Melunas Tanggungjawab


Sebagai anak sulung dan juga anak perempuan tunggal di rumah, saya punya pelbagai tanggungjawab. Apatah lagi, ibu saya telah pulang ke rahmatullah kira-kira 6 bulan sebelum sempat melihat saya sendiri naik ke jinjang pelamin.

Kini, tanpa ada sebarang pilihan, saya juga perlu melunaskan tanggungjawab sebagai wanita tunggal dalam keluarga bagi menguruskan walimah satu-satunya adik lelaki saya. Untuk itu, banyak keputusan besar dalam menguruskan sebuah kenduri berada dalam tanggungjawab saya.

Alhamdulillah, saya dan keluarga kecil saya dapat melunaskan tanggungjawab tersebut. Antara yang paling saya seronok ialah pemberian untuk tetamu (seperti gambar di atas). Memang rumit menyudahkan 'bakul sia' seperti dalam gambar itu. Penat, tetapi memuaskan. Ramai tetamu yang berasa seronok menerima 'bakul sia' itu apabila dikembarkan dengan sebuah Surah Yaasin terjemahan bersaiz poket.

Niat saya ialah untuk memberi satu bentuk penghargaan kepada setiap tetamu supaya mereka berasa benar-benar dihargai kerana tiada ucapan yang paling bermakna atas kehadiran mereka meraikan majlis kecil kami. Jadi, saya mahu berikan kepada mereka sesuatu yang tidak mungkin dibuang begitu sahaja.

Adakalanya, kita sudah terbiasa dihadiahkan dengan bunga telur, kek kecil, dan pemberian-pemberian yang biasa kita terima. Tidak semua orang akan menyimpannya. Insya-Allah, orang tidak akan membuang Yaasin Terjemahan dengan begitu sahaja. Harapan saya naskhah Yaasin itu boleh digunakan dalam mana-mana majlis lain kerana ia bersaiz poket dan mudah untuk dibawa. 'Bakul sia' itu pula saya isi dengan kesirat - sejenis manisan (lebih kurang dodol tetapi penyediaannya berbeza) yang merupakan sajian tradisional Negeri Sembilan.

Terima kasih kepada tetamu yang sudi menghadirkan diri ke majlis kami. Mohon maaf kerana tidak semua dapat saya undang ke majlis ini.

Ulasan

emilayusof berkata…
Salam.

Sungguh cantik bakul 'sia' itu. Sesungguhnya penat tidak terasa setelah melihat hasilnya.
Tanpa Nama berkata…
Ibnu Fuad

Assalamualaikum...
Saya ada baca blog ini...
Blog Seorang Ust di Mesir..
Bagus dan berisi...
Mudah difahami...
Saya minta izin untuk mengiklankan blog ini...
Saya ajak Pn Nisah turut melayarinya...
Terima kasih...
akhisalman.blogspot.com
banggugar berkata…
salam Kak Nisah,
satu cara baru yg dpt smua mengambil manfaat, org yg hdir dan tuan rumah sama2 mndapat brkat..
insyaAllah

(",)
Nisah Haji Haron berkata…
Emila,
Alhamdulillah, memang seronok apabila pemberian sekecil itu dihargai. Hilang segala penat lelah - rasa mengantuk sambil terlelap-lelap ketika menganyamnya. Apabila sudah siap berwarna-warni, memang nampak 'meriah' bakul-bakul tu.

Akhisalman.blogspot.com - silakan buat link jika mahu.

Bang Gugar,
Insya-Allah, semoga Allah kurniakan keberkatan untuk kita semua.

Catatan Popular