Segalanya Online

I

Saya telah mendapatkan rebat minyak yang dijanjikan daripada Pos Malaysia, tanpa perlu pergi ke pejabat pos. Saya tak perlu isi borang yang diambil di kaunter. Saya juga tidak perlu bersesak-sesak di sana.

Segalanya selesai dengan cara online. Dua hari selepas itu, wang saya telah pun dipindahkan ke akaun yang saya berikan. Tahu-tahu sahaja, duit dalam akaun telah pun bertambah apabila disemak.


II

Saya membuat segala urusan membayar bil, ansuran kereta, dan segala bentuk pemindahan wang tanpa perlu meninggalkan kamar kerja. Saya tak perlu keluar duit lebih untuk minyak kereta, bersesak-sesak di jalan raya - yang boleh mengambil masa saya.

Segalanya online. Di hujung jari. Sangat menjimatkan masa.

Saya juga lebih selesa jika bayaran untuk tugas-tugas saya juga dikreditkan terus ke dalam akaun. Dengan cara itu, saya tidak perlu ke bank untuk masukkan cek dan kemudian harus menunggu.

Bukankah, sekarang ini zaman segalanya online.


III

Saya beli buku yang dikehendaki juga melalui laman web yang disediakan. Pesan, bayar dan tunggu kedatangannya.

Pergi ke kedai buku hanyalah untuk browsing dan kalau ada masa lebih. Di laman web juga boleh browsing. Tetapi, ke kedai buku hanya untuk browsing untuk melihat-lihat kandungan buku dan cara setting buku. Kalau sudah kenal pasti apa buku yang dikehendaki, saya tak perlu membelinya dari kedai secara fizikal. Apabila dikehendaki, saya tetap boleh memesannya secara online dan transaksi selesai dalam beberapa minit (dan dapat mengelakkan diri daripada 'terbeli' buku-buku lain, jika saya berada di dalam kedai buku).


IV

Apabila datang pertanyaan di Ujana Ilmu seperti ini :

Saya ingin membeli buku berjudul XYZ. Di kedai mana saya boleh dapati buku tersebut.
Jawapan kami pula :
Assalamualaikum Sdr A,

Buku itu mungkin ada di kedai buku yang besar, tetapi kami tidak pasti yang
mana, tetapi jika sdr mahu membeli terus dengan kami, sila ikut arahan
seperti berikut.

Caranya amat mudah.
1. pergi laman buku yang dikehendaki.
2. click "Beli Buku Ini"
3. sila ikut arahan skrin
4. jika nak tambah buku dalam cart - "continue shopping"
5. jika dah habis pilih buku - "checkout"
6. isi semua details termasuk negeri.
7. pilih cara pembayaran -kad credit, wang pos, bank/online transfer
8. confirm.

sdr akan menerima e-mel lanjut berkenaan cara membuat pembayaran
berdasarkan cara pembayaran yang sdr pilih.

selamat mencuba.

salam ikhlas
shukri
ujanailmu.com.my
Lalu dibalas oleh Encik A :

Saya ingin terus beli buku tersebut dengan bayaran cash dan mengambil bukunya dimana-mana sahaja buku ini dijual.

Jadi, kami pun hanya boleh mengucapkan "selamat berjaya" kepada Encik A kerana masih lagi ingin bersusah payah mendapatkan buku yang dicarikan. Kalau mahu beli secara tunai daripada kami juga boleh tetapi tentu sahaja tidak berbaloi kerana harus datang (duit minyak lagi, walaupun sudah turun 15 sen), mencari tempat kami dan halangan-halangan lain. Sebab itu, kami cadangkan supaya beli secara online sahaja.

Satu perkara lain yang menjadikan pelanggan keliru tentang pembelian online ialah, sebagai kedai buku maya, kami menyimpan stok untuk kami sahaja. Bagaimanalah kami tahu apa yang disimpan di kedai orang lain.

Adakalanya, kami dapat e-mel bertanyakan sama ada buku yang dicarinya ada ataupun tidak di kedai-kedai di pekan Arau, ataupun Alor Star. Macam mana pula kami dapat mengakses stok kedai lain sejauh itu?

Kalau ada yang mahu beli dari kami, kami boleh sahkan stok dan pesan terus. Nantikan sahaja kehadiran buku yang dipesan.

Segalanya online!
.
.

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
Salam.

Walaupun kita kini di zaman teknologi yang rancak berkembang, tidak semua orang "IT-savvy", puan. Masih ramai yang 'sukakan' cara konvensional. Sama ada mereka itu sebenarnya kurang mempercayai sistem online, ataupun kurang/tidak mahir menggunakan kemudahan online, ataupun entah apa-apa sebab lain yang tidak dapat dipastikan.

Kelakarnya apabila ada pula yang bertanyakan Ujana Ilmu tentang stok buku di kedai lain. Apakah mereka tidak perasan yang Ujana Ilmu ialah sebuah kedai buku juga? Macam-macam orang ada di dunia ni...
Zaid Akhtar berkata…
Ramai yg lebih percaya berita online (baca: blog & laman-laman berita alternatif) berbanding media cetak khususnya berkaitan politik, tetapi nampaknya masih ramai yang masih takut2 dengan belian online.
rozais al-anamy berkata…
Salam Nis,
Mereka yang bertanyakan stok buku kedai lain kepada awak itu kerana mereka 'thiqah' akan sumber maklumat yang awak ada, sepertimana ingin merujuk blogger lain dari blog awak. Anggap sahajalah begitu.. kalau tak nanti boleh naik sawan melayan kerenah manusia sebegitu. Itupun kira nasib baik.. kalau ditanya stok buku di luar negara, macamana? Hehe
Tanpa Nama berkata…
beli nasi dalam mangkuk tingkat pun ada yang dah online sekarang :)

Catatan Popular