Membina Jati Diri Melalui Blog
Dari kiri : Dr. Marzuki Mohamad (UIAM), Azwan (Moderator), Dato' Seri Dr. Khir Toyo & Nisah Haron
Topik : Cabaran dan Harapan Generasi Baharu - Dunia Siber : Fakta atau Fitnah
Malam tadi saya menyempurnakan juga undangan daripada pihak Majlis Belia Malaysia yang menganjurkan Konvensyen Belia Kebangsaan 2008 di Kuala Lumpur. Secara kebetulan, saya ang mendapat tajuk yang sama untuk disampaikan di Seremban dan juga di Kuala Lumpur.
Namun, Konvensyen Belia Kebangsaan 2008 terasa lebih menyeronokkan apabila satu tajuk yang sama diberikan kepada ketiga-tiga orang panel. Oleh itu, tajuk tersebut dapat dikupas dengan lebih mendalam.
Secara umum tajuk tersebut terasa seperti agak skematik. Tetapi, terpulanglah kepada panel untuk menyemarakkan tajuk tersebut.
Saya diberi mandat untuk membuka gelanggang dengan memperkatakan fungsi blog secara umum dan keperluan itu harus dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh golongan remaja. Saya turut menyeru supaya mereka menyambut perkembangan dalam dunia teknologi maklumat ini dengan positif. Blog boleh menjadi medan yang kukuh kepada golongan remaja untuk menyalurkan pendapat dengan yakin di samping mengasah kemahiran menulis.
Saya turut menegaskan bahawa untuk menguasai kemahiran penulis, pemilik blog haruslah banyak membaca dan tidak segan-segan untuk membuat kajian (research) sebelum satu-satu entri itu ditulis. Ini memandangkan bahawa menulis entri ini bukan sekadar luahan perasaan yang kosong maklumat dan dangkal isi. Melainkan blog yang dibina itu bersifat surat terbuka dan tempat menyatakan perasaan semata-mata. Pun, alangkah ruginya bangsa kita jika bloggers, khususnya yang berbangsa Melayu, menggunakan blog hanya untuk tujuan tersebut, ataupun sekadar mahu menarik perhatian (untuk mencari pasangan, barangkali), ataupun tempat melambakkan e-mel yang telah dimajukan oleh 1000 orang lain.
Dan tentunya, saya menegaskan tentang penggunaan bahasa yang baik dengan menghormati bahasa tersebut dalam tulisan, iaitu menulis dengan ejaan yang sempurna (bukan dengan ejaan SMS), cuba sebaik mungkin menjaga tatabahasa dan memastikan bahawa tulisan tersebut dapat menyampaikan kasad dan maksud yang mahu disampaikan.
Dr. Marzuki Mohamad, sebagai ahli akademik pastinya melihat tajuk itu dari sudut yang lebih ilmiah. Beliau berpendapat blog sebagai medan alternatif dalam menyampaikan pandangan dan perbezaan ideologi merupakan penambahan kepada medan sedia ada selain media cetak dan media elektronik. Beliau menumpukan kepada isu Malaysiakini-Raja Petra dalam kertas kerja tersebut.
Akhir sekali, Dr. Khir Toyo, yang dipanggil sebagai mantan Pengerusi Majlis Belia Malaysia dan kini juga seorang blogger, agak senada dengan apa yang telah saya perkatakan. Beliau menyebut bahawa blog sedikit sebanyak telah mengikis jati diri kita sebagai orang timur. Jika kita lambat sedar, jati diri itu akan hilang dalam tempoh yang terdekat. Beliau mengambil contoh komen-komen yang seringkali tidak beradab, penggunaan kata-kata kesat tanpa ada sebarang isi yang mahu disampaikan. Komen-komen yang sarat emosi itu pula ditulis dengan tulisan yang tidak jelas sama ada mahu berbahasa Melayu, Inggeris ataupun Cina. Juga dengan ejaan yang tidak sempurna akibat pengaruh SMS. Ini jelas berbeza jika dibandingkan dengan komentar dari mereka yang berbangsa Cina ataupun India yang lebih berhemah, menjaga bahasa (sama ada bahasa Melayu ataupun Inggeris) dan hujahnya bernas dan menepati entri (tidaklah melalut-lalut kepada hal yang tidak sepatutnya).
Secara keseluruhannya, peserta kelihatan memahami apa yang cuba dibawakan oleh panel. Cuma adakalanya saya berasa lucu dengan soalan-soalan yang agak 'skema' daripada wakil-wakil MPP IPT yang masih pekat idealisme sebagai mahasiswa.
Ulasan
Kak ina masih baru di ruang siber ini. Mohon tunjuk ajar andai ada yang tidak kena. Mohon izin juga untuk buat pautan ke laman kak ina ya.
Bahasa yang digunakan sudah pasti akan terus berubah, boleh mengupas ide baru dan semestinya boleh menyampaikan maklumat yang difahami oleh orang yang membaca.
Saya tertarik mengenai bahasa ini bila cuba mempelajari bahasa-bahasa di Eropah dan saya dapati pada bahasa-bahasa ini ada kesamaan yang ketara dari segi perkataan dan nahunya antara satu sama lain. Namun kerana perbezaan cara hidup, tutur kata dan keadaan sekililing, bahasa yang asalnya satu terus berkembang menjadi beberapa bahasa dunia.
Saya fikir dunia internet ini boleh membantu perkembangan bahasa kita. Saya harapkan ianya dapat menambahkan lagi kekuatan bahasa kita, bukan sahaja dalam tulisan-tulisan kreatif, tetapi juga untuk tulisan-tulisan ilmiah yang boleh membincangkan ilmu-ilmu dan penemuan-penumuan baru.
Kerana itu blog menjadi sebuah organisasi medianya yang tersendiri. Oleh kerana terlalu banyak organisasi ini di talian, maka masing2 mahu merebut audiens. Akan buat apa sahaja, termasuk juga menzahirkan sesuatu yang di luar kebiasaan.
Sewajarnya Bloger perlu dinaungkan di bawah satu persatuan atau sebuah badan tertentu. Maka yang tidak bernaung itu, automatik menjadi bloger yang tidak berkredibliti.
Pandangan saja... :)
Hujah2 yang ditampilkan oleh pembicara sepertinya hujah2 kerajaan untuk mengekalkan jati diri identiti dsb, suatu agenda nasionalis, and that's problematic at this point, it is the politics of the 1960s and it is dying very fast and we really need to bangun dan berfikir kembali, cubalah pemimpin kita membaca buku2 terbaru, samuel hutingto, keniche ohme, Fareed Zakaria etc. Banyak mereka masih terkandas di dalam kajian politik semasa belajar di Universiti Malaya dan Universiti Kebangsaan dan sudah ketinggalan zaman. Jangan marah, saya pun dari situ-situ juga, tapi kita perlu ilmu baru tanpa ada rasa untuk mempertahankan tembok besar kita, kesombongan dan keangkuhan!
the answer is we are part of global system, if we ambrace that, we have to understand all that. Maaf, bahasa saya bercampur aduk kerana sistem pelajaran saya di Malaysia yang begitu carca marba!