Ciplak & Etika Penulisan

Seorang penulis baru (baca : belum ada nama) mencari jalan pintas untuk segera dikenali. Ya, memang ada jalan pintas tersebut. Namanya Lorong Ciplak. Ada juga yang menamakannya Jalan Plagiat. Andai diikut laluan ini, biasanya cepat sikit sampai ke puncak populariti.

Awas! Secepat itu juga penulis tersebut boleh jatuh.

Penulis baru ini mungkin sahaja berfikir, 'alah, editor bukannya tahu, ada beribu-ribu sajak dalam dunia ni, takkan dia perasan dari mana aku ambil sajak ini.'

Yang lucunya, kalau iya pun mahu menceduk hasil jerih payah orang lain, janganlah ciplak sajak Usman Awang ataupun karya penulis ternama. Amat mudah sekali dikesan!

Pun, saya tidak kata ceduklah karya penulis yang tidak popular. Menciplak itu hukumnya haram. Apa tidaknya, mengambil hak orang lain tanpa izin, samalah ertinya dengan mencuri ataupun merompak, bukan? Lepas tu, apabila dapat royalti ataupun honorarium diterima dan dimakannya pula. Bukankah itu namanya memakan harta yang haram.

Ramai yang masih tidak sedar bahawa menciplak itu suatu jenayah dalam penulisan. Penulis pula jarang sekali mahu ambil kisah hal-hal hak cipta ini. Mereka cuma tahu karyanya terbit dan apabila berlaku kes-kes ciplak - tak pasti nak buat bagaimana.

Akhirnya, salahkan GAPENA, salahkan persatuan penulis kerana tidak mengambil berat kebajiakan penulis. Alahai, marilah berhenti menjadi bangau. Kalau tahu bahawa diri masih belum cukup ilmu hak cipta, apa salahnya belajar dan bertanya. Pun, ramai yang masih tak mahu ambil kisah kerana karyanya belum pernah diciplak ataupun royaltinya sentiasa dibayar penerbit. Kalau lambat bayar pun tak kisah, asalkan dibayar. Padahal, ada sejenis penerbit yang harus 'dijolok' barulah dibayar royaltinya.

Ini pernah berlaku kepada saya dengan sebuah penerbit. Rasa macam musim buah pula. Sampai masanya, 'jolok' sedikit, tunggulah dalam sebulan, nanti akan dibayarlah royaltinya. Kalau tak jolok, alamat lambat sedikit gugurnya.

Dalam satu kes lain, seperti yang dipaparkan dalam Berita Harian 26 Julai 2007 - kes seorang penulis mapan yang masih lagi tak faham etika penulisan. Kalau dah hantar Karya A ke Majalah X, janganlah hantar Karya A itu lagi ke Majalah Y pula.

Ini bukan persoalan hak cipta. Hak cipta itu memang hak penulisnya. Tetapi ini ialah etika penulisan. Apabila kita menghantar Karya A ke majalah X, dan mendapat honorarium selepas itu; ini bermakna kita memberikan karya kita untuk disiarkan secara EKSLUSIF di majalah tersebut. Sebab itu kita layak dapat honorarium. Apabila karya yang sama dihantar ke Majalah Y, itu namanya sudah tidak eksklusif lagi untuk Majalah Y.

Jadi, untuk mengelakkan karya yang sama tersiar sama ada secara sengaja ataupun tidak sengaja di merata tempat, bersistematiklah dalam menghantar karya. Buatlah satu jadual ataupun catatan pada salinan karya yang telah dikirimkan. Catatkan tarikh dan nama akhbar/majalah yang dikirimkan. Bukannya susah sangat. Penulis biasanya cepat lupa sebab ada banyak lagi plot cerpen, sajak, watak dalam novel yang perlu diingatinya. Oleh sebab tak mampu hendak mengupah seorang pembantu peribadi, biasakan buat catatan tentang karya yang disiarkan.

Ini dapat mengelakkan karya yang sama tersiar di dalam majalah/akhbar yang berlainan.

Ada juga yang penulis yang pernah bertanya kepada saya - 'Apa salahnya saya hantar karya yang sama ke merata tempat. Karya ini kan, saya yang pegang hak ciptanya. Suka hatilah saya hendak hantar ke mana-mana sebab saya cuba beri hak penerbitan sementara kepada majalah yang terbit karya saya itu. Selepas habis tempoh hak penerbitan, bolehlah saya hantar karya itu ke tempat lain pula. Lagipun, bukan semua orang baca majalah X, saya mahu karya saya dinikmati ramai pembaca!'

Amboi, loyar buruk pulak penulis baru ini selepas mendengar ceramah hak cipta yang saya berikan.

Benar, hak cipta memang tidak diambil mana-mana majalah/akhbar apabila karya itu terbit. Hak penerbitannya mungkin satu hari sahaja ataupun satu bulan (bergantung kepada jenis penerbitan sama ada majalah bulanan ataupun akhbar mingguan).

Cubalah buat selalu, saya berkata secara sinis kepadanya, nanti editor semua majalah berkenaan dengan mudahnya menyenaraihitamkan karya-karya saudara. Nanti siapa yang rugi? Usah ajak berkelahi dengan buah durian kalau diri sendiri juga bukan buah durian.

Nasihat saya lagi, bukankah lebih baik tulis karya yang lain untuk penerbitan yang berbeza. Kalaupun mahu menyampaikan mesej yang sama, mesej itu boleh sahaja ditulis dengan pelbagai cara dan karya yang berbeza-beza. Itu tentunya lebih positif dan saudara akan dilihat lebih prolifik.

Tapi, saya tidak salahkan pengarang baru itu kerana dia baru sahaja mahu melangkah dalam dunia sastera dan penerbitan. Bagaimana pula kita mahu menerima keadaan seorang penulis mapan yang buat kesilapan yang sama?

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
Entri ini menjadi panduan berguna kepada para penulis. Saya bersyukur kerana didedahkan tentang perkara ini sebelum cerpen pertama saya disiarkan tidak lama lagi.

Harap Puan Nisah boleh menulis lebih banyak entri tentang undang-undang dan etika berkaitan penulisn.
Tanpa Nama berkata…
Puan,

Saya sudah tengok sebuah buku terjemahan Gitanjali oleh tokoh teramat-amat terkenal negara kita yang serupa sangat dengan terjemahan Gitanjali yang terbit di Indonesia pada tahun 40-an dulu!
Tanpa Nama berkata…
من غشّنا فليس منّا
Hadis Rasulullah Yg melarang Dari meniru...
"Sesiapa Yg Meniru Maka Dia Bukan Dari Golongan Kami"

Catatan Popular