Apabila Ilmu Melayu Islam didokumenkan


Sepanjang pengetahuan saya, tidak banyak kehebatan ilmu-ilmu melayu yang dijadikan satu bentuk dokumentasi khusus dalam buku-buku tertentu. Jika ada pun, usaha itu lebih merupakan usaha individu dan sebarannya tidak cukup meluas.

Apabila saya mendengar tentang Ensiklopedia Perbidanan Melayu, apatah lagi setelah melihat isi kandungannya, saya tidak dapat menyembunyikan diri daripada rasa sangat teruja!

Buku setebal 373 halaman ini merupakan satu daripada khazanah melayu yang sempat didokumenkan dalam bentuk material untuk tatapan generasi depan.

Buku berkulit tebal ini dijual dengan harga RM145. Namun, saya merasakan harganya masih rendah berbanding isi dan ilmu yang tidak ternilai.

Petang tadi, Ujana Ilmu sempat menyempurnakan undangan pelancaran Ensiklopedia Perbidanan Melayu ini di Hotel Sri Pacific, Kuala Lumpur. Acara yang sederhana tapi meriah itu telah disempurnakan oleh Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong.

Dalam arus kehidupan moden, semakin ramai ibu hamil dan yang baru selesai bersalin mengabaikan atur cara berpantang selama 44 hari. Kalau ada pun yang cuba untuk berpantang, hanyalah berpantang secara minimum tanpa mengetahui banyak rahsia dan hikmah yang terkandung di sebalik setiap peraturan berpantang.

Buku ini membuka banyak rahsia berpantang hatta dari zaman Ibu Manusia yang Pertama iaitu Siti Hawa, isteri kepada Nabi Adam (a.s.). Dijelaskan juga bagaimana tatacara berpantang orang-orang Melayu itu sama sekali tidak bertentangan dengan ajaran Islam jika kita benar-benar memahami setiap perlakuan dan membuka minda dalam mengutip setiap hikmahnya.

Secara peribadi, saya berasa sangat dekat dengan isi kandungan buku ini. Saya juga berasa bertuah kerana tiga proses mengandung dan bersalin yang saya lalui, saya sempat mewarisi beberapa ilmu perbidanan Melayu yang dibisikkan oleh nenda saya. Ibu nenda saya, iaitu moyang saya juga seorang bidan kampung. Saya difahamkan, pihak hospital Seremban pada ketika itu mahu 'memujuk' beliau supaya bertugas secara rasmi di hospital atas kepakaran semulajadi yang dimiliki. Apa tidaknya, moyang saya mempunyai kemampuan untuk membantu kelahiran songsang yang pada ketika itu sesuatu yang dianggap satu fenomena ngeri bagi ibu yang mahu bersalin.

Lantas dengan sedikit sebanyak ilmu perbidanan yang ada, nenda saya pun menitipkan beberapa petua dan amanat dalam melalui proses bersalin dan penjagaan ibu dan anak sewaktu dalam pantang. Paling menarik, kebanyakan petua dan amanat itu terakam dalam Ensiklopedia Perbidanan Melayu ini!

Sebagai contoh, bagi bayi yang masih belum tanggal pusatnya; setiap pagi selepas dimandikan hendaklah dituam badannya dengan daun sirih yang dilayur atas api dapur. Daun itu kemudiannya diramas dan dalam keadaan suam-suam diletakkan di atas dada dan perutnya bagi memanaskan badannya. Kemudian barulah dibalut dengan 'barut kereta'. Nah, amalan itu turut dicatatkan dalam buku yang cukup tebal dan berwarna-warni ini.

Tidak cukup dengan itu, sewaktu dalam pantang saya pernah dihidangkan dengan ikan haruan panggang dan juga ikan bilis yang ditumbuk bersama-sama lada hitam, kunyit, halia dan garam. Kini dalam Ensiklopedia Perbidanan Melayu saya dapati ada banyak lagi resipi yang enak lagi menyelerakan untuk ibu-ibu dalam pantang! Siapa kata ibu dalam pantang makanannya terhad? Oleh sebab kurangnya pengetahuan, ramai pula yang memilih untuk tidak melaksanakan amalan pantang.

Lagipun kebanyakan doktor perubatan bertegas bahawa amalan pantang tidak ada kena mengena dengan kesihatan itu. Ramai yang kurang pengetahuan tentang ilmu perbidanan Melayu menganggap semua itu sebagai sekatan kepada ibu yang baru melahirkan dan boleh mengurangkan zat badan. Kata mereka juga, ibu akan jadi lambat sihat kerana terlalu mengikut pantang.

Ya, saya sudah memerhatikan beberapa teman yang memilih untuk tidak berpantang. Mereka tetap sihat. Namun, belum pun sampai usia 40-an, kesannya agak berbeza.

Turut dimuatkan dalam buku ini ialah doa-doa yang wajar menjadi amalan ibu-ibu hamil yang jarang dijumpai dalam buku-buku amalan ibu hamil yang lain. Misalnya, doa jika terkejut melihat sesuatu yang ngeri ataupun luar biasa, untuk mengelakkan 'terkenan' kepada bayi yang dikandung.

Begitu juga dengan tumbuhan-tumbuhan dan herba terpilih untuk digunakan dalam atur cara dan amalannya turut disenaraikan dan diberi nama saintifik. Ini bagi membolehkan tumbuhan ataupun herba yang dikenali dengan nama yang berbeza di daerah lain dikenalpasti dengan tepat.

Apa lagi yang boleh saya katakan tentang buku ini? Ia sebuah buku yang hebat tetapi anda tidak akan merasakan kehebatannya jika sekadar memerhatikan kulit luarnya. Jika anda fikir anda seorang lelaki dan tidak ada kena mengena dengan ibu hamil, anda masih boleh mendapatkan buku ini dan hadiahkan kepada bakal isteri (letak dalam dulang hantaran pun masih o.k. sebab saiznya besar), isteri, adik perempuan, kakak ataupun sesiapa sahaja yang difikirkan wajar. Para suami juga wajib membacanya kerana pengetahuan yang diterangkan dalam buku ini boleh membantu anda menjaga isteri sewaktu di dalam pantang.

Anatomi wanita dan mengapa suami juga harus 'berpantang' dalam tempoh pantang isteri turut dijelaskan dan sebagai pasangan suami isteri anda akan lebih memahami penderitaan, kepayahan serta kesakitan isteri yang hamil dan ketika isteri melalui proses bersalin serta berpantang.

Buku ini bukan sahaja patut dimiliki oleh semua umat Melayu malah juga sesuai untuk orang bukan Melayu yang mahu meneliti tatacara perbidanan Melayu.

Ensiklopedia Perbidanan Melayu ini mungkin tidak dijual di pasaran terbuka (saya pun tidak mengerti kaedah pemasarannya), namun Ujana Ilmu tetap mengambil inisiatif bagi memastikan buku yang sarat ilmu dan sangat berfaedah ini sampai kepada pembaca yang cintakan ilmu.

Dapatkan Ensiklopedia Perbidanan Melayu ini dari www.ujanailmu.com.my dengan harga RM145.

Ulasan

Unknown berkata…
Salam Nisah.

Tahniah buat Nisah sekeluarga!

Oh ya, saya nak senaskhah. Simpankan satu ya.
fadly khairie berkata…
Saya boleh katakan ini satu usaha yang baik. Siapa kata adat perbidanan dan pantang-larang ini tidak menyumbang apa-apa kepada perubatan. Ramai antara kita tidak tahu langkah orang-orang kita membalut bayi dengan bekung mengurangkan risiko untuk dislokasi sendi pelvis (pelvic joint dislocation) memandangkan kaki bayi di letak dalam keadaan physiologi.

Mengikut sejarah perubatan, Asia terkenal dengan teknik-teknik fisioterapi yang kurang menyakitkan (less invasiveness). Cuma yang tinggal sekarang, saintis-saintis Melayu untuk membuat ujian klinikal (clinical trial) bagi memberi kredit yang sewajarnya kepada teknik-teknik ini di mata dunia.

Mengapa tidak? Dahulunya pun ubat sakit jantung yang kita gunakan sekarang pun berasal daripada herba 'Foxglove' yang diamalkan orang lama-lama di Eropah yang selepas itu baru dikesan mempunyai bahan kimia 'Digitalis'.

Saya pastikan buku ini dalam koleksi saya.

Catatan Popular