Menegur Yang Tua
Saya berbual-bual dengan seorang pengarang mapan baru-baru ini. Kecintaan terhadap budaya menyebabkan perbualan kami itu terasa akrab walaupun kami bukannya selalu dapat bersua wajah. Selalunya, hanya dapat bertemu dalam acara-acara rasmi khususnya hal-hal sastera dan budaya. Pun, dalam pertemuan itu juga akan terasa akrabnya.
Beliau sebagai pengarang, tidak mahu terputus ukhwah dengan mana-mana penulis - tak kiralah penulis yang seangkatan dengannya ataupun yang boleh dianggap sebagai adik-adik. Dengan nada yang sedikit kecewa, beliau mengadu bahawa penulis-penulis muda tidak ramai yang mahu menegurnya walaupun mereka tentu sekali kenal akan beliau.
Tentunya, beliau bukan minta disanjung ataupun disambut bagai menteri kalau tiba dalam majlis. Cukuplah sekadar dia ditegur sebagai tanda orang muda masih ada budi bahasanya.
Beliau pernah bercerita pengalaman ini kepada anaknya dan anaknya memberitahu bahawa orang muda bukannya tidak mahu menegurnya, tetapi mereka segan untuk menegur kerana beliau sendiri penulis yang mempunyai nama besar. Jadi, penulis-penulis muda terasa jauh lagi kerdil apabila berhadapan dengannya.
Sebagai pengarang yang berjiwa lembut, beliau memang mudah menumpahkan ilmu sama ada dari aspek budaya ataupun kepengarangan. Sayang sekali, jika sikap ini tidak diubah segera, sikap itu sendiri akan merugikan penulis-penulis muda.
Saya percaya, orang tua wajarlah didekati dan diakrabi kerana mereka akan menyalurkan warisan kepada kita. Orang tua kaya dengan petua dan amanat. Mereka adalah khazanah yang boleh bergerak dan menyalurkan ilmunya kepada sesiapa yang hampir. Pengarang seperti beliau dan beberapa pengarang mapan yang lain adalah antara yang senang didekati. Kita kutip ilmunya dan pintalah pelbagai nasihat dan petua daripada mereka yang terdahulu.
Pengalaman mereka menulis memang jauh berbeza daripada apa yang kita alami kini. Usah jadi 'bodoh sombong' - yang rugi hanya kita juga. Memanglah, kala menegur nama-nama besar dalam jagat penulisan, kita sebagai penulis muda terasa kerdil. Segeralah hapus perasaan itu! Kali pertama memang kita amat segan untuk menegur. Tetapi, tegurlah lagi jika bertemu pada ketika yang lain pula. Selepas itu, gunakan kesempatan untuk berbual-bual.
Pastikan anda tahu sedikit sebanyak tentang karya-karyanya jika mahu berbual-bual tentang karyanya. Jangan jauh menyimpang. Pernah ada seorang wartawan yang mahu mencari seorang pengarang mapan 'A'. Dia bertanya kepada seorang pengarang (yang tidak dikenalinya) ada nampak pengarang 'A'. Sedangkan pengarang 'A' yang dicarinya itu ialah orang yang ditanya tadi. Haru!
Sebagai penulis muda, harus banyak membaca karya pengarang terdahulu. Sikap ambil tahu inilah yang akan membantu penulis muda pergi lebih jauh.
**Nota : Saya ini mungkin bukan lagi berada dalam kategori penulis muda. Dah tak berapa muda tapi, belum cukup tua. Jadi, kalau penulis muda yang ingin respons tentang hal ini, menarik juga untuk dibincangkan.
.
.
Ulasan
Khabarnya sudah selamat melahirkan seorang lagi cahaya mata. Tahniah.
Saya pun tidak tahu saya ini penulis muda atau penulis sudah tua. kalau tengok umur memang sudah tua. tapi terasa muda :)
Saya suka berkawan dengan penulis muda. Saya harap mereka juga suka berkawan dengan saya.
Sepatutnya begitu. Dalam sejarah Islam, tidak pernah wujud jurang antara generasi, termasuk dalam kategori ini, ialah penulis - kerana, biarpun setiap generasi melalui pengalaman yang berbeza, namun, mereka dipimpin oleh asas yang sama. salam
saya sgt berminat dgnb adat ini dan rasa sedih apabila anak muda negeri 9
mula melupakannya.
apa2 pun please reply, tq. :)