Travelog Mini - Hari Raya di Rumah-rumah SN

Semalam cuti umum. Saya dan beberapa sahabat penulis mengambil kesempatan menziarahi dua orang tokoh besar dalam kesusasteraan Melayu. Perancangan ini sudah lama dibuat, dan jika tidak diteruskan entah bila lagi, kami akan berkesempatan untuk menziarahi mereka.
  1. Rumah SN Arena Wati
Beliau tinggal di kawasan Kepong, Kuala Lumpur. Mencari rumah itu, kami harus menggunakan bantuan seorang pegawai DBP yang tinggal di sekitar Bandar Manjalara. Jika tidak, harus kami sesat barat mencari rumah Pak Arena. Andainya selepas ini, saya disuruh kembali ke rumah tersebut, pasti akan sesat barat sekali lagi, kalau pun boleh sampai.
Pak Arena sendiri yang menyambut rombongan kecil kami. Membuka mangga pada pintu bergril dan turut disambut isteri beliau. Dalam kesibukan tinggal berdua, isterinya masih sempat menghidangkan nasi lemak berlaukkan sambal udang untuk hidangan kami. Katanya, mengapa tak beritahu hendak datang. (Ketua rombongan menelefon Pak Arena sejurus kami sampai di pintu pagar rumahnya.) :-) Alasannya, kami tak mahu menyusahkan mereka beriya-iya menyediakan hidangan.



Leka sungguh mendengar Pak Arena berkisah dari satu ceritera kepada yang lain seolah-olah saya sedang membaca novel-novel beliau. Tetang kisah satu tempat bernama Jempang dalam novelnya "Sudara" yang dikaji seorang arkeologis berdasarkan novel itu sendiri, dan banyak lagi.






Saya yang membawa bersama-sama senaskhah Memoir Arena Wati - Enda Gulingku, sempat meminta Pak Arena mengautograf karya besarnya itu.




"Ini milik NISAH HARON", tulisnya di atas halaman judul buku tersebut.




Gambar di atas, saya dan si kecil bergambar berlatarbelakangkan perpustakaan Pak Arena. Itulah dia penulis mestilah mempunyai sekian banyak pembacaan di belakangnya, sebelum mahu menjadi penulis besar. Mengingatkan saya kepada kata-kata seorang calon novelis (yang kononnya mahu menulis novel besar), "Saya tak baca, novel-novel ni." Hahaha, tak baca novel orang lain, tapi mahu menulis novel.


Pertemuan hampir 2 jam itu memberi banyak makna dalam penulisan kami semua. Semangat yang ditunjukkan oleh Pak Arena benar-benar membakar kami semua. Katanya, "Saya sedang menulis novel baharu. Baru bab satu, malam tadi saya kerjakan, sampai sekarang (jam 2. 00 petang) belum tidur lagi!"

Ah, Pak Arena dalam usia yang demikian, masih lagi gigih. Mengapa kita yang jauh lebih muda ini mudah sekali putus harap dan mudah kecewa dalam menulis.


Rumah Pak Arena kami tinggalkan bersama-sama pesanan azimat yang dibekalkan. Destinasi seterusnya ialah rumah SN Abdullah Hussain.


2. Rumah SN Abdullah Hussain

Gambar: Pak Lah berpesan kepada si kecil saya "Bila besar nanti, menulis macam ibu!"

Dari Kepong, bertolak ke Petaling Jaya setelah usai solat Zohor di Masjid Sri Segambut. Ingat-ingat lupa kedudukan rumah Pak Lah. Tetapi berjaya juga kami jejaki.

Ada sinar gembira di matanya tatkala rombongan kecil kami singgah di laman rumahnya. Tak sangka pula, Pak Lah yang biasanya menerima tetamu di kamar peribadinya, sanggup keluar melayan kami di laman.

Terlopong si kecil saya, bertemu Sasterawan Negara itu (yang ketiga ditemui selepas Pak Arena & Pak Samad - terdahulu daripada ini). Ini juga kali pertama saya berpeluang bertemu Pak Lah setelah diberitakan sedikit uzur tidak lama dahulu.

Pak Lah masih utuh ingatannya terhadap banyak perkara. Pak Lah turut menyuarakan kebimbangan apabila buku-buku yang baik tidak sampai pada khalayak. Antara yang paling menyentuh ialah apabila 'orang kedai buku', katanya, meletakkan novel Imam tulisan beliau di rak buku-buku agama, bukannya di rak buku sastera/fiksyen.

Kami juga mesra dilayani isteri beliau dan kami sempat berbual tentang anak sulungnya, yang juga penulis besar masa kini - Ahmad Patria Abdullah. Datin Seroja menceritakan bagaimana beliau amat mementingkan disiplin anak-anak sewaktu mereka kecil, apatah lagi Pak Lah sibuk dengan aktiviti penulisan. Jadi, anak-anak dilatih gemar membaca sejak awal. Datin juga mengesahkan kisah yang pernah diceritakan sendiri oleh Abang Pat - iaitu dia pernah membaca naskhah Lord of the Rings dalam usia 11 tahun yang dipinjam dari Perpustakaan British Council.

3. Rumah Allahyarham Dr. Othman Puteh

Kunjungan ke rumah Puan Timah Baba (balu allahyarham) di Bandar Baru Bangi, kami sempurnakan juga. Walaupun ini bukanlah kami pertama saya ke rumah beliau, singgahan kami turut mengundang syahdu di hati beliau. Pastinya rombongan kecil kami yang amat akrab dengan Allahyarham Dr. Othman dan Hizairi itu mengundang pelbagai cerita lama. Bimbang juga kami pada awalnya, jika kehadiran kami hanya akan menggamit perasaan sedih yang tak mungkin hilang begitu sahaja.

Pun, Puan Timah berasa sungguh dihargai dengan kehadiran kami. Menghargai ingatan kami terhadapnya serta ingatan kepada mereka yang hilang juga telah tiada.

Sempat bersolat maghrib sebelum bertolak pulang dari rumahnya. Si kecil saya pula sudah mula meragam keletihan melayani tokoh-tokoh yang besar dalam jagat kesusasteraan. Kami pulang dengan rasa amat bersyukur, kerana Allah telah mengizinkan perjalanan dan pertemuan kami dengan insan-insan penting ini.

Ulasan

Puan Ainon Mohd. berkata…
Asalamualaikum, Puan Nisah!

Alangkah bagusnya program puan ini! Sungguh bagus!
Unknown berkata…
Seronoknya!

Saya geram tengok buku-buku SN tu!
Seronoknya berhari raya dan berziarah sambil mengembangkan minda.

En JR, saya juga geram!
Nisah Haji Haron berkata…
Waalaikumussalam Puan Ainon,

Ya, saya amat mengharapkan agar lebih ramai penulis muda datang mendapatkan penulis yang lebih mapan. Selain daripada membina ukhwah dan silaturrahim di kalangan penulis, kita juga dapat berkongsi banyak perkara. Apatah lagi, ramai penulis muda hari ini amat mendabik dada, kononnya novel mereka meletup-letup di pasaran malah jauh lebih hebat daripada karya SN-SN ini, jadi mereka fikir, apa perlunya mencari kesempatan untuk menziarahi mereka. Padahal, karya SN-SN ini pun belum tentu mereka 'cuba' membacanya!

:-)

JR & Norziati,
Kata-kata kalian sungguh benar. Kalaulah kami ada masa yang lebih panjang di rumah Pak Arena, barangkali, dapatlah 'menikmati' buku-buku di perpustakaan beliau, walaupun sekadar melihat-lihat koleksi peribadi itu.
Zaid Akhtar berkata…
Puan Nisah,
saya cemburu dalam geram.
Malaslah kawan dengan engkorang.
:-(
Rebecca Ilham berkata…
Salam Kak Nisah,

argh, cemburunya saya dengan Adik Salsabila!
taufiq berkata…
Bersemangat saya membaca penulis-penulis yang masih gigih dengan pena mereka. Anak bangsa mendapat manfaat.
Tanpa Nama berkata…
memang tak rezeki aku nak mintak pak lah sain "dan amalam bila ia berlalu" dan beberapa buku lain... kempunan... kempunan... lelagi bila nisah kata... "tak dapek den nak nolong eh tu doh..." huhuhu tidakkkkkkkk........

pak lah nampak bertambah uzur dari last time aku jumpa dia... moga masa menyebelahi aku esok lusa.

Catatan Popular