Gara-gara Rebat Tunai

Sabtu lepas, dalam perjalanan ke lebuh raya Seremban-KL dari rumah, saya harus melalui Pejabat Pos Besar Seremban. Sebelum jumpa pejabat pos, mesti jumpa Padang Bola KGV. Biasanya, kalau ada acara sukan di padang tersebut, laluan di sebelah kanan akan jadi sesak kerana banyak kereta yang akan parkir di bahu jalan.

Apabila melihatkan kesesakan tersebut, saya fikirkan mungkin ada acara pada hari Sabtu. Ketika melewati Pejabat Pos, barulah teringat kembali pengumuman untuk mendapatkan rebat RM625 sudah pun bermula!

Apa lagi, Pejabat Pos Besar Seremban seperti ada pesti. Biasanya hari Sabtu ialah hari yang sangat tenang dan boleh buat kakitangan pos itu lelap di kaunter masing-masing. Tetapi saya percaya pada hari tersebut, mereka pastinya tidak dapat tidur kerana sibuk mengira wang.

Saya cukup tak faham dengan apa yang dikejarkan orang ramai dengan rebat sebanyak itu. Secara peribadi saya tidak bersetuju rebat dibayar dalam bentuk tunai. Hakikatnya, duit itu pastinya digunakan untuk tujuan lain dan biasa tujuan itu pastinya untuk memuaskan nafsu-nafsu rendah saja.

Pastinya boleh dibilang dengan sebelah jari, siapakah yang akan menggunakan wang tersebut untuk menampung perbelanjaan membeli minyak. (Tanpa mengira sama ada RM625 itu cukup atau pun tidak).

Sebaliknya, jika sistem rebat itu ditukar kepada satu bentuk baucar minyak yang hanya boleh ditunaikan di stesen-stesen minyak tertentu (katakan Petronas) bukankah wang yang dibelanjakan kerajaan itu dapat dimanfaatkan kembali. Dengan cara itu juga, orang ramai tidak akan menyalahgunakan wang itu untuk membeli yang bukan-bukan.

Alahai, apabila duit TUNAI sudah ada di depan mata, yang tak perlu beli pun rasa nak beli juga. Masa inilah terasa nak tukar handphone, nak beli kamera digital, belanja makan luar tanpa memikirkan lebih jauh lagi.


Sumber gambar : www.utusan.com.my

Ulasan

Catatan Popular