Sekitar Diskusi Karya Mantan MPR
Saya kagum dengan usaha adik-adik (junior) mantan peserta MPR yang bertungkus-lumus bagi menjayakan diskusi kali ini. Tahniah kepada Nasriah dan kawan-kawan. Walaupun mereka bekerja keras sesama mereka, kami yang senior ini tetap tidak dilupakan. Banyak kali juga mereka merujuk dan bertanya itu dan ini. Alhamdulillah, moga-moga tradisi begini dapat diteruskan.
Pagi itu, majlis dimulakan dengan ucapan daripada Salina Ibrahim selaku wakil kepada mantan MPR dan diikuti oleh ucapan daripada Ketua Bahagian Sastera, Puan Hajah Zalila Sharif. Seterusnya, ada pertunjukan slaid mantan-mantan MPR. Banyak kenangan lama yang terusik kala itu.
Untuk sesi pertama, seperti yang dijadualkan pembentangan dimulakan dengan Dr. Faridah Jalil dari Fakulti Undang-undang UKM. Nama beliau saya cadangkan kepada pihak pengajur kerana minat dan kecenderungan untuk mengkaji hal-hal sastera & undang-undang. Minat membaca yang amat sebati dalam dirinya memungkinkan beliau menyudahkan pembacaan novel saya dan sekaligus melihat novel Puisi Untuk Esdyzuar dari kaca mata seorang pendidik undang-undang.
Malah, sebagai senior di Fakulti Undang-undang (Batch Pertama), beliau juga mengenali saya sejak saya berada di peringkat matrikulasi lagi. Beliau juga mengikuti perkembangan pengkaryaan saya. Saya juga melihat minat membaca tumbuh meliar dalam diri keluarganya juga.
Berikut petikan daripada kertas kerja beliau :
"Pertikaian yang berlaku dalam beberapa keadaan memerlukan penyelesaian di luar kerangka undang-undang atau pelanggaran kepada amalan perundangan. Proses undang-undang hanya bersifat mengaburi mata. Sidang mahkamah diadili oleh hakim (Arlandis) yang forumnya untuk mendapatkan natijah yang tertentu. Penyelesaian secara diplomatik dan perundingan adakalanya lebih berbaloi dan bermakna, terutamanya apabila ia membabitkan sentimen kebangsaan,
Diperlihatkan juga agen undang-undang diguna untuk tujuan tertentu, Zareth misalnya, Pendakwa Negara berperanan untuk membebaskan Esdyzuar tetapi mempunyai agenda tersendiri dalam menjayakan misi menakluk Cenma Detara.
Proses undang-undang untuk membuktikan kebenaran juga terlindung apabila tanggapan bahawa seorang itu adalah bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya lebih utuh berbanding prinsip seseorang adalah tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya. Esdyzuar terpaksa hidup dibayangi dengan anggapan bersalah ketika di Cenma Detara, tapi tiada beza jika dia berada di Cosmo."
Turut hadir, wakil daripada penerbit - Al-Ameen Serve Holdings, Puan Semiah dan Sdr Jonos (gambar di atas) serta tidak ketinggalan jualan buku oleh Ujana Ilmu dan "kedai buku Ummu Hani" yang memeriahkan suasana.
Kehadiran juga amat memuaskan. Selain daripada mantan-mantan yang hadir, majlis turut menerima ramai peminat sastera khususnya di kalangan mahasiswa/i universiti. Kemungkinan panel pembentang 'mengarahkan' pelajar untuk hadir. Pun, kehadiran mereka amat menghangatkan suasana.
Pelancaran Antologi Kacak Jelita pula disempurnakan oleh Kak Anis atau Dr. Amida Abdulhamid yang diundang khusus untuk tujuan ini - lihat gambar di atas: Kak Anis dibantu oleh Ummu Hani (kiri) dan Nasriah Abdul Salam.
Terima kasih kepada semua yang hadir dan tahniah kepada penganjur. Semoga akan ada acara susulan selepas ini.
Ulasan
Tahniah buat semua yang terlibat. Saya berharap ahli MPR akan terus bergiat cergas dan berkembang dengan baik.S elamat berkarya.
Sdri Nisah,
Dalam antara gambar tersebut, ada gambar Kak Anis di bantu? Adakah beliau uzur?
Kak Anis pensyarah saya di Media UM.
MA
Insya-Allah, dengan adanya pertemuan-pertemuan begini mereka akan terus berkarya. Biasanya seorang penulis perlu berada dalam persekitaran yang menggalakkan mereka menulis!
Sdr MA,
Kak Anis sedang menggunting riben pelancaran buku dalam gambar tu. Ummu Hani dan Nasriah sedang pegang dulang dan pegangkan buku, bukan pegang Kak Anis. Alhamdulillah, setakat ini Kak Anis nampak OK dan tidak perlu dibantu jika berjalan. Terima kasih kerana sdr sangat prihatin.
Sdri Nisah,
Terima kasih atas respon. Agak lama tak mendengar perkembangan Kak Anis sejak saya pindah Ganu tiga tahun lepas. Sebelum itu, saya menjadi tutor di Media UM dan sempat dua tahun di DBP. Ketika itu, sering bersama-sama Kak Anis; sama ada terserempak atau beraktiviti. Dan Beliau jarang-jarang kedengaran tidak sihat. Itu yang saya 'terkejut' sebab gambar yang dipaparkan nampak macam Kak Anis dipimpin.
apa-apa pun, terima kasih banyak atas makluman. Teruskan berkarya.
Lama juga saya tidak melayari blog ini. Sudah ada perubahan sedikit dari tatariasnya. Bagus. Perubahan yang positif. Buku Kak Nisah yang baru tentang Hak Cipta (maaflah saya lupa tajuknya yang tepat) sudah saya tatap sepintas lalu di MPH Bookstore. Bagus bukunya untuk bacaan umum. Seharusnya karya sebegitu berada di pasaran untuk perkongsian ilmu bersama - mudah difahami kandungannya, interaktif dengan ilustrasi. Semoga terus berkarya dan dipermudahkan segalanya...Insha-Allah..