Kamar Penulis

Gambar : "The Making of..." Kutub Khanah Nisah Haron pada 1 Jun 2007.

Susulan daripada entri tentang "Kamar Kerja Kreatif" yang disinggung oleh Nazmi lewat blognya, saya terbaca tentang "The Writer's Room" dari laman Guardian Books. Ada banyak gambar kamar penulis dan catatan daripada beberapa pengarang terkenal dan juga yang tidak dikenali tentang kamar penulisan mereka. Sama ada kita mengenali mereka ataupun tidak, bukanlah menjadi soal. Yang penting kita dapat berkongsi bagaimana para penulis ini menyusun kamar kerja masing-masing sehingga menjadi kamar yang personal dan sangat sesuai dengan jiwa penulisnya.

Mahu lihat bagaimana rupa kamar penulis seperti George Bernard Shaw, Rudyard Kipling ataupun Virginia Woolf? Ada gambar-gambarnya di sini.

Sudah lama saya mengidam untuk memiliki kamar kerja @ kamar penulis yang peribadi. Sebelum ini saya tidak ada kamar khusus untuk menulis. Pun, itu bukanlah alasan untuk tidak menulis. Sebelum ada kamar ini, saya menulis di bilik tidur. Banyak 'cabaran' apabila menulis di bilik tidur.

Gambar : Ketika Kutub Khanah Nisah Haron masih baharu - kira-kira sebulan selepas dipasang, buku-buku pun belum rapi tersusun kerana waktu itu masih dalam pantang anak ke-4

Jadi, setelah adik saya berkahwin, kamarnya menjadi Kutub Khanah Nisah Haron dan sekaligus kamar kerja saya. Sebagai kamar idaman sejak sekian lama, perkara pertama yang saya mesti ada dalam bilik ini ialah sebuah rak buku setinggi 10 kaki (sudah saya sebut sebelum ini). Rak ini mempunyai pintu cermin pada tingkat atas. Kalau mahu capai buku-buku yang berada di atas sekali memang perlu pakai tangga - yang turut sama ditempah dengan rak buku ini.

Bahagian bawah rak buku berbentuk 'L' ini ialah tempat menyimpan perkara-perkara yang tidak perlu dipamer, seperti manuskrip-manuskrip karya, koleksi buku-buku cenderamata daripada majlis-majlis yang saya hadiri, pamflet yang sering menjadi bahan rujukan sewaktu menulis, kertas-kertas kerja, koleksi buku-buku nota yang sering menjadi cenderamata dalam majlis ilmu dan banyak lagi yang tidak tersebut semuanya di sini.

Pada bahagian dinding yang kosong, saya tampal cerpen-cerpen yang telah tersiar (gambar di atas). Cerpen-cerpen tersebut telah saya laminate terlebih dahulu. Tujuannya lebih kepada dokumentasi selain memberi semangat - kalau tidak pun kepada diri sendiri (kerana semangat ini adakalanya hilang entah ke mana), juga memberi semangat kepada anak-anak supaya mereka mahu membaca, menulis ataupun sekurang-kurangnya mereka tahu tugas hakiki saya kini.

Ada juga sebuah sofa merangkap tempat 'pembaringan'. Sofa ini bukannya katil tetapi fungsinya pelbagai. Termasuklah meletakkan bakul pakaian bayi kerana si kecil saya kerap saya baringkan di kamar ini sewaktu saya sibuk bekerja.

Bahagian tengah kamar ini sengaja dikosongkan. Kami selalu bersolat jemaah di kamar ini bersama anak-anak. Ataupun anak-anak boleh datang ke sini untuk membuat kerja rumah. Jika saya tidak menggunakan kamar ini, anak-anak meminta izin untuk bermain story-telling - ruang mereka bermain sambil membina cerita sesama mereka. Selalunya kamar ini akan ditutup supaya tidak ada orang yang tidak berkenaan, termasuk ibu bapanya, melihat mereka bertiga bermain. Hatta dua orang adik mereka yang lain juga tidak dibenarkan berada di dalamnya sewaktu mereka bermain.

Walau bagaimanapun, saya fikir penulis mahukan semua 'benda' boleh dicapai dengan mudah sewaktu menulis. Buku-buku rujukan, telefon, cawan kopi, ataupun apa-apa sahaja keperluan perlu berada dalam jarak paling jauh pun, sedepa atapun kata orang kampung saya within the arms' reach.

Memang agak 'bahaya' jika penulis seperti saya dibiarkan bergerak lebih daripada satu depa untuk mencapai sesuatu sewaktu sedang menulis. Fikiran mudah tergelincir dan konsentrasi terputus. Nanti, akan ada perkara lain pula yang akan mendapat perhatian. Bukan mudah untuk mengikat tumpuan supaya 'tidak lari'. Mereka yang tidak menulis mungkin sukar untuk memahami keperluan penulis seperti saya. Sekali bangkit ke dapur untuk mengambil segelas air, sudahnya nampak periuk nasi tidak bercuci, mulalah cuci periuk, jerang nasi. Nanti, akan buka peti ais, kononnya hendak ambil air. Nanti ternampak coklat, makan coklat sekejap. Anak-anak pula nampak, kongsi dengan mereka. Kemudian, ada yang ajak makan di depan tv. Pergilah layan sekejap, lalu di tv ada rancangan yang menarik. Sudahnya, hilang sudah tumpuan asal. Kononnya hendak ke dapur untuk ambil segelas air, akhirnya kerja penulisan boleh terbengkalai.

Menulis blog juga boleh melekakan. Jadi, cukuplah sampai di sini dahulu.

Back to work!
.
.


Ulasan

Emm, menarik sekali Kak Nisah.
Harap-harap hasilnya berbaloi dengan pelaburan.
Yang bernama Siti berkata…
Salam,

Bahaya yang "Nisah" ceritakan juga saya hadapi. Dulu waktu ibu masih ada, saya 'ter'lepak di sebelah ibu langsung 'ter'tidur. Kini, apabila sudah ke bawah, ada sahaja yang mencuit mata dan tangan. Akhirnya 'ter'lepak juga di atas sofa di ruang tamu.
rai berkata…
Isyh...isyh!Kamar kerja saya tak pernah rapi,sebab saya susah nak jumpa barang-barang kalau ada yg terlebih rajin merapikannya.

Menulis di rumah yg penuh dgn kaum kerabat pun payah.Nanti depa pandang semacam je.Maklumlah,org yang menulis ni memang dah tak pandang ke mana!
misz_A berkata…
Puan, sejak akhir2 ini saya perasan ejaan baru dah jadi baharu,kawan2 pun ramai tanya saya,saya terus teringat nak tanya kat puan, kebetulan pulak dalam entri ni baru pun dieja baharu. Persoalannyer, adakah sekarang ni semua baru tukar jadi baharu

Terima kasih.

Catatan Popular