Mencari Kedamaian

Kawasan pertama yang akan menyambut pengunjung Perpustakaan Awam NS

Adakalanya penulis perlu beralih angin ketika menulis. Walaupun bilik khusus untuk menulis itu sudah menjadi tempat yang tidak asing ketika menghasilkan karya, sesekali beralih angin dapat juga memberikan perspektif yang berbeza.

Sejak Perpustakaan Awam Negeri Sembilan beralih tempat dari bangunan SUK Lama (berhadapan Istana Hinggap) ke Bangunan UMNO Seremban, saya sudah beberapa kali ke lokasi baharunya. Terletak tidak jauh dari Terminal Bas Seremban / Terminal One Shopping Centre, lokasi baharu ini agak sesuai untuk mereka yang datang menggunakan pengangkutan awam.

Sesudah ceramah, melayan pelajar membeli buku

Baru-baru ini juga saya pernah diundang menyampaikan ceramah penulisan kreatif anjuran Perpustakaan Awam NS kepada sekumpulan pelajar sekolah menengah di Seremban di Dewan Serbaguna perpustakaan ini. Suasananya juga agak kondusif untuk bengkel-bengkel ataupun ceramah berbentuk demikian.

Selalunya, apabila saya ke mana-mana perpustakaan, saya sering tercari-cari pengguna yang sebangsa dengan saya.

Selalunya, saya bertemu dengan pelajar bukan Melayu lebih ramai memanfaatkan perpustakaan, sama ada untuk mengulangkaji bersama-sama rakan ataupun mencari tempat yang aman, damai, berhawa dingin untuk belajar sendirian.

Sayang sekali, kemudian yang begitu canggih disediakan Kerajaan Negeri jarang dimanfaatkan sepenuhnya oleh pelajar kita.

Semalam, saya datang mencari ruang sesuai untuk menulis. Kalau duduk di ruang terbuka, mungkin saya akan berasa 'terganggu' dengan pengguna lain yang lalu lalang, ataupun mereka mungkin terganggu apabila saya mula menaip dengan laptop di meja saya. Oleh itu, saya memilih untuk 'menyorok' di Koleksi Negeri Sembilan - satu kawasan ataupun ruang khusus yang menyimpan khazanah bahan bacaan mengenai negeri ini. Tidak ada pengguna di situ, jadi saya pun terus tandatangan dan daftar masuk.

Ada seorang dua kakitangan perpustakaan yang saya fikir sedang menyiapkan tugas sambil menggunakan ruang tersebut. Saya tidak kisah berkongsi ruang tersebut asalkan masing-masing menghormati privasi. Pada mulanya, saya tidak berapa terkesan apabila mereka mula berbual dengan nada rendah. Tetapi oleh sebab saya ke situ untuk menyiapkan beberapa tulisan, saya mula rasa terganggu apabila perkara yang dibualkan itu ternyata bualan kosong.

Hendak saya tegur, nanti ada yang berkecil hati. Saya masih bersabar dan cuba menulis serta mengabaikan rasa terganggu tadi. Tetapi selepas itu, masuk seorang lagi dan kemudian ditambah seorang lagi hingga jadi 4 orang semuanya. Mereka terus berbincang di situ. Setahu saya ini bukan bilik karel. Saya pula pengguna yang sah dengan keahlian yang berdaftar.

Tak boleh jadi!

Saya pun mengadu pada seorang pegawai yang memang saya kenali. Saya mohon sekiranya perpustakaan ini mempunyai sebarang bilik yang boleh saya duduk sendirian (saya tahu permintaan itu agak keterlaluan). Perpustakaan Awam NS ini sememangnya canggih, kerana ada disediakan satu bilik khusus untuk pengguna tertentu dan semalam saya diberi peluang menggunakan bilik tersebut. Koleksi di dalamnya terdiri daripada buku-buku yang tidak boleh dipinjam keluar. Itu tidak menjadi hal kepada saya kerana paling penting saya mahukan ketenangan saya tidak diganggu perbualan kosong - apatah lagi oleh kakitangan perpustakaan itu sendiri.

Bagi saya, kalau mahu berbual, boleh sahaja ke kedai kopi ataupun, singgah sahaja di Secret Recipe tidak jauh dari situ.

Alhamdulillah, setelah diberikan bilik khas tersebut, saya dapat menyudahkan banyak tulisan yang tertangguh dalam keadaan seolah-olah, saya memiliki sebuah pejabat di perpustakaan itu!

Ulasan

Puan Ainon Mohd. berkata…
Dalam perpustakaanv dia bercakap, dalam surau, dalam masjid, dalam bilik darjah, dalam dewan seminar, dalam dewan kuliah, dalam kelas agama, dalam bilik menunggu doktor, orang perempuan bercakap... pelajar perempuan bercakap, mahasiswi bercakap, kerani bercakap, pegawai perempuan bercakap, yang muda bercakap, yang sudah tua bercakap... itu salah satu perbezaan tingkah laku lelaki dengan perempuan dalam majlis.
Azree MH berkata…
Hurm. Teringat kenangan dulu di perpustakaan lama. Setiap kali cuti sekolah panjang pasti saya meminta emak saya menghantar saya ke sana.

Harap-harapnya bila sudah beralih tempat ini, buku-buku barunya juga bertambah. Kalau dahulu buku-buku yang lama sahaja dijumpai - yang kulit terburai, yang kertas berwarna kuning-kuning, buku yang hilang mukasurat.

Sekarang tinggal di JB.
Tanpa Nama berkata…
assalamualaikum Pn Nisah,
Pn Nisah orang Negeri Sembilan ke? Entri PN Nisah ni menarik perhatian saya apabila melihat pelajar-pelajar sekolah saya dahulu. saya sendiri pun tak tahu perpustakaan di Seremban tu dah berpindah! Insyallah pulang ke Msia Ogos ini, Insyallah dapatlah berkunjung ke situ dan kalau ada peluang boleh berkenalan dengan Puan ataupun meminta 'signature' penulis terkenal!=)
Saya pula tertanya-tanya, bilalah di Puchong akan diadakan perpustakaan untuk penduduk di sini ? Masjid dah besar, Kompleks membeli-belah besar-besar, kompleks sukan pun dah besar... :)

Catatan Popular