Di Ar Ti - Inspirasi Menulis MLS



Sewaktu merayau-rayau di laman siber, saya bertemu dengan laman web / blog penulis yang sudah lama saya cari - Dr. Rahmat Haroun.

Lalu saya temui lamannya di sini.

Novel di sebelah merupakan novel pertama beliau. Rahmat Haroun juga merupakan penulis pertama novel berlatarbelakangkan dunia perubatan dengan berkesan. Saya masih ingat lagi kisah beberapa orang pelajar perubatan yang menemui 'sesuatu' di dewan diseksi di sebuah universiti.



Baru-baru ini Dr. Rahmat Haroun, yang merupakan seorang doktor berubatan dan bertugas di Langkawi, juga menghasilkan 2 buah buku sealiran dengan novel-novel sainsnya yang lain - iaitu Sentuhan Oedipus, Fitrah Kimiawi dan Hikayat Neogenesis.

Percaya ataupun tidak, novel Di. Ar. Ti merupakan antara pencetus awal untuk saya menulis novel undang-undang Mencari Locus Standi. Apakah kaitan undang-undang dengan perubatan? Kisah pelajar perubatan yang ditulis dalam novel itu cukup berkesan untuk saya terfikir, mengapa tiada orang menulis kisah pelajar undang-undang pula. Tulisan Dr. Rahmat dalam novel itu membuatkan sesiapa sahaja yang tidak mendalami jurusan perubatan - tidak akan terasa dipinggirkan. Malah, pembaca akan diajak bergelut bersama konflik watak-watak dalam novel itu.

Khabarnya, kini Dr. Rahmat Haroun mahu dikenali sebagai Rahmat Haroun Hashim kerana tidak mahu orang ramai keliru dengan nama seorang lagi penyair Rahmat Harun (gambar kecil di sebelah kanan).

Pada mulanya, saya amat keliru dengan nama Rahmat Haroun Hashim yang digunakan buat pertama kali dalam Fitrah Kimiawi. Saya fikirkan ada seorang lagi penulis yang mempunyai nama hampir sama. Tambahan lagi, ada seorang 'hamba Allah' yang 'marah-marah' pada saya (dan mendakwa saya tak buat 'homework' sebelum menulis sebuah artikel mengenai fiksyen sains dalam Dewan Sastera) apabila saya katakan Rahmat Haroun Hashim dan Rahmat Haroun ialah orang yang sama.

Apa pun, nama pena ataupun nama pilihan untuk dikenali sebagai pengarang adalah hak moral seseorang pengarang. Pemilihan nama untuk dikenali itu penting dan tidak boleh ditukar / dirombak sesuka hati oleh editor ataupun penerbit. Pemilihan nama pena ataupun nama untuk dikenali sebagai pengarang itu akan menjadi identiti pengarang dan sekaligus membabitkan maruah seorang pengarang. Dia akan terus dikenali dengan nama tersebut. Oleh sebab itulah, seorang pengarang yang baru sahaja mahu mencipta nama dalam penulisan, disarankan supaya membina satu nama terlebih dahulu. Biar nama itu hidup, tumbuh subur, dan tentunya senang diingati dan segar.

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
pernah baca- dapat daripada pusat sumber sekolah.


p/s: Di penghujung cerita penulis mengajak pembaca berfikir tentang maksud Di.Ar.Ti dan misteri-misteri lain, bukan?
Tanpa Nama berkata…
Pertama kali saya berkenalan dengan Dr. Rahmat menerusi Di Ar Ti. Kemudian datang pula Manuklon. Banyak beri inspirasi saya menulis Sci-Fi semasa sekolah menengah dahulu.

Jasa Dr. Rahmat sungguh besar buat saya.

:P

Catatan Popular