Pak Tenas dan ungkapan yang tertinggal
Sebagai orang Melayu, saya amat mengagumi Tenas Effendy ataupun lebih mesra dengan panggilan Pak Tenas. Dia pengkaji ungkapan-ungkapan Melayu yang tidak pernah jemu. Jika ditanya sudah berapa lama beliau mengkaji, katanya, "Baru 40 tahun lebih."
Kalau ditanya lagi, sudah berapa ribu ungkapan Melayu yang ditemui?
"Baru, empat ratus ribu. Ada banyak lagi yang belum diungkap."
Saya sudah lama mengakrabi himpunan tulisan Pak Tenas. Antaranya, Ungkapan Tradisional Melayu Riau, Pemimpin Dalam Ungkapan Melayu dan yang menjadi kegemaran ialah Tunjuk Ajar Melayu.
Menurut Pak Tenas, banyak ungkapan Melayu yang hanya diambil sekerat-sekerat sehingga menghilangkan makna asal.
Sebagai contoh :
Kalau kail panjang sejengkal
Janganlah laut hendak diduga
Kalau kecil kurang berbekal
Jangan disebut hendak berjaya.
ataupun,
Di mana bumi dipijak
Di sana langit dijunjung
Di mana kaki tegak
Di sana adat disanjung
Ada satu lagi yang ingin saya kongsi dengan pembaca, iaitu tentang ungkapan yang tidak lengkap ataupun hanya diambil sekerat-sekerat oleh kita hari ini - "Yang secupak takkan jadi segantang".
Ungkapan ini lazimnya dipakai oelh orang-orang yang bergelimang di bidang usaha ataupun perniagaan, atau di dalam perbincangan menyangkut rezeki. Maknanya dikaitkan dengan rezeki yang sudah terhad, sehingga tidak boleh berlebih.
Pemahaman makna ungkapan seperti ini dapat menimbulkan kesan, bahwa berusaha tidaklah perlu sangat, kerana sesuatu sudah ada sukatannya. Akibatnya, banyaklah orang yang menganggap orang Melayu tidak mengutamakan bekerja keras, kurang tekun membanting tulang, yang akhirnya menimbulkan kesan seakan-akan orang Melayu "pemalas" dan "berserah kepada nasib" tanpa mementingkan usaha. Kalau ada rezeki ia akan dapat, bila tidak cukuplah apa yang ada saja.
Tetapi bila disemak ungkapan ini secara menyeluruh, maka anggapan itu ternyata keliru. Sikap "berserah diri" itu boleh diambil apabila segala daya upaya sudah dijalankan. Hal ini dapat disemak dari ungkapan selengkapnya yang berbunyi :
Adat hidup ornag beriman
Daya upaya ia jalankan
Ke laut ke darat tiada segan
Ke hulu ke hilir tiada enggan
Ilmu ditimba sepanjang masa
Bekal hidup di atas dunia
Bekal mati pada ujungnya
Bekal tak sudah berkira-kira
Bekal terwujud sehabis daya
Rezeki dicari sebilang hari
Penat letih tiada peduli
Jauh dekat sama dihampiri
Mencapai maruah dan tuah diri
Mencapai niat berbuah budi
Mencapai maksud sebulat hati
Apabila ikhtiar sudah cukup
Yang usaha sudah habis
Yang mujur tak dapat diraih
Yang malang tak dapat ditolak
Yang nasib sudah bertentu
Yang takdir sudah tersurat
Yang suratan sudah berlaku
Yang daya sampai hadnya
Yang upaya sampai batasnya
Yang ikhtiar sampai pucuknya
Maka yang sepompat takkan jadi se kal
Maka yang se kal takkan jadi se cupak
Maka yang se cupak takkan jadi se gantang
Maka yang sejengkal takkan jadi sehasti
Maka yang sehasta takkan jadi sedepa.
Yang sukatan sudah dipepas
Yang timbangan sudah bertentu
Yang rezeki sudah berbagi
Di situ iman diperteguhkan
Di situ dada dilapangkan
Di situ akal dipanjangkan
Di situ hati dipukalkan
Di situ diri direnungkan
Di situ berserah kepada Tuhan.
Ah, terlalu banyak sekali yang harus kita gali kembali. Anak-anak muda hari ini juga sudah tidak lagi akrab dengan alam, sedangkan orang Melayu memang cukup akrab dengan alam. Sebab itu apabila kita banyak menempuh experience - kita namakan sebagai pengalaman. Kata dasar alam itu, mempunyai makna yang sangat dalam.
Langsung saya teringat kata-kata adik saya. Katanya, seorang daripada kawan sekuliahnya memang tidak pernah masuk kampung. Kawannya itu tidak pernah melihat ayam hidup secara live. Yang dia tahu cuma ayam yang dibeli dari pasar raya sahaja.
Bayangkan, itu belum lagi tempurung bermata tiga. Pernah lihat? Anak yang tak pernah tengok kelapa, apatah lagi tempurung kerana santan yang digunakan hari ini ialah santan di dalam kotak!
Pak Tenas juga sempat menyentuh tentang pakaian cara Melayu dan falsafah kepada pemakaian Melayu. Saya pernah tulis tentang falsafah memakai kain batik dalam entri terdahulu. Kalau memakai kain batik, kepala kain mahu dipusingkan ke arah mana? Sama ada anak dara, isteri orang, ataupun janda. Jadi mudah untuk mengenalpasti status seseorang itu hanya dengan memerhati cara pemakaian kain batiknya sahaja. Tak perlulah nak tanya - "ini cik ke
Kali ini ditambah lagi, untuk yang memakai samping juga. Bagi orang bujang, kain sampingnya di atas lutut, sudah berkahwin menutup lutut, datuk-datuk pula sepelempap di bawah lutut, alim ulama' pula 2 pelempap di bawah lutut.
Indah sekali falsafah Melayu hanya pada pemakaiannya sahaja. Inilah yang semakin hilang dalam budaya hari ini. Bukan sahaja kepada makna pemakaian, tetapi secara pakaian fizikal ini juga sudah semakin terhakis.
.
.
Ulasan
(fahdrazy)
Saya suka amat buku Ungkapan Melayu Riau tu.Saya juga suka buku-buku pantun.Anak murid saya rata-rata hanya baca bukuilmiah(bukan baca pun;tgk literature review) bila nak buat tugasan.Buku cerita eg novel dan antologi cerpen tak pernah nak belek.Antologi puisi jauh sekali.Buku Pak Tenas?Apa tuuu?
'Bagi orang bujang, kain sampingnya di atas lutut, sudah berkahwin menutup lutut, datuk-datuk pula sepelempap di bawah lutut, alim ulama' pula 2 pelempap di bawah lutut.'
Baru saya perasan...hehehe...