Sekitar HSKU 2007 - Hati Yang Tercalar...


Tidak banyak yang boleh saya perkatakan tentang majlis penyampaian HSKU 2007 kali ini. Apa yang tertulis ini barangkali menunjukkan betapa saya mempunyai rasa terima kasih yang sangat kurang terhadap penganjur - Kumpulan Utusan. Tetapi sebagai pihak yang diraikan, ada banyak yang boleh diperbaiki agar penganjuran pada tahun-tahun yang akan datang tidak akan mengulangi hal yang serupa.

Majlis bermula agak lewat apabila tetamu kehormat tiba sekitar jam 9.00 malam. Menurut atur cara, majlis seharusnya bermula setengah jam lebih awal. Ini disebabkan kesesakan lalu lintas di sekitar kawasan Raja Chulan yang saya kira fenomena biasa di Kuala Lumpur. Bagi yang tidak dapat mengukur masa, memang mudah terperangkap sebelum dapat sampai ke Crowne Plaza Mutiara Hotel. Mujur saya keluar awal di Seremban dan sampai sekitar jam 7.45 malam - sedang elok, sempat bermaghrib di hotel itu sebelum majlis. (Pengajaran : mungkin pada HSKU tahun akan datang, boleh buat di kawasan yang tidak sesak ataupun luar Kuala Lumpur).

Oleh sebab majlis bermula lewat, kesempatan itu digunakan oleh para tetamu untuk beramah mesra dengan teman-teman penulis - masa untuk bergambar dan saling bertukar-tukar maklumat - maklumlah, perhimpunan begini bukannya selalu ada.

Pun, para penulis yang menyertai HSKU harus berasa bertuah kerana setakat ini Kumpulan Utusan merupakan penganjur yang konsisten mengadakan hadiah sastera ini.

Ucapan perasmian sejurus selepas makan malam tambah memakan masa. Pada saya, isi ucapan tidak memberi sebarang makna kepada penulis. Apatah lagi, tetamu semuanya sudah resah kerana jam sudah menunjukkan jam 10.45 malam (majlis dijadualkan berakhir pada waktu ini mengikut buku atur cara) tetapi ucapan baru sahaja selesai.

Bagi menyempurnakan penyampaian hadiah bagi kategori selain novel, penganjur masih lagi meneruskan kerja tahun lepas - memanggil artis dan orang-orang seni untuk menyampaikan hadiah. Mereka termasuklah Senator Dato' Jins Shamsudin, Rubiah Suparman, Mustapha Maarof, Rahim Razali, Fauziah Nawi.

Orang yang sealiran dengan kami (penulis) ialah Raja Rajeswari Seetharaman - penyair yang boleh dikategorikan sebagai penyair muda menyampaikan hadiah kepada penulis yang lebih mapan. Apalah yang ada dalam fikiran pengajur, agaknya?

Dalam hal ini, saya tidak faham pendekatan penganjur. Hal yang sama juga pernah berlaku pada tahun lepas tetapi jumlah kelompok penulis yang menyampaikan hadiah lebih ramai. Antaranya, Pak Samad, S. Othman Kelantan dan Khadijah Hashim. Saya tak fikir para penulis berasa bangga menerima hadiah daripada artis.

Saya bukannya bermasalah dengan orang-orang seni daripada kumpulan lain. Tetapi, biarlah acara sastera diwarnai dan diserikan dengan orang-orang yang terlibat dalam genre ini. Pada hemat saya, ramai penulis yang akan lebih berbesar hati jika menerima hadiah daripada para sasterawan yang telah lama menempah nama. Tentunya saya akan berasa bangga jika menerima hadiah daripada SN Shahnon Ahmad, Pak Samad, Arena Wati ataupun Muhammad Haji Salleh berbanding menerimanya daripada Siti Nurhaliza (tanpa bermaksud untuk merendah-rendahkan Siti).

Tolonglah, ini majlis sastera.

Kalau bukan Sasterawan Negara yang menyampaikan hadiah, saya tetap berbangga menerima hadiah daripada sasterawan mapan seperti Zaharah Nawawi, Siti Zainon Ismail, Baha Zain, Arbak Othman, ataupun tokoh akademik dalam bidang sastera itu sendiri.

Setelah lebih 20 tahun, HSKU memartabatkan sastera Melayu, akhirnya malam tadi novel kategori bahasa Inggeris pula yang menjadi acara kemuncak - kategori yang terakhir menerima hadiah. Saya, Sri Rahayu dan Ummu Hani (gadis comel bersama kamera dalam gambar di bawah) berasa terkejut apabila diisyaratkan mengambil hadiah lebih awal untuk kategori Novel Remaja berbanding novel Inggeris.

Bukanlah saya ingin mengatakan bahawa pemenang Novel Remaja ini lebih hebat daripada mereka. Tetapi, mengikut tradisinya, penyampaian bagi hadiah Novel Remaja merupakan kategori yang dinanti-nantikan. Memang tidak akan ada apa-apa lagi selepas itu.

Benar-benar finale.

Sekali lagi, saya bukannya cemburu ataupun memandang serong kepada penulis kategori Inggeris. Itu rezeki mereka. Yang saya maksudkan di sini ialah keprihatinan penganjur terhadap duduk perkara sastera Melayu dalam majlis yang sebetulnya, meraikan siapa? Barangkali pemenang ataupun tetamu yang lain tidak terasa apa-apa. Maaflah, saya datang ke majlis tersebut bukanlah setakat untuk makan-makan, jumpa kawan-kawan dan bawa pulang hadiah. (Saya juga pernah datang untuk meraikan sahabat-sahabat penulis yang menang, walaupun pada tahun tersebut saya tak menang).

Setiap kali saya datang ke majlis-majlis sastera, saya mahu meraikan kesusasteraan Melayu itu sendiri yang telah diletakkan di tempat yang sewajarnya. Sayang sekali, majlis yang gilang gemilang itu tercalar dengan beberapa sikap tidak prihatin di kalangan pihak penganjur.

Tidak cukup dengan itu, setelah majlis penyampaian hadiah usai dan malam semakin larut, tiba-tiba muncul Siti Nurhaliza membuat persembahan (kalau tak silap saya, ada dalam 3 buah lagu yang dinyanyikan!)

Ertinya di sini, selepas Novel Remaja dinyahkan daripada menjadi acara kemuncak, Siti Nurhaliza pula mencuri segala tumpuan seolah-olah penulis-penulis ini benar-benar 'terliur' dengan persembahan serupa itu.

Jangan salah faham. Saya menggemari lagu-lagu Siti Nurhaliza terutama sekali lagu-lagu klasik dan berirama asli. Tetapi, kehadiran beliau ke majlis tersebut langsung menghapuskan kepentingan penulis dalam sesebuah majlis sastera. Seolah-olahnya, penyanyi dan artis itu jauh lebih bermakna daripada kelompok sasterawan.

Ramai yang tidak mengendahkan persembahan Siti, khususnya mantan peserta MPR yang sibuk bergambar. Pada saya, suara Siti itu harus menjadi latar kepada keriangan kami semua dapat berkumpul dalam majlis malam tadi. Jadi, kami biarkan dia menyanyi sedang kami mengukuhkan ukhwah sesama sahabat sastera.

Ya, kami pun terus-terusan bergambar, bertukar-tukar autograf dan menjalinkan ukhwah kerana kami tidak mahu suasana yang mencalar perasaan itu terus menguasai kami. Saya percaya kami semua akan terus menulis dan tidak akan memboikot HSKU yang akan datang. Namun, saya amat berharap catatan ini dapat diambil iktibarnya dan menerima teguran secara berlapang dada untuk kita sama-sama memartabatkan industri buku, khususnya buku sastera Melayu.

Oh, tidak dilupakan. Sayed Munawwar merupakan juruacara majlis yang sangat berkesan. Dia tidak terlalu menonjol (mencuri tumpuan majlis) tetapi, dia memastikan majlis berjalan dengan lancar, walaupun majlis tidak lagi menepati jadual.

Kepada bahagian pemasaran pula, jangan lupa meneruskan promosi buku-buku ini dan buku-buku Utusan yang lain juga. Buku-buku ini, walau berapa tinggi sekalipun nilai hadiah, tidak akan bermakna jika tidak dapat dibeli dari kedai-kedai buku.

** Insya-Allah, buku-buku HSKU 2007 dan pakej HSKU 2007 akan mula dimuatnaik di www.ujanailmu.com.my sekitar minggu hadapan. Nantikan! **

.
.
.

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
salam. saya tak berkesempatan hadir di majlis hsku itu. namun, membaca catatan kak nisah membuatkan saya turut merasai bagaimana keluhannya. moga-moga ia menjadi iktibar kepada pihak penganjur. apa pun, tahniah di atas kemenangan adik-beradik mpr semua. saya mahu menjadi yg terawal mendapatkan antologi kalian..
Tanpa Nama berkata…
Salam Kak Nisah,
rasanya begitulah yg terjadi bila seni itu ditakrifkan sebagai hiburan semata-mata, maka seni lain mcm sastera & lukisan tiada dalam hati/senarai mereka.
Lihat saja apa jadi pada hari seniman. Siapa yg terlalu dirai?
kemudian, wujudnya kategori sastera inggeris dalam HSKU. Kalau tgkkan, sastera melayu tiada tempat dalam star atau NST. tempatnya di Utusan dan BH saja. tapi bagaimana boleh jadi begitu gah di HSKU?
jawapannya tentu saja penganjur yg tiada hak bersuara dan diikat kaki tangan oleh penaja. lebih kurang ginilah, kalau kau nak kekal sebagai imej pemangkin sastera ulung dgn HSKU yng dah 23 tahu tu, kau kena korban sikit, letak sastera inggeris kat klimaks. lebih kurang gitulah adanya..
Jadi, tepuk dada tanyalah minda...

- Junior MPR yg tak menulis lagi -
Zaid Akhtar berkata…
Tradisi menjadikan artis sebagai penyampai (mulai tahun lepas) diteruskan? Saya dapat melihat ketidakselesaan teman-teman yang menerimanya daripada mereka tahun lalu.

Sastera adalah antara produk seni budaya paling tinggi. Jauh lebih tinggi berbanding bidang seni lain seperti lakon, menyanyi dan menari. (Saya ingat lagi kata-kata D.O. Muar semasa BPMJ di Muar bulan lalu). Tetapi masih ramai yg melihatnya serupa, atau mungkin lebih rendah.

Novel sastera Inggeris di finale? Ajaib juga tu. Yang di'sampingkan' pula di'utama'kan. Sinis sekali.
Tanpa Nama berkata…
Saya salah seorang daripada pembaca yang boleh dikatakan mengikut serba-sedikit perkembangan sastera tanah air agak terkejut apabila membaca tentang situasi dan suasana majlis tersebut.

Kalau saya berada di majlis itu, saya lebih gemar jika kumpulan kopratasa yang membuat persembahan mendendangkan lagu-lagu puisi.
Tanpa Nama berkata…
salam nisah, pertamanya TAHNIAH!!!!! atas kecemerlangan ini.

Hadiah Sastera Bahasa Melayu mendapat layanan buruk di negara sendiri... bagaimana kita nak harapkan orang lain menghormati sastera bahasa kita.
Tanpa Nama berkata…
sebab itu tahun lepas saya tidak berada lama di majlis HSKU ini. Lihat entri hsku saya.
Tanpa Nama berkata…
salam dan tahniah nisah.sdr nisah sekali lagi mencipta kecemerlangan dalam usaha murni nisah untuk memartabatkan sastera Melayu yang seolah-olah sayu dan layu.Tak apa,kuatkan semangat,cekalkan azam dan rapatkan tekad untuk meneruskan usaha murni itu.apalah ada pada HSKU yang tercalar seandainya kita berjaya jua akhirnya.Yang penting kita yang melakarkan perubahan dahulu bukan menunggu orang lain sebab kita mampu mengawalnya dan sanggup melakukan sesuatu..entahlah..walau apa-apapun TAHNIAH!!!!
Sdr Nisah,

Belum pernah pula rasanya orang sastera dijemput menyampaikan hadiah pada majlis artis
Tanpa Nama berkata…
Benar sekali...secara peribadi, saya lebih suka terima hadiah daripada editor atau penyelenggara HSKU (macam puan azah ke...) berbanding daripada artis yang berpangkat tan sri, dato' mahupun datin

bukan mahu rendah-rendahkan kehadiran VIP malam itu, tapi dari segi keberkesanan di hati, saya jika menerima daripada orang-orang seni penulisan berbanding seni lakonan/perfileman.

berbanding tahun lepas, saya menerima daripada tangan puan khadijah hashim. sungguh sampai kini manisnya berbekas. berbanding tahun ini saya terima daripada dato' rahim razali, manisnya tak sama
Ah, kecilnya dunia sastera kita.

Apapun tahniah, kak Nisah.
Tanpa Nama berkata…
nisah, tahniah d atas kemenangan terkini. membaca tulisanmu. Memang, kebanyakan rakyat malaysia sukakan artis malah memuja golongan itu. agaknya penganjur berfikir yg penulis2 juga seperti kebanyakan rakyat malaysia yang kepingin sgt mendekati artis. Salam.
Unknown berkata…
Salaam
Mabruk atas kemenangan.
Sememangnya artis seperti penyanyi lebih mulia buat ramai orang di Malaysia. Penulis pula sekadar pelakun tambahan di majlis seumpama hadiah sastera ini.
Walau apapun, usaha berterusan dari penggiat adalah sesuatu yang patut diberi sokongan dan bantuan, kalau tidak pengiktirafan sewajarnya.
Semuga diberkati Allah SWT.

Fudzail
Dubai, UAE
Nisah Haji Haron berkata…
Terima kasih semua atas komen. Saya fikir saya tak perlu jawab setiap satu kerana setiap komen mempunyai makna yang dalam lagi tersendiri.

Paling penting, perjuangan itu perlu kita semua teruskan!

Catatan Popular