AAC lawan TTD

Rumah saya betul-betul bersebelahan dengan surau di kawasan kejiranan kami. Abah saya, sebagai warga emas yang telah bersara menjadi muazzin tidak rasmi di surau itu. Malah Abah antara orang kuat surau dalam mengimarahkan tempat itu.

Hampir setiap malam ada ceramah agama yang bertukar-tukar topik. Pada sebelah pagi hari Jumaat, Sabtu dan Ahad pula ada kuliah subuh. Biasanya, pihak surau akan menguatkan pembesar suara supaya kuliah subuh itu turut dapat dinikmati mereka yang tidak dapat ke surau. Pendek kata, memang jarang sekali dapat tidur semula selepas Subuh pada hari Sabtu atau Ahad. Pun, banyak faedahnya.

Suatu hari, Abah bertanya kepada saya sama ada Ujana Ilmu ada menjual novel Ayat-ayat Cinta. Saya kata, "Ada. Kenapa?"

Abah menjawab, ada seorang ustaz yang memberi kuliah itu menyarankan supaya novel itu baca. Novel itu sangat bagus, malah ada seorang anak gadis yang calar moralnya juga memakai tudung @ insaf, selepas membaca novel tersebut. Lalu, jemaah yang mendengar testimoni ustaz itu pun lekas-lekas mahu mencari Ayat-ayat Cinta.

Secara tidak langsung, Abah kini jadi semacam 'agen' penjual buku-buku Habiburrahman Al-Syirazy di surau itu.

Saya tidak mahu komen banyak tentang AAC kepada abah. Jadi, saya biarkan dia membaca dulu. Kebetulan saya ada AAC versi Indonesia. Abah pun mengambil novel itu dari perpustakaan saya, lalu dia menekuni.

Usai membaca beberapa hari kemudian, saya bertanya apa komennya.

"Bagus, novelnya."

"Kalau Abah boleh terima Ayat-ayat Cinta, ada satu novel lagi yang jauh lebih baik."

"Novel siapa?"

"Cuba baca Tunggu Teduh Dulu. Novel Faisal," kata saya sambil menghulurkan senaskhah TTD milik saya yang telah saya miliki beberapa tahun dulu.

"Tebalnya!"

"Jangan risau tentang tebalnya tu. Ceritanya pantas dan mudah menghabiskannya."

Dipendekkan cerita, Abah terima cabaran saya dalam membuat perbandingan novel mana yang lebih baik: AAC ataupun TTD.

Saya lihat Abah menguliti TTD siang malam. Lepas baca Quran sebelah pagi, tengah hari, selepas pulang dari solat Asar di surau dan juga lepas selepas baca Quran setelah makan malam. Saya fikir tak sampai seminggu, Abah telah menyelesaikan TTD.

Katanya, dia puas membacanya. Dan paling seronok, katanya, benarlah TTD jauh lebih baik dari AAC.

Hah! Bukankah saya sudah katakan dulu. Sayangnya, TTD mempunyai edaran yang terhad. Hanya dijual secara online dan ketika itu hanya Ujana Ilmu yang menjualnya.

Alhamdulillah, kini TTD sudah pun bertukar penerbit. Dengan penerbitan Al-Ameen, TTD akan masuk ke kedai-kedai buku utama. TTD akan menemui pembacanya yang agak skeptikal tentang pembelian buku secara online. (Malah, ada pembaca yang ingin membaca TTD tetapi langsung tak berani hendak mencuba pembelian online - lalu menunggulah dia selama 4 tahun. Sedangkan orang lain sudah lama menikmati novel ini.)

Seperti biasa, TTD versi baru juga dijual secara online di Ujana Ilmu. Dapatkan dengan segera.

Komen saya terhadap TTD versi baru : tiada perubahan kepada susun atur teks. Bukunya secara fizikal lebih nipis tetapi jumlah halaman tetap sama. Harga jauh lebih murah. Tetapi novel terasa berat - disebabkan faktor kertas.

Kulit hadapannya diharapkan dapat menarik perhatian pembaca yang tidak pernah kenal Faisal Tehrani. Bagi yang pernah membaca TTD sebelum ini, kulitnya terasa sedikit mengganggu. Tetapi kita baca isinya, bukan kulitnya.

Oleh itu, kepada yang belum memiliki TTD versi baru. Silalah dapatkan dari www.ujanailmu.com.my hari ini!
.
.

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
Assalamualaikum

Saya sedikit terkejut dengan kulit depan TTD yang kurang 'mengubat' minda..

Pasti ada cara untuk menarik perhatian dengan kulit depan TTD...

buku PTS juga banyak yang terjual, dengan tidak memapar kulit depan yang 'kurang sihat'...

peminat karya Nisah Haron, FT dan banyak lagi...
Zaid Akhtar berkata…
Salam.
Ya, saya setuju dgn Tuan Hj. Haron.
TTD, bagi saya antara novel terbaik FT yang saya gemari selain Tuhan Manusia dan 1511H (Kombat).

Bahasanya halus. Melankolik dan membuai. Namun sendat dgn pemikiran, selain plotnya mantap dan lancar bergerak berpaksikan tauhid. Ditambah mendapat sentuhan suntingan yang sangat hebat oleh editor tersohor negara.

Kita sepatutnya turut berbangga kerana penulis tanah air kita ada yang setanding atau mungkin lebih baik drpd penulis luar. Inilah novel "Buatan Malaysia" yang wajar menjadi fenomena.
mnr berkata…
Kak Nisah,
Saya mula mengenali FT melalui novel bersiri TTD yang disiarkan di Utusan Malaysia..

Bila saya dapat tahu yang novel bersiri TTD telah dibukukan, saya terus mencari..Alhamdulillah, kawan saya mengenali Kak Nisah dan saya terus hantar SMS minta Kak Nisah bawa novel TTD ke UIA..

Perkataan pertama yang Kak Nisah tanya waktu tu,
"Awak peminat Faisal ke?"
Waktu tu saya cuma tersenyum..sebab saya tak begitu mengenali karya-karya FT..

Tapi, sekarang, saya memang meminati karya beliau..terima kasih Kak Nisah sebab sudi membawa novel TTD yang dipesan ke UIA waktu itu..
Tanpa Nama berkata…
salam, membaca AAC & TTD memberi kepuasan yang berbeza. AAC lebih 'berbau' indonesia. Sementara TTD lebih 'berbau' Malaysia & sebagai pembaca M'sia akan lebih 'click' dan rapat dengan latar TTD dan kepuasannya lebih ummph.
Puan,saya adalah antara orang yang degil, yang mahu mencari TTD di kedai buku. Kali pertama mengenali TTD di Utusan Malaysia, saya jatuh cinta tetapi tidak dapat membacanya dengan tekun kerana seringkali ketinggalan. Namun saya tidak lepaskan peluang untuk mengumpul siri yang sempat saya kejar. Dalam masa yang sama saya berdoa moga siri ini di bukukan.

Saya cuba mencari di kedai buku biarpun tahu membeli secara talian tidaklah sesukar mana. Setelah berputus asa keluar masuk kedai, akhirnya saya mengalah. Malah, membeli melalui Ujana Ilmu cukup memuaskan hati saya yang cerewet tentang buku - takut-takut ia sampai ke tangan dalam keadaan yang kurang sempurna. Saya amat berpuas hati dengan proses penghantarannya yang begitu cermat dan selamat. Selepas itu saya tidak ragu-ragu mengunjungi Ujana jika ingin memesan mana-mana buku yang saya inginkan. Tahniah!

:-)
Tg.A berkata…
sy meminati FT selepas membaca kombat dan selepas itu terus sahaja membaca novel2nya lain.

cuma, saya teringat pada seorang teman di UIA dulu bila tahu yang saya peminat FT:

"FT tu bukan syiah ke? boleh ke baca buku2 dia?"

Dan saya hanya ketawa. Tak tahulah kalau-kalau UIA dah banned FT di UIA.
Fatih Najwa berkata…
AAC saya lihat lebih sebagai novel popular yang Islami. Itulah kenapa disukai ramai. Belum baca TTD, belum boleh bandingkan.

Ah, banyaknya buku yang ingin saya baca.
m.q berkata…
sy seorg penggemar buku
TTD karya FT lebih bremosi dn kemas
jln cerita seolh2 menarik kita bersama2..bagaikan pembaca itu sendiri adlh tokoh Salsabila Fahim

AAC jga bagus
tp olahannya agk kurang, namun masih menarik
sehinnga mampu mbuat semua rakan2 sy berdoa agar diberi teman sehidup semati spt tokoh fahri..
:)

p/s: tq krn sudi otograf buku utk sy. sy pmnt annyss sophillea
Unknown berkata…
Salam,

Saya mungkin bias, tetapi saya menganggap TTD lebih baik dari AAC.

AAC seperti kisah dongeng yang disulam dengan sumber agama.

TTD telah mengangkat seorang wanita sebagai tokoh yang hebat. Wanita yang kekal dengan ciri kewanitaan tetapi tabah menghadapi cabaran dan dan halangan hidup.

AAC pula mengangkat ego lelaki dan mencipta watak seorang lelaki yang seakan turun dari kayangan.
Unknown berkata…
Hahahaha ... Narsis banget ... puji diri sendiri ...

Lebih baik serahkan penilaian baik buruknya kepada masyarakat .. lebih fair dan dapat dipercaya ...

Kapan novel-nover anda dipasarkan di Jakarta ?
Nita berkata…
Salam,
Bagi saya TTD lebih baik olahannya berbanding dengan AAC. Banyak pengajaran yang terkandung didalamnya...
Jie berkata…
Saya telah baca AAC dan skrg sedang menunggu TTD, rindunya menunggu abang posmen
Tanpa Nama berkata…
Salam

Jos,

Orang seberang bangga dengan kerja anak tempatannya, lebih mengutamakan seni orang-orangnya,

maka tidak salah kami orang seberang sini berbangga dengan seni anak tempatan kami.

Kamu puji diri sendiri, maka salah pula kami puji diri sendiri?
Tanpa Nama berkata…
Alhamdulillah, saya pun sudah khatam novel abg Faisal Tehrani Tunggu Teduh Dulu, agak tebal tapi seronok. Tak rugi mendiamkan diri menghabiskan.

Catatan Popular