Umbara Sastera 2
Dari kiri : Amiza Khusyri, Rabiatul, Kak Halela, Atiqah, Nisah, Sharifah Salha, Nursyakirin & Fahd Razy.
Setelah sekian lama merancang, alhamdulillah, Umbara Sastera 2 dapat berlangsung dalam keadaan serba sederhana tetapi penuh makna. Lebih satu jam, peserta dan khalayak dapat mendengar dan berkongsi pandangan dengan panel yang didatangkan khas untuk program ini.
Terima kasih sekalung budi kepada Raihani Mohd Saaid, Adibah Abdullah, Amiza Khusyri, Salina Ibrahim dan Fahd Razy. Kecuali, Amiza Khusyri, yang lain semuanya datang dari luar Negeri Sembilan, sanggup pula meredah hujan pagi yang penuh rahmat di Bandar Senawang.
Fahd Razy berkongsi kisah penulisannya yang bermula sejak dari Tingkatan 2 dan beliau sebenarnya bermula dengan menulis cerpen. Fahd kini lebih menonjol sebagai penyair muda kerana didikan sewaktu Minggu Penulis Remaja banyak membentuk dirinya sebagai penyair. Kredit diberikan kepada Shamsudin Othman yang merupakan guru di sekolahnya dan juga mentornya. Tidak kurang menarik, Fahd percaya bahawa antara rakan-rakan sekuliahnya yang bakal menjadi doktor, dia mahu menjadi seseorang yang lebih daripada itu - dia mahu jadi doktor yang juga boleh menulis.
Salina Ibrahim bercerita bahawa sebagai anak perempuan tunggal daripada 4 orang adik beradik, beliau banyak berterima kasih kepada sekolah menengah tempat dia belajar (Sekolah Raja Perempuan Taayah) yang sedikit sebanyak membentuk budaya membaca. Daripada pembacaan dan disiplin kerjaya yang dimiliki hari ini beliau dapat menjadi penulis yang prolifik, khususnya novel dan cerpen. Salina juga sempat berkongsi proses kreatif sebuah cerpennya yang berjudul Memaknakan Cinta.
Raihani Mohd Saaid (gambar di atas) berkongsi 2 perkara : pengalaman sebagai anak seorang penulis dan juga pengalaman melatih bakal guru Bahasa Melayu dan guru Sastera. Sebagai puteri sulung kepada penyair Zurinah Hassan, ramai yang prejudis terhadap karya beliau. Tidak kurang juga tohmahan bahawa karya Raihani ialah karya Zurinah Hassan sebenarnya. Tohmahan inilah yang harus ditangkis oleh penulis-penulis lain yang juga berada dalam situasi seperti Raihani - Hizairi (Othman Puteh); Shazmee Rizal Agus Salim (Mahaya Mohd Yassin), S.M. Zakir (S. Othman Kelantan) - sekadar menyebut beberapa nama. Menurut Raihani, daripada ibunya sibuk menulis untuknya, lebih baiklah Zurinah Hassan menulis karya-karya sendiri dan terus mengekalkan namanya sendiri di persada puisi tanah air.
Raihani juga menyatakan kebimbangannya terhadap bakal-bakal guru yang kurang maklumat dan kurang membaca karya-karya sastera hinggakan banyak perkara asas dalam penulisan juga tidak dapat dijawab dengan baik. Contoh soalan popular Raihani : Di antara berikut, yang manakah pengarang wanita?
a) Arena Wati b) Ria Asmira c) Kemala d) Nora
Ini juga soalan favourite sewaktu MPR!
Adibah Abdullah (gambar di atas) - pelajar perubatan tahun 2 di University of Manchester kini sedang bercuti musim panas (seperti juga Fahd Razy) sanggup datang dari Kuala Krai, Kelantan untuk menyertai Umbara Sastera. Penggemar karya-karya Abdullah Hussain, Faisal Tehrani dan Stephen King ini bercerita bahawa dia mendapatkan desakan idea untuk menulis daripada satu-satu emosi. Untuk itu, dia harus duduk 5 - 6 jam untuk menyelesaikan cerpennya. Jika dia beralih, emosi itu juga akan terganggu dan dia tidak boleh menyiapkan cerpennya kerana emosi yang sudah diganggu.
Amiza Khusyri Yusof seperti biasa dengan rasa rendah diri bercerita tentang pengalamannya berada di Mesir sebagai pemangkin kepada penulisannya yang bermula di KUSZA. Beliau juga antara 'orang kuat' Adabuna - perkumpulan penulis muda seperti Grup Karyawan Luar Negara (GKLN) - nama-nama seperti Nazmi Yaakub dan Zaid Akhtar juga pernah menjadi 'orang kuat' dalam Adabuna.
Seperti GKLN, Adabuna juga menggunakan pendekatan menawan media ataupun "Jom Gempur Media" seperti seruan Fahd Razy dan rakan-rakannya di dalam GKLN. Apabila nama sudah kukuh, barulah mereka pun memilih media dan karya terbaik untuk diterbitkan serta menulis dengan penuh kesedaran.
Majlis berlangsung dengan lancar. Banyak soalan yang mahu dikemukakan tetapi masa begitu terhad. Paling menarik, guru-guru penulis-penulis ini turut hadir meraikan anak-anak didik mereka, seperti Puan Azizah (guru kepada Fahd Razy dan Adibah Abdullah sewaktu mereka di Kolej Mara Banting); Puan Aida Rahayu (guru kepada Amiza Khusyri sewaktu di SMA Dato' Klana Petra, Seremban). Tentunya, sebagai guru mereka berbangga dengan kejayaan anak-anak didik mereka.
Oh ya, harus saya nyatakan di sini, bahawa selain daripada penyertaan Fahd Razy dari Dublin dan Adibah Abdullah dari Manchester, PEN turut berbangga menerima kunjungan daripada Puan Halela dari Okinawa (yang kebetulan berada di Malaysia dan Singapura sekitar 2 bulan kebelakangan ini).
Laporan tentang Bengkel Asas Penulisan Cerpen boleh dibaca di Laman Rasmi PEN (sedikit masa lagi).
Ulasan
Memang sudah bertahun niat hati ini ingin bertemu dgn Pn Nisah Hj haron, memang sudah bertahun niat hati ini ingin belajar cara menulis dan dalam satu hari itu, niat2 saya dikabulkan Allah.
Rabu Julai 16, saya sampai Kancong, Rantau, terdengar suara Nisah di Radio FM Negeri Sembilan. Lalu Julai 19, sabtu, kita bertemu.
Alangkah indahnya pemberian ini.
Alhamdulillah.