Pejam-celik - si kecil pun setahun usia


Sedar tak sedar, si kecil yang gambarnya sering menghiasi beberapa entri di blog ini sudah pun genap usianya setahun semalam. Dialah si kecil saya yang paling kerap (berbanding anak-anak saya yang lain) hadir bersama-sama dengan saya dalam majlis-majlis sastera, sering menemankan saya ke DBP (khususnya bahagian majalah) - sehinggakan kalau dia tidak ada bersama-sama, ramai pula yang tertanya-tanya.

Pada mulanya saya agak gusar, bagaimana mahu menyempurnakan undangan banyak pihak dalam acara-acara sastera. Tetapi, Allah itu Maha Kaya lagi Maha Mengetahui. Setakat ini, dia tidaklah terlalu banyak olah kalau dibawa ke majlis-majlis. Dia akan diam selagi saya ada bersama-sama dengannya. Sesekali tekun menghayati majlis sama ada dalam sedar ataupun dalam tidur.

Kini, setelah setahun usia, dia boleh juga sesekali ditinggalkan kalau majlis saya itu pada siang hari dan tempohnya tidak sampai sehari semalam.

Oleh sebab saya amat akrab dengan buku dan selalu membaca bersama-samanya, dia juga gemar membelek-belek buku, selesa dengan bau buku dan berasa selamat jika dikelilingi dengan buku. Dia paling bahagia jika berada di dalam ruang kerja Ujana Ilmu.

Saya dan suami tidak memiliki banyak harta fizikal untuk diwarisi oleh anak-anak, tetapi kami cuma mampu mewariskan cara-cara untuk menambah ilmu. Selebihnya, terpulanglah kepada kebijaksanaan mereka untuk menambah ilmu tersebut.

Kami juga tidak berminat menyalut tubuh anak-anak dengan pakaian berjenama ataupun makanan yang mewah-mewah. Kami sungguh-sungguh percaya bahawa makanan untuk jiwa dan akal itu sama penting dengan khasiat makanan untuk jasmani.


Ulasan

Tanpa Nama berkata…
selamat hari lahir.. nanti dah besar boleh bersabung karya dengan ummi.. hehe :)
Selamat hari lahir anak kecil yang bertuah punyai ibu bapa yang berharta buku!
Rina berkata…
wah... comelnya! iras ibunya.
Tanpa Nama berkata…
comelnya..
mahu dicubit saja pipinya!
A.Z. Haida berkata…
sedikit terlewat
tapi selamat ulangtahun untuk salsabila...
auntie A.Z. dan uncle Amin doakan jadi anak yang solehah,
penyejuk mata ibu ayah sentiasa...
Tanpa Nama berkata…
Salam.

Oh, saya terlewat.
Happy belated birthday!
emilayusof berkata…
Selamat Hari Lahir yang pertama, Salsabila! Saya masih ingat ketika berjumpa dengannya di pesta buku, dia pandai membawa diri.

Catatan Popular