Novel Bersiri - WANITA


Mulai keluaran Oktober 2007, novel terbaharu saya disiarkan secara bersiri di majalah WANITA terbitan Utusan Karya.

Saya judulkan sebagai : Gapuran Purnama. Tetapi judul tersebut tidak ditulis. Yang ada hanyalah judul setiap siri.

Siri Pertama : Aset Teja

Dapatkan majalah WANITA untuk mengikuti kisah perjuangan seorang wanita dalam dunia perbukuan dan dalam masa yang sama masyarakat menuntut beliau menjadi wanita yang sempurna. Ini bukan kisah dunia korporat tetapi melihat dunia buku dan isu-isu seputarnya dalam bentuk penulisan kreatif.

Fragmen :

Di dalam Gapura Purnama ini saya memintal nostalgia.

Toko buku dua tingkat ini banyak menawarkan ketenangan pada saya. Gapura Purnama – nama yang sangat berpadanan untuk sebuah kedai yang dihadiahkan kepada Teja. Pusaka ayah dan ibu yang sama-sama mencintai ilmu. Kata mereka, tiada hadiah yang lebih akbar daripada sebuah toko buku ini. Membantu menerangi kehidupan manusia lain juga suatu jihad. Perniagaan ini juga suatu jihad.

Begitu pesan insan-insan yang memungkinkan saya melihat bulan dan matahari.

Dalam usia yang masih pucuk, saya sudah bergelumang dengan dunia buku. Saya dibesarkan dengan haruman yang dikeluarkan kertas-kertas dan kulit-kulit buku. Saya jadi terbiasa menghormati setiap buku yang dilihatnya. Pasti akan saya kutip dan dikembalikan ke rak yang asal, jika ada sahabat saya itu terjatuh.

Ya, buku-buku di rak kutubkhanah ayah dan ibu saya sudah lama menjadi sahabat yang paling akrab. Di situ saya bergelumang sebelum diperkenalkan pula dengan buku-buku di Toko Gapura Purnama apabila usia saya meningkat. Seperti bertatih, demikian saya mempelajari daripada mengenal huruf sehinggalah saya belajar menikmati sebuah buku.

Semua itu diajar ayah dan ibu saya. Langsung saya menjadi pencinta buku. Tiada apa yang lebih bermakna dalam hidup saya melainkan ayah dan ibu serta buku-buku. Cinta kepada buku langsung hidup subur dalam segenap jiwa dan sanubari saya.

Saya menjadi arif mengapa buku-buku di dalam kutubkhanah kediaman kami harus disusun mengikut Sistem Desimal Dewey. Sedangkan buku-buku di Toko Gapura Purnama disusun mengikut sistem yang berbeza.

Saya diajar bagaimana menghormati selera pelanggan. Saya perhatikan setiap hari bagaimana ayah dan ibu berkomunikasi dengan setiap pelanggan dengan tatacara yang berbeza. Saya kagum melihat bagaimana ayah berbicara dengan bahasa lunak setiap kali membantu pelanggannya di kedai itu. Saya juga terpesona melihat senyuman ibu yang tidak pernah jemu melayan citarasa pengunjung yang sekadar datang untuk melihat-lihat dan bukannya untuk membeli.

“Mengapa pelanggan seperti itu perlu kita layan begitu, ibu? Sedangkan kita sama-sama tahu yang mereka bukannya mahu membeli pun.”

Komen? Amat dialu-alukan.

Ulasan

Menarik sekali! Kerana tentunya buku merupakan satu dunia yang tersendiri dan unik untuk setiap daripada kita hidup di dalamnya. Tahniah kak dengan kelahiran tulisan terbaru ini!
Latiptalib berkata…
Puan Nisah,

Tahniah...idea tak kering-kering macam Sungai Nil.
Tanpa Nama berkata…
Assalammualaikum,
Tahniah Nisah, nampaknya tiap-tiap bulan kena beli majalah WANITA ni. Bila pula nak tulis novel kanak-kanak lagi? Anak Kak Ira dah berapa kali khatam novel "FARIS"... lepas tu asyik tanya, bila kawan mummy nak tulis cerita budak-budak lagi? Setakat ni, dia banyak baca novel kanak-kanak terbitan PTS. Kalau Nisah boleh baca dua tiga buku dalam satu masa, apakata tulis novel pun dua tiga juga dalam satu masa?
:-) berkata…
Salam,

Sebuah novel bersiri yang berkisar tentang wanita bersemangat waja dalam dunia buku?

Oh, saya sangat2 teruja!!!
Membaca fragmen ini saja sudah membuat saya tertanya-tanya dan mahu membaca lagi...

Walau kulitmuka bulan ini tak saya minati langsung, heh, saya akan letak majalah ini dalam senarai pembelian prioriti... "Lentera Mustika" masih lagi dalam senarai "Tunggu Dulu".

Nilah bahayanya pencinta buku melawat blog-blog penulis, lol...
Mudah-mudahan, Allah memberi saya rezeki yang berlebihan, inshaAllah...

Wassalam...
Nisah Haji Haron berkata…
Syakirin,
Terima kasih. Penulisan ini juga satu cabaran buat saya. Perlu manfaatkan bahan bacaan tentang dunia perbukuan.

Pak Latip,
Terima kasih. Alhamdulillah, semoga Allah terus permudahkan usaha kita semua untuk menulis.

Kak Ira,
Tak mengapa kalau tak beli pun, sebenarnya, boleh sahaja baca di Perpustakaan Negeri yang tentunya melanggan majalah ini. Insya-Allah, saya juga sedang usahakan "Farris", buku-buku begitu biasanya lambat sedikit kerana perlukan ilustrator yang boleh menambat hati kanak-kanak. Sesungguhnya, saya sedang menulis 2,3 novel serentak. Doakan saya terus diberikan kekuatan.

Sofwah,
Wajah kulit majalah itu saja saya upload bagi memudahkan pembaca mengenalpasti majalah WANITA mana yang patut dibeli. "Ooooh, yang gambar depan dia ada Siti Nurhaliza tu!" :-)

Mudah-mudahan Allah juga beri rezeki yang halal lagi berkat buat kita semua, insya-Allah.
Tanpa Nama berkata…
Alamak, sekali lagi novel bersiri Pn. Nisah dalam majalah untuk perempuan. Lelaki bujang macam saya ni tunggu siri itu dibukukan jawabnya.

Hmm, Gapura Purnama. Kebetulan bulan ini cerpen saya bertajuk Gapura Dimensi. Tapi saya fikir, tajuk saya mengambil maksud yang berbeza.

Tentunya Gapura Purnama mengambil maksud institusi yang memperjuangkan ilmu berbanding maksud yang satu lagi iaitu pintu gerbang.
Unknown berkata…
Cerpen tenatng buku dan dunia buku?

Wow! Wow! Wow!

Tahniah!
Nisah Haji Haron berkata…
Firdaus,
Alahai, mintalah pada teman wanita belikan majalah tu bagi pihak. Kalau tukang jual tu pandang semacam, buat-buatlah kata "emak saya pesan suruh beli, dia malas nak langgan." :-) Lepas baca, beri pada emak. Jadi, tak tipu kan?

Jiwa Rasa,
Sedikit pembetulan, bukan cerpen tapi novel bersiri. Sedang memanfaatkan fakta-fakta tentang dunia buku sejak pertemuan kita dengan komuniti bukuonline dahulu. Kalau tidak didokumenkan dalam bentuk kreatif begini, pengetahuan itu boleh hilang begitu sahaja. Saya juga perlu buat banyak 'research' untuk penulisan sekali ini. Mencabar, tetapi menyeronokkan!

Catatan Popular