Tawarikh Cinta - Sastera Sejarah Yang Baharu?
"Novel Tawarikh Cinta ini seperti yang diuar-uarkan oleh pengarang dalam "Nazam Permulaan" adalah untuk mengajak pembacanya tidak mengira usia untuk berfikir di sebalik pencarian ala-ala detektif dan cerita pengembaraan untuk mencari sebuah kitab yang diberi nama Kitab Gemala Sakti.
Sebagai seorang pengarang yang sudah mapan, 20 tahun dalam dunia karang-mengarang, Nisah Haron tidak membiarkan sahjaa unsur fantasi menerawang untuk membentuk ceritanya ini, tetapi beliau secara bijak telah mengeksploitasi cerita daripada Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu untuk menjadi fiksyen-fantasi novelnya supaya menjadi lebih menarik dan bermakna.
Di sinilah perbincangan ini akan melihat sejauh mana pengarangnya telah mengaplikasikan bentuk sastera sejarah untuk membentuk satu novel sastera sejarah yang baharu.
Apakah sastera sejarah? Sastera sejarah adalah suatu cabang daripada kesusasteraan Melayu tradisional yang membicarakan sejarah sesebuah kerajaan. Secara umumnya, sastera sejarah seringkali memakai judul permulaan sebagai hikayat, silsilah, salasilah, misa dan tawarikh seperti Hikayat Raja-raja Pasai, Hikayat Acheh, Silsilah Melayu dan Bugis, Misa Melayu dan Tawarikh Salasilah Negeri Kedah.
Bentuk sastera sejarah boleh dibahagikan kepada dua, iaitu dalam bentuk prosa dan bentuk puisi. Karya yang berbentuk prosa merupakan sejarah sesebuah kerajaan atau negeri tentang bangun dan jatuhnay sebuah kerajaan itu dengan menyenaraikan susur galur pemerintahnya. Manakala bentuk puisi pula, lazimnya ditulis dalam bentuk syair yang menceritakan sesuatu peristiwa bersejarah yang berlaku dalam sesuatu tempoh watktu tertentu seperti Syair Perang Johor, Syair Kampung Gelam Terbakar, Syair Perang Siak dan sebagainya.
Karya sastera sejarah, umumnya terbahagi kepada tiga jenis. Pertama, karya sejarah yang meriwayatkan jurai keluarga diraja. Misalnya Sulalatus Salatin yang cukup terkenal dalam kalangan kita. Di dalam Sulalatus Salatin, pengarangnya, Tun Sri Lanang menjurai asal keturunan raja Melayu dari awal hingga kejatuhan kerajaan Melayu Melaka.
Jenis sastera sejarah yang kedua pula hanya memfokuskan kisah seseorang tokoh seperti Hikayat Acheh yang menceritakan tentang ketokohan Raja Iskandar Muda. Sastera sejarah yang menekankan pada sesuatu peristiwa seperti Syair Kampung Gelam Terbakar dan Perang Makasar adalah jenis karya sastera yang ketiga.
Salah satu ciri yang menyebabkan sastera sejarah tidak dianggap sepenuhnya sejarah kerana ada unsur-unsur mitos dan legenda serta unsur-unsur fiksyen-fantasi yang turut dimuatkan oleh pengarah sastera sejarah. Unsur-unsur ini dimuat adalah dengan tujuan-tujuan tertentu seperti untuk menambahkan faktor kekaguman rakyat kepada kebesaran sesebuah kerajaan ataupun jurai keuturunannya.
...
Ketiga-tiga unsur ini dilihat dalam novel Tawarikh Cinta untuk mensahihkan novel ini mengandung ciri-ciri sebuah karya sastera sejarah."
Petikan daripada Kertas Kerja berjudul Tawarikh Cinta : Sebuah Sastera Sejarah Yang Baharu? yang dibentangkan oleh Encik Saifullizan Yahaya (DBP) pada 9 Ogos 2008 di Institut Perguruan Raja Melewar, Seremban sempena Bicara Karya Sastera Negeri Sembilan 2008.
Novel Tawarikh Cinta boleh didapati dari http://www.ujanailmu.com.my/pd-tawarikh-cinta.cfm
ataupun beli Pakej HSKU 2008 dari laman Ujana Ilmu.
Ulasan
Tidak sangka hanya satu ayat di bahagian permulaan terus buat kimia saya bercantum dengan kimia pn Nisah.
Alhamdulillah, novel ini benar-benar mengagumkan saya. Nilai yang terkandung di dalamnya melupakan saya sebentar pada novel-novel dari luar terutamanya Indonesia yang dikatakan menguasai sebahagian besar pembaca di Malaysia.
Teruskan usaha dan sebarkan manfaat pada penulis baru dan pembaca.
Novel sebeginilah yang harus diperbanyakkan dan dibudayakan untuk generasi muda dan masyarakat Malaysia.
tahniah atas kelahiran novel ini.