yang betul. saya : Kalau tak silap saya, sdr pun kakitangan kerajaan bukan. saya : Itu sahaja. Terima kasih. maaf sekali lagi.
Mamat : ok..
Mamat : kalo pasal tu..
Mamat : mmg la..
Mamat : tp ingtkan pasal benda ni dah jadi cam standad..
Mamat : ingt xder org yg nak terasa..
Mamat : xper la..
saya : maaf, saya tetap terasa kerana saya orang Melayu. Kalau bukan orang Melayu menggunakan bahasa Melayu dengan betul, siapa lagi.
Mamat : btul la teguran tu..
Mamat : sama2 la kita..
Mamat : tp..
Mamat : kebanyakan org melayu skang ni melayu nyer cuma pada kulit jer..
Mamat : isi...
Mamat : sendri mau ingt la kan..
saya : baguslah, kalau sdr faham maksud saya.
Mamat : paham..
Mamat : sy xla buta lagi sampai bahasa semud itu pn x dapat nk paham..
Mamat : *semudah
saya : soalnya, bukan saya boleh faham ataupun tidak. saya : ini soal kesantunan dalam berbahasa
Mamat : tu la..
Mamat : cam saya ckp td gak..
Mamat : melayu skang ni lebih bising soal kulit...
Mamat : soal tulisan..soal bahasa..
saya : kalau berbahasa dengan teman rapat, ataupun sesiapa yang sdr sangat biasa, boleh saja. tapi bukanlah dengan orang yang sdr baru pertama kali berhubung
Mamat : padahal akar melayu tu sendri dh luput..
Mamat : dah terhakis..
Mamat : camne tu..
saya : jika benar melayu ini berada dalam diri - ada jati diri Melayu - ia akan terpancar dalam semua bentuk ekspresi termasuklah bahasa.
Mamat : hm..
Mamat : ye ke?
Mamat : maaf la..
Mamat : sy mmg dr dulu lagi xpentingkan melayu ni..
Mamat : sy lebih penting kan agama..
saya : benar, dalam agama jika kita dianjurkan bersopan santun dengan orang lain. caranya ialah berbudi bahasa. saya : melayu dan agama itu sangat sinonim. tak dapat nak dipisahkan kedua-duanya.
Mamat : apa xberbudi bahasa ke email sy kt akak ari tu?
Mamat : silap tu..
Mamat : melayu ngan agama x penah nyer sama..
Mamat : sejarah dah buktikan..
Mamat : asal melayu ni hindu..
Mamat : dr zaman srivijaya..majapahit..
Mamat : agama islam kita ni pulak x penah kenal bangsa..
Mamat : so..
Mamat : wat pe nk melenting pasal bangsa..
saya : tak mengapalah, teruskanlah dengan hujah sdr. saya : saya tetap ada bangsa dan saya berbangga dengan bangsa saya saya : jika saudara tidak ada bangsa, itu pilihan sdr saya : terpulanglah. saya : saya sudah katakan, apa yang wajar saya perkatakan. saya : terima kasih kerana sudi mendengarnya.


Inilah luahan anak bangsa yang sudah tidak mengaku bahawa dia ada bangsa pun. Agaknya dalam borang masa nak minta kerja dulu ruangan bangsa dia letak apa ya?

Salahkah, kalau saya memilih untuk tidak menjawab e-mel sebegini, setelah ditegur, enggan pula untuk membetulkan bahasa dan ejaan yang betul. Belajar Bahasa Melayu dulu memang setakat untuk lulus periksa sahajakah?

Eh, lupa pulak! Pelajar sekarang memang belajar untuk lulus periksa, mana ada lagi yang belajar untuk mendapatkan ilmu?

Patutlah matematik dan sains perlu diajar dalam Bahasa Inggeris sebab dalam bahasa Melayu pun mereka tak boleh jawab, jadi kenalah alih bahasa. Lepas tu, novel-novel popular pun mengabsahkan kerancuan bahasa begini. Baguslah kan? Meriah sekali agenda bahasa kita di Malaysia!

Ulasan

emilayusof berkata…
Salam.

Kak, saya juga ada menerima e-mel sebegitu dari penuntut-penuntut yang mahu mendapatkan maklumat dari syarikat dimana saya bekerja sekarang. Cara mereka menulis surat adalah sungguh tidak formal. Baru-baru ini saya mendapat e-mel bertajuk "need ur help". Saya rasa kalau tajuk itu ditukarkan kepada tajuk maklumat yang diminta pun sudah memadai.
Tanpa Nama berkata…
salam,
masih panjang lagi perjuangan bahasa di Malaysia ini nampaknya, apa tah lagi perlu disulami dengan adab-adab "bercakap" dengan seseorang. Mereka ini samada masih mentah atau "keliru" ketika membaca ikrar rukun negara -"kesopanan dan kesusilaan".
Rebecca Ilham berkata…
Salam, Puan Nisah.

Pada saya, orang-orang yang tidak tahu menyesuaikan nada emel, surat dan komennya dengan penerima adalah orang-orang yang belum cukup matangnya.

Memetik kata-kata seorang teman rapat, pemilihan perkataan, cara pertuturan; itu melambangkan peribadi.

Tidak apa jika fasih dengan istilah-istilah trendy, tetapi perlu bertempat menggunakannya. Takkanlah apabila bertemu dengan bakal mertua buat pertama kali pun kita hendak ber'I' dan ber'you'!

Saya pernah ditegur oleh ibu angkat kerana sering menggunakan perkataan 'gila' sebagai kata penguat. Cara tegurannya halus, bersulam jenaka dan gelak tawa, tetapi ada maksud tersirat. Sudahnya, saya sedar keterlanjuran bicara tanpa hati terluka.

Ah.Indahnya bahasa ibunda!
MDM FARAH FAIZURA berkata…
aduh,

ternyata

aku ini termasuk dalam golongan rusak bahasa

ehehe,

tapi mujur aku tidak mengahntar email

hihihi
Imran Yusuf berkata…
Memang perjuanga bahasa menjadi lebih panjang, kerana apa yang diperjuangkan oleh oran-orang terdahulu sehingga tertubuhnya UKM telah dijadikan "kosong" semula oleh para poli'tikus' yang begit handal membaiki labu...

Catatan Popular