Komen Bernas Jiwa Rasa

Dalam dunia blog berbahasa Melayu, khususnya blog tentang dunia buku, kita tidak boleh langsung mengenepikan blogger Jiwa Rasa (JR). Walaupun JR tidak menulis setiap hari di blognya - Dari Jiwa Rasa - namun, setiap entrinya padat, bernas dan boleh membuat kita tertarik untuk mendapatkan buku yang telah JR nilai.

Saya berpendapat JR wajar mendapat pojok khusus yang memperkatakan tentang buku di media cetak. Kita amat kurang sekali pembaca kritis seperti JR yang sanggup pula menulis sesuatu tentang buku yang dibacanya. Komen JR bukanlah sekadar 'buku ini best dibaca', atau 'saya amat tertarik dengan perwatakan heronya' ataupun 'heroinnya digambarkan jelita'; malah JR selalunya pergi lebih jauh lagi.

Entri JR yang terkini, tidak dapat tidak menarik perhatian saya. Ya, saya pernah membaca Tuhan Manusia dan bukan entri tentang buku itu yang mahu saya katakan.

Saya petik ayat berikut :

Kita juga tidak kurang penulis fiksyen dari golongan agama. Malangnya untuk mencari mereka yang sungguh-sungguh berdakwah dan memanfaatkan ilmu dalam bidang penulisan, bagaikan mencari jarum dalam di tengah padang rumput. Kalau adapun, akan mencari jalan mudah menulis cerita cinta yang dikatakan novel Islami. Kononnya sevuah novel sudah jadi Islami bila sering sebut assalamulaikum dan bila watak di dalamnya suka ber`'ana anta. Geli geleman tenggorok tua saya bila baca cerita cinta enta-enti, akhawah akhawat ini. Zaman saya membaca cerita begitu sudah berlalu. Umur sudah tua. Banyak lagi buku bagus yang tak akan sempat saya baca.


Betapa benar!!!

Kata JR lagi :

Saya tak berselindung dengan mengatakan saya kecewa dengan sesetengah lulusan agama yang tidak berlaku adil dengan ilmu yang mereka perolehi. Mereka segan berdakwah dan kedekut ilmu untuk dikongsi, menyimpan ilmu untuk diri sendiri, mungkin mahu dibuat bekal masuk syurga seorang diri.


Ini juga sebahagian daripada kebimbangan saya terhadap beberapa lulusan luar negara (khususnya bakal graduan dari Timur Tengah) apabila saya membaca karya-karya mereka. Kepada yang baru menulis karya sulung, ya, mungkin saya harus memberi ruang kepada mereka untuk mula bertapak.

Tetapi, kalau terlalu lama leka dan menulis hal-hal agama secara luaran (superficial), sampai bila pula pembaca berkualiti seperti JR (dan mereka yang seangkatan) harus menunggu. Sedikit sebanyak saya berasa tercabar dengan tulisan JR meskipun sekadar kena tempiasnya. Ya, saya bukan lulusan agama per se, pun itu tidak mewajarkan saya untuk mengenepikan hal-hal keagamaan dalam karya.

Saya tak fikir bahawa semua penulis lulusan agama ini harus menjadi seperti Faisal Tehrani. Tetapi saya mahu golongan ini (kebanyakannya masih menuntut), segera 'membesar' dalam penulisan. (Jika benar, mahu jadi penulislah). Cukuplah penulis pop menulis karya berbumbukan cinta melankolik dan resah gelisah. Kita yang terdidik dalam bidang lebih berilmu ini haruslah melahirkan sesuatu yang lebih 'serius' daripada itu. Mahu menulis perlulah banyak membaca buku berkualiti. Kalau asyik mengulang baca karya mudah, dan tak perlu fikir banyak, hasil tulisan juga akan jadi demikian.

Malah, saya juga tercari-cari agamawan muda yang boleh berdebat dalam karyanya langsung boleh (jika mahu) diketengahkan apabila orang bukan Islam mencerca agama ini. Ooops, jangan mudah terpesona dengan watak "Fahri" dalam Ayat-ayat Cinta. Saya tidak ada masalah dengan pengarangnya, tetapi saya tak fikir novel Ayat-ayat Cinta sudah cukup Islamik (dalam erti kata, ada wacana di dalamnya). Faisal pernah bertanya pendapat saya tentang novel ini, tanpa menangguh sebarang nafas, saya katakan novel ini berunsur pop kalau pun tidak dinamakan novel pop.

Nanti dulu, usah cepat melatah. Saya tak kata novel pop Islami itu tidak baik. Namun, entri ini bukan mahu memperkatakan tentang novel ini.

Ayuh, adinda-adinda di Timur Tengah dan mereka yang terdidik dalam disiplin agama sepenuhnya! Jika benar mahu berjuang, mahu berdakwah dengan mata pena. Pertajamkanlah mata pena kalian. Apabila membaca, usah dihad-hadkan. Baca juga buku-buku yang baik dalam apa bahasa sekalipun yang kita semua fahami. Saya tahu ramai lulusan agama (bukan semua) yang bermasalah sama ada untuk bertutur, membaca apatah lagi untuk memahami Bahasa Inggeris.

Nah, inilah cabarannya. Sudahlah agamawan kita hanya bercakap hal-hal agama yang kecil-kecil, bila pula nak satukan agama dengan cabang-cabang ilmu yang lain? Sudahnya, mereka yang berada dalam kelompok 'agama' ini ketinggalan dalam memperkatakan urusan ekonomi, sains, undang-undang, perubatan dan bidang lain yang tidak kurang penting (menjadi fardhu kifayah pula). Takkan mahu terus diam apabila dikatakan agamawan hanya minat bermain politik. Itupun sekadar main-main 'tepi-tepi' sahaja.

Takkan nak biarkan Karen Armstrong terus berbicara tentang Islam. Di mana agamawan kita? Masihkah mahu mempertahankan bahawa 'syurga aku' lebih baik daripada 'syurga engkau'? Ataupun leka mengkafir sesama Islam, sedangkan orang di luar bertepuk tangan keseronokan.

Ya, saya sangat setuju bahawa sekadar ada kalimah 'Bismillahirrahmanirrahim' ataupun setiap wataknya tidak lupa memberi salam kala bertemu dan berpisah, masih belum menjadikan karya itu Islami sifatnya.

Dalam karya Islami juga ada yang pop dan juga ada yang berwacana. Sekali lagi, ini bukan soal siapa betul ataupun siapa salah. Persoalannya ialah, siapakah antara kita yang berani berfikir?

Terima kasih JR! Teruskan menulis komen-komen terhadap buku yang dibaca. Dunia buku tidak meriah jika tidak ada kelompok pembaca kritis seperti JR. Tidak lupa juga pembaca/penulis Khairusy Syakirin yang sedang membina muatan blognya.


** Nota tambahan : Mesti Baca juga tulisan SN Shahnon Ahmad "Novel Pop Novel Serius" dalam pojok bulan beliau Pabila Hujan Turun (Dewan Sastera November 2007)

Ulasan

Jong berkata…
Salam,
sungguh bersemangat entri ini, saya rasa teruja dan membuak2 hati, macam nak bertakbir pun ada!
Betul, saya menyeru adik2 supaya menjauhi pop dalam karya dan menggunakan ilmu yang ada untuk dibahagi2kan kepada pembaca.

Takkan nak biarkan orang seperti khalid jaafar terus menulis tentang Islam, takkan nak biarkan 3R terus mengata Islam dan membiarkan aktres seperti if bikin filem mencemarkan budaya, 'lets make it more often' bermaharajela!

Dan ingatan juga kepada PENERBIT termasuk yang bergengsi dan sering mengadakan bengkel untuk melatih pengarang muda: jangan juga terus mendorong tulisan yang pop-popan ala ayat2 cinta semata-mata kerana terpengaruh keuntungan ekonomi yang terhasil darinya!

wassalam...solawat!
Faisal 'melaporkan' dari Ulu Klang :)
:-) berkata…
Salam,

Pn.Nisah, ada sesuatu yang bermain-main di kepala saya...
Saya tidak jadi datang esok, walau sudah ada perancangan, kalau tidak, boleh berbicara empat mata dengan puan... T_T
Tak apalah, ada jodoh, bertemu jua nanti, insyaAllah...
Buat masa ini, mohon pandangan puan:

Saya bersetuju bahawa karya Islami berwacana sangat-sangat diperlukan... tetapi, ramai yang membeli novel-novel FT kerana mereka sudahpun mengenali nama FT dan akan membeli karya FT. FT juga punya penyokong yang menghargai dan memahami karya-karyanya, alhamdulillah.

Bagaimana pula bagi seorang penulis baru yang tidak dikenali yang menghasilkan karya sulungnya? Sekiranya penulis ini mengisi novelnya dengan isu Islami yang berat-berat atau berbentuk ilmiah, bukankah nanti tidak ramai yang akan membaca karyanya? Dia tidak akan dikenali dan penulisannya tidak akan sampai ke mana-mana? Dengan ini, bukankah mesejnya nanti tidak akan sampai kepada khalayak yang seharusnya?

(Am I asking the right questions in the first place? ;p Help!)

Terima kasih...

Wassalam...
Tanpa Nama berkata…
Kita perlukan lebih ramai pemikir dan pengulas seperti Saudara Jiwa Rasa. Bila sendiri menjadi penulis, saya terasa agak terkongkong untuk mengkritik.

Komen JR tentang kisah cinta anta-anti memang kena pada masanya, sebelum novel seperti itu bertambah banyak. Masih ramai antara kita yang keliru antara Islam dan Arab, nilai dan ritual, isi dan kulit, ummah dan jemaah.

Saya sendiri adalah pelajar Sains Komputer, tetapi ada sedikit sebanyak input Islam kerana belajar di UIA. :D
Tanpa Nama berkata…
Salam Kak Nis,

Komen dari saya yang suka menulis sajak:
Paling meluat bila baca sajak-sajak waktu bulan Ramadan. Masa nilah kebanyakan penyair nak minta ampun, bertaubat, insaf, nak bersujud, bertasbih, bersyukur, nak panggil nama Tuhan, Ya Rabb, Rabbul Izzati...

Loya mak,nyah!Bulan lain tak payah insaf kot!
Rebecca Ilham berkata…
Salam Kak Nisah,

mula-mula saya nak minta maaf jika komentar ini terpesong dari essence entry di mana-mana.

Saya melihat ada kesungguhan di kalangan penulis dari latar belakang agama (dan bukan) untuk menyemarakkan genre Sastera Islami. Perkembangan yang bagus, tentunya. Tetapi ada satu isu yang bermain-main di fikiran saya sejak beberapa lama dan sesudah menghadiri majlis anjuran MSA di kolej dan mendapati ada beberapa teman dari Kuwait dan UAE mengongsi pendapat yang sama, saya rasa saya perlu meluahkan.

Penulis-penulis Sastera Islami pada pemerhatian saya sangat cenderung menyelitkan terjemahan ayat-ayat Ai Quran dalam karya mereka. Tidaklah saya katakan jangan, atau tak boleh, kerana kitab suci itu tentunya sumber ilmu paling utama. Cuma tidaklah janggal, terutama jikalau kita berdakwah kepada non Muslim, non believer yang menolak Quran, kalam Tuhan? Mereka tentunya mahukan penjelasan lain, yang boleh mereka relate.

Saya pernah terbaca sebuah cerpen tentang evolusi yang mana hujahan pengarangnya berlandaskan ayat-ayat Al Quran semata-mata. Saya tak nampak non Muslim akan convince dan yakin.

Saya mohon diperbetulkan pendapat saya jikalau ada tersalah di mana-mana.

Terima kasih.
Tanpa Nama berkata…
Saudari Rebecca Ilham,

Tidakkah saudari pernah mendengar cerita bagaimana Saidina Umar yang pada awalnya begitu menentang nabi saw, tiba-tiba boleh terpikat dengan Islam hanya kerana mendengar keindahan ayat-ayat al Quran yang dibaca?

Tidakkah pernah saudari mendengar cerita bagaimana Da'thur yang menggigil-gigil ketakutan saat mendengar hujah nabi saw, yang mengatakan, "Allahlah yang akan menyelamatkan aku" ?

Sesungguhnya Al Quran tidak hanya diturunkan kepada orang Islam sahaja. Kita tidak harus nafikan hak orang-orang bukan Islam untuk menerima hujah-hujah ayat Al Quran.

Salam, ampun maaf kiranya ada tersilap bahasa.

Allah jua yang lebih mengetahui.
:-) berkata…
Salam,

Apa yang saya boleh nyatakan secara ringkas ialah dakwah banyak jalannya :) Hidayah terbuka dengan berbagai pintu...

Apapun, sedikit sebanyak persoalan saya dijawab di artikel di bawah ini - untuk bacaan bersama :)
Utusan Malaysia Online

[maaf soalan berat, saya pasti pn.Nisah sedang sibuk dengan berbagai urusan seperti yang disebut dalam entri selepas ini :)]

Wassalam.
Tanpa Nama berkata…
Saya ada membaca ruangan pojok SN Shahnon Ahmad dalam Dewan Sastera. Bagi saya, pendapat beliau seakan kurang konklusif.

Saya tidak mahu memanjangkan perdebatan novel pop lawan novel serius. Yang penting adalah isi novel itu menepati syariah dan betul bahasanya.

Idea saya mungkin 'simplistic', tapi saya mementingkan praktikaliti. Apa gunaya menulis kalau susah difahami?

Bila sudah ramai pembaca di Malaysia, masa itulah novel-novel berat dapat diapresiasi sepenuhnya. 'Customer base' sastera perlu dibesarkan lagi!

Sekadar pendapat mentah penulis baru. :)
Tanpa Nama berkata…
salam

Saya pohon maaf. Kadang kita perlu berfikir dahulu sebelum melontar bicara. Fikir dengan zikir pasti akan mendorong ke arah Tuhan. Nauzubillah, tanpa kita sedari mungkin ada kata-kata secara tidak langsung menghina agama yang kita mahu perjuangkan. Ya cik Rai dan Rabecca..=)

Saya melihat karya-karya ini sebagai pengganti karya cinta picisan yang berlambak di pasaran. Karya cinta berbau islamik tapi tidak berat, adalah perlu. Bagaimana mahu menarik golongan yang biasa-biasa pemikirannya dengan ide yang berat untuk dicerna? Orang seperti saya-remaja, sedang berenang dalam gelombang rasa yang sukar untuk ditelah. Karya sebegini bahkan boleh menjadi satu contoh mudah.
Kerana agama itu mudah dan cinta itu fitrah.

Saya juga tidak menolak, sampai bila mahu terus-menerus disuap karya biasa-biasa tanpa fakta ilmiah yang cukup untuk menjadikan pembacanya maju. Tapi, biar permulaannya kita tumpukan pada penyuburan minat pada indahnya roh islamik dalam aplikasi harian.

Adanya novel-novel sebegini, saya yakin bakal menyemarakkan lagi dunia penulisan.

Sesungguhnya Islam itu sendiri adalah agama yang mudah.

Maaf
:-) berkata…
Salam wardahputeh,

Sangat setuju bahawa Islam itu mudah. Islam juga indah kerana itu, berdakwah untuk mengajak orang kepada Islam atau kepada mencintai Islam, pasti banyak caranya. Mungkin cara yang ditemukan oleh sdr. Rai dan sdr.Rebecca dalam pembacaan mereka itu, pada pandangan mereka, tak sesuai digunakan untuk sesetengah kelompok. Maka, perlulah para pendakwah yang menulis mengkaji pendekatan lain yang lebih baik untuk menyampaikan mesej mereka.

Dan kerana berdakwah punya berbagai cara, tak semestinya buku-buku Islami semuanya berat-berat berwacana tentang Islam atau ringan-ringan sahaja. Ada juga yang sedang membuat negosiasi diantara wacana berat dan pembentukan fikrah Islami seperti yang terdapat dalam novel Zaid Akhtar, Justeru Impian Di Jaring. Kalau kita letakkan novel-novel Islami di satu spektrum, mungkin, di satu bahagian, kita akan dapati novel-novel seperti Ayat-Ayat Cinta (AAC), kemudian, menjurus kepada novel-novel pertengahan seperti JIDJ, kemudian, di hujung terakhir, novel-novel berat seperti novel-novel FT. Katalah:

X (AAC)
|
|
|->(JDJI)
|
|
Y (NovelFT)

Kita akan mendapati setiap bentuk novel memenuhi hasrat citarasa pembaca yang berbeza-beza dan berdakwah dengan cara berbeza-beza. Ada yang tak boleh menerima novel-novel Y tapi ada yang seperti saya sangat minat dengan novel-novel Y kerana membantu saya memahami sesuatu dari perspektif berbeza.

Novel-novel seperti JIDJ pula boleh menjadi jambatan antara X dan Y kerana menyediakan pembaca X untuk memahami novel-novel di Y. Apabila khalayak X sudah bersedia, mereka akan dahagakan penulisan bermutu di bahagian Y. Apabila mereka mula mencari, bahannya sudah wujud, insyaAllah. Kita perlukan berbagai bentuk novel Islami ini kerana dengan kepelbagaian, kita akan dapat menyentuh hati seberapa banyak pembaca yang mungkin, insyaAllah.

Wallahu'alam.

Saya juga mohon maaf jika ada yang tidak kena dalam pandangan peribadi saya ini :)

Wassalam.
Pishaposh berkata…
Salam Pn. Nisah,

Ya, saya sangat bersetuju apa yang diulas oleh sdr. JR mengenai fenomena melakar cerita cinta anta-enti, kemudian mengklasifikasikan sebagai cerpen Islam. Loya tekak membaca cerita begitu dgn watak yg muluk2 ... anta waseem, wa ana jamilatun ... hehehe! Pleasee!

Sdr Ideal,
Saya rasa apa yg Sdr Rabecca Ilham tulis tu ada benarnya jugak. Bukan nak menidakkan Quran, tetapi target dakwah kena dinilai jugak. Kalau berdakwah kepada ateis yang tidak percaya Tuhan yang bersifat metafizik, sudah tentu tidak akan berjaya...
Kisah Umar lain cerita, kerana Quran itu diturunkan dalam Bahasa Arab, dan Umar juga seorang Arab. Pesona bahasanya yg mengkagumkan Umar yang memahami. Dalam konteks ni, berapa ramai yang akan terpesona dgn terjemahan Quran kalau mereka tak memahami pesona bahasanya? Terjemahan Mamduke Pitchall sgt indah, Yusuf Ali juga bagus, tapi kenapa masih susah nak tertarik?

Maka, kesimpulannya - Serulah mereka ke jalan Tuhan kamu dengan hikmah dan contoh yang baik ...

Maaf Pn. Nisah, terlari konteks sikit!

Have a nice day!

Catatan Popular