Bedar & Manikam 2

Membaca Manikam Kalbu - buat saya ceria sepanjang pembacaan. Langsung saya terfikir, kalau sedang tension, bagus untuk meredakan tekanan!

Ha, jangan sekali-kali pandang rendah naskhah Manikam Kalbu semata-mata kerana novel ini menang kategori novel remaja. 'Keremajaan' novel ini tidak bermaksud orang dewasa tak perlu baca.

Kenapa ada gambar kucing? Kerana kucing ialah pencerita dan juga penyambung hikayat dua zaman.

Ini antara naskhah Faisal yang paling saya enjoy menikmatinya selain bergelak ketawa sambil berfikir dalam Bila Tuhan Berbicara. Faisal buat saya bernostalgia dengan kelas Sains Rumah Tangga yang pernah saya ambil sewaktu menengah rendah. Masih terbayang betapa 'derita'nya mendapat guru yang gemar membebel dalam kelas jahitan. Kalaulah dia secantik Cikgu Natasya, seperti dalam Manikam Kalbu, dan berpengetahuan luas pula, tentu saya ambil subjek Sains Rumah Tangga untuk SRP dulu!

Terimbau juga kelas jahitan yang memperkenalkan saya dengan jahit kia, insang pari, jelujur kasar, jelujur halus, sembat, jahit tulang belut yang saya gemari tetapi terpaksa menahan leteran guru saya itu. Mujur Cikgu Natasya tidak begitu.

Mungkin ramai yang menyangka bahawa nilai hadiah sewaktu Sayembara Jubli Emas DBP akan menentukan karya Faisal mana yang lebih baik. Tanpa menafikan kekuatan Bedar Sukma Bisu yang tersendiri, Manikam Kalbu sesungguhnya sebuah naskhah-mesti-baca.

Apatah lagi, pada zaman sekarang apabila aurat menjadi satu permainan, eloklah ada sebuah karya besar yang memperkatakan hal-hal yang serius dengan cara yang santai. Setiap hari kita berpakaian tetapi ramai yang tidak tahu apa yang dipakai. Saya paling sakit hati apabila ada orang pakai kebaya pendek yang dipadankan dengan seluar panjang ataupun slack. Saya masih ingat bagaiaman Dr. Siti Zainon Ismail pun setuju dengan saya apabila kami berdiskusi tentang hal ini.

Nah, kini ada sebuah naskhah yang sarat dengan ilmu busana Melayu, ilmu fabrik dan ya, sedikit ilmu tentang kucing juga!

Ingin tahu mengapa baju kurung dinamakan begitu? Apa yang dikurung? Mengapa butang baju Melayu yang asal ada 5? Ataupun mengapa ikan tidak boleh tidur ataupun mengapa air laut masin, semuanya terjawab di dalam Manikam Kalbu.

Sebuah naskhah yang amat menghiburkan sesuai untuk bacaan umum dan juga remaja!


p/s : Baca dik, jangan tak baca. Baru tahu kenapa salah kalau pakai tudung tapi baju sendat mendat ataupun kenapa baju Melayu tak patut dipakai dengan seluar jeans. Fusion-fusion, tak main!

Pesan terus Manikam Kalbu dan Bedar Sukma Bisu dari Ujana Ilmu untuk naskhah berautograf Faisal Tehrani.

Ulasan

Apabila membaca sinopsis kak, terasa sangat nak beli, tapi budget dan fulus untuk 2 bulan ni dah berkurangan. Harap-harapnya masih ada untuk bulan 11 nanti....
Rebecca Ilham berkata…
Kak Nisah, saya setuju!

Aduh, ada dua peperiksaan minggu ini! Jika tidak, memang saya tak akan letak Manikam Kalbu. Sudah separuh, dan harapnya akan selesai esok atau lusa.

=)
Tanpa Nama berkata…
Assalamualaikum.

Alamak Puan Nisah ni.. Saya ni tengah "bibliobankrupsi", bila baca entri ni buat saya teruja dan sangat gatal tangan nak memesan buku tersebut dari Ujana Ilmu.

Tentang aurat jadi permainan tu, saya setuju sangat. Malu + sakit hati bila lihat orang yang memakai t-shirt sendat, seluar ketat tapi pakai tudung. Itu namanya bukan tutup aurat, sekadar tutup rambut je.

Wassalam.

Juliana
Tanpa Nama berkata…
Walaupun Nisah dah lama hantar sms dan juga e-mail tentang buku-buku Faisal ni, tapi masa tu belum teruja lagi nak baca (maklumlah, sibuk sangat berhari raya). Tapi bila dah baca entri Nisah kali ni, ish... menyesal pula tak order awal-awal... kalau tidak, tentu dah boleh baca!
fajar berkata…
Syukur. Bungkusan yang dinanti telah pun selamat tiba! Aduhai, yang mana satu harus dibaca dahulu?
Unknown berkata…
Sudah berapa kali saya berkunjung ke kedai DBP di sini. Hairan, masih belum tiba. Entah bila akan tiba.

Jari-jari ini sudah gatal mahu klik ke ujanailmu.
:-) berkata…
Salam,

Fajar, saya juga tertanya perkara yang sama...
Sudahnya, saya membaca BSB dulu sebab teruja dengan kulitbukunya...

BSB padat dengan ilmu ekonomi dan pembuatan bedar, perahu, dsb, dan berat...
Manikam Kalbu padat dengan ilmu busana dan ringan, boleh terguling-guling ketawa...

Nasib baik, saya dulukan yang berat, sebab, lepas tu boleh rehat dengan yang ringan...

Wassalam.
A.Z. Haida berkata…
kedua-dua buku dah sampai ke Rasah, tapi tak tahu bila pula akan sampai ke Tokyo...

saya gigit jari sendiri, cemburu...
Tanpa Nama berkata…
Salam.

Nisah,
Saya juga sangat seronok dengan Manikam kalbu, benar-benar menusuk kalbu..

Saya sentiasa berbaju kurung, tapi tak tahu kenapa baju itu dinamakan baju kurung...

Ketika baca mengenai pakaian orang minang, terasa jahilnya saya semasa mengajar sejarah ringkas negeri sembilan dua bulan lepas kepada pelajar tingkatan satu. Begitu juga mengapa adat perpatih mengutamakan kaum wanita.

Setiap kali membaca novel faisal, terasa kurangnya pengetahuan saya, kurangnya saya membaca. Terima kasih kepada faisal. terima kasih juga pada Tuhan kerana mengirimkan seorang penulis seperti faisal yang banyak memberi ilmu, pengetahuan,dorongan dan semangat kepada pembaca,kepada ummah

Saya berpesan kepada pelajar tingkatan satu, simpan duit raya, akhir tahun beli buku Faisal. 1515, ASPN, kombat atau NBSA.Mana-mana mesti baca..

Terima kasih juga kepada Nisah dan Ujanailmu...

Catatan Popular